Sebelum naik ke bilik tadi, sempat abah berkata, "Iman, bila Allah datangkan pada Iman seorang lelaki yang baik untuk mengahwini Iman. Abah adalah orang yang paling gembira. Insya-Allah." tutur abah lembut. Nadine yang masih lagi dengan sedu-sedannya melirik pandang pada abah.
Along dan Angah sudah lama menghilang ke bilik masing-masing. Mahunya tidak, Along dan Angah terlalu kuat mengusik sampaikan dia semakin galak menangis dalam dakapan umi. Terasa semua orang disekeliling sedang paksa dia untuk kahwin. Walhal dia masih muda benar untuk berkahwin. Abah tahu itu. Umi juga tahu itu!
Baru setahun dia terbang ke Aberdeen, mana mungkin dia harus berkahwin di awal usia 20-an? Ini bukan lagi zaman dahulu, anak dara harus kahwin awal. Sekarang ini zaman moden. Semua orang mengejar impian dahulu. Dia juga mahu mengejar impiannya dahulu!
"Abah mana tahu dia lelaki yang baik? Abah baru kenal dia?" ujar Nadine defensif.
"Mana Iman tahu abah tak kenal dia? Dia dah beberapa kali datang ke rumah dengan Kamarul. Yang terkini Fakhran datang sebelum dia maklumkan abah mahu bawakan umi dan babanya bertemu abah."
Mata Nadine kala itu sudah membulat. Oooh... Fakhran ya nama mamat tak reti malu tu? Kita tak ingin, dia terhegeh-hegeh. Gerutu Nadine di dalam hati geram.
"Apa yang baik sangat tentang dia sampai abah puji dia lebih-lebih?" soal Nadine geram. Umi sudah mula tersenyum. Ya, mana tidaknya, Nadine kalau dengan abah selalu sahaja melawan mahukan fakta. Dan umi tahu, puteri bongsunya itu sekadar mahukan kenyataan. Mahukan fakhta.
"Iman, dia setiap kali datang kalau waktu berjemaah selalu sahaja jadi imam di rumah. Abah dengar bacaannya, makhraj dan tajwid bacaannya betul dan bertartil." ujar abah.
"Abah sedang cari imam untuk bimbing puteri abah dalam hidupnya Iman. Abah cuma boleh bimbing Iman, selagi Iman tu anak abah. Tapi bila Iman sudah jadi isteri orang, Iman bukan lagi bawah tanggungjawab abah. Iman dah jadi tanggungjawab orang lain. Perjalanan Iman nak menuju ke syurga dan neraka bukan lagi atas tengkolok abah." tutur abah lembut. Dan sekali lagi, air mata merembes laju di pipinya.
"Secara peribadi, abah suka kalau dia jadi menantu abah. Kan umi?" soal abah sambil memandang umi. Nadine langsung mengalih pandang memandang umi. Tubir bibir umi masih lagi mengukir senyum manis sambil mengangguk kecil.
"Umi juga suka dia Iman. Tapi kalau Iman tak suka, abah dan umi faham. Iman juga punya hak untuk diberi pilihan dalam membuat keputusan. Ini hidup Iman. Umi dan abah tak mahu dipersalahkan kalau nantinya terjadi apa-apa dalam rumahtangga Iman. Cuma umi nak Iman tahu, umi dan abah sentiasa mahukan yang terbaik untuk Iman." tutur umi lembut.
"Dari Iman kecil lagi, umi dan abah sentiasa mahu sediakan yang terbaik untuk Iman. Kami selalu buat yang terbaik untuk Iman. Iman tahu kan?" soal abah. Nadine diam. Perlahan dia mengangguk. Iya, selama ini umi dan abah sentiasa membuat yang terbaik untuk hidupnya. Dia tahu itu.
"Beginilah... apa kata Iman jumpa dia dulu? Katanya, dia kenal Iman. Dia juga belajar di Aberdeen. Dia pernah sampaikan niatnya pada Iman. Cuma dia percaya, Iman langsung menolak sebelum istikharah." tutur umi.
Abah mengeluh kecil. Pandangan Nadine kembali ke wajah abah. "Iman... abah selalu pesan dengan Iman, dalam hidup bila mahu buat keputusan apa pun, istikharahlah."
"Iman tahu kenapa?" soal abah. Iman mengangguk. Ya, abah selalu nasihatkan mereka adik beradik untuk istikharah sebelum membuat keputusan. Kata abah, istikharah itu jawapannya langsung dari Allah. Allah itu Maha Penyayang. Bila hamba-hamba-nya memohon petunjuk, Allah akan sentiasa tunjukkan jalannya.
"Iman, jangan jadi orang yang sombong dalam hidup... Orang yang sombong selalu sesat jalan. Kalau pun Iman dah ada jawapan, tapi kenapa tidak sahkan dengan bertanya pada Allah? Iman tahukan, apa yang Iman rasa terbaik buat Iman barangkali belum tentu terbaik di sisi Allah." ujar abah memberikan tazkirah pendek padanya. Nadine diam dan mengangguk.
"Iman naik ke atas. Fikirkan, apa yang umi dan abah cakap." tutur umi lembut sambil menepuk bahu Iman. Baru saja Iman mahu melangkah naik ke atas selepas bersalam dengan umi dan abah, abah menyeru namanya.
"Iman fikirkanlah dalam sehari dua ni. Insya-Allah lusa, Fakhran akan datang ke sini untuk bertaaruf dengan Iman. Tak adil, kan kalau hanya Fakhran yang kenal Iman. Tapi Iman tak kenal Fakhran?" soal abah. Nadine diam tidak menjawab sebaliknya langsung menghilang ke dalam bilik.
Emak sedang duduk di satu sudut. Nadine dan budak lelaki yang namanya Fakhran itu sedang duduk bertentangan. Mata Nadine tajam memandang mata budak lelaki itu. Tetapi peliknya, lelaki itu tenang sahaja. Tiada langsung rasa gentar.
"Iman, patutnya abah ada di sini temankan Iman. Tapi tadi pesan abah pada umi, teruskan saja tanpa abah." tutur umi perlahan.
"Fakhran..." seru umi. Budak lelaki itu mengangguk. "Iya makcik..." jawab lelaki itu. Umi tersenyum. "Umi ke sana dulu. Berborak la..." jawab umi sambil beralih ke ruang keluarga disisi ruang tamu untuk berbual-bual dengan ibu Fakhran.
"Apa yang awak nak?" soal Nadine laju. Fakhran kala itu tersenyum.
"Awak mahukan jawapannya, Nadine?" soal Fakhran. Nadine diam. Pertama kali dalam hidupnya ada orang memanggil dia dengan Nadine dan bukannya Iman.
"Apa yang awak nak?" soal Nadine sekali lagi. Kali ini lebih tegas daripada tadi.
"Saya nak kahwin dengan awak." jawab Fakhran lancar. Nadine jengkel. Laju Nadine menggeleng. "Tapi saya tak nak kahwin dengan awak." jawab Nadine laju. Matanya meneliti setiap inci tubuh Fakhran. Lelaki di depannya itu agak tinggi. Lebih kurang tinggi Angah agaknya. Dalam 183cm mungkin?
Berlambut lurus, berkulit tank persis kebanyakan orang di Asia. Mata yang sedikit sepet. Susuk tubuhnya agak sasa tapi tidak terlalu berotot. Seorang yang berperwatakan menarik. Untuk lelaki seperti dia yang sedang duduk didepannya, Fakhran boleh dapat gadis yang lebih baik. Kenapa harus dia?
"Nadine Nur'iman, awak berikan saya jawapan selepas awak istikharah atau sebelum awak istikharah?" soal lelaki itu tenang. Nadine tidak menjawab.
"Berikan saya jawapan selepas awak dah istikharah. Kalau saya boleh istikharah, kalau abah dan umi awak juga istikharah sebelum membuat keputusan untuk sampaikan niat saya kepada awak, kenapa awak tidak boleh istikharah untuk berikan jawapannya pada saya?" soal Fakhran Syafrie. Nadine diam.
"Kenapa saya?"
Fakhran tersenyum. "Sebab saya yakin awak boleh menyempurnakan sebahagian dari diri saya yang tak lengkap. Sebab awak insya-Allah, boleh menjadi teman saya yang baik di kala susah dan senang." tutur Fakhran Syafrie. Kala mendengar itu Nadine tertawa.
"You never know me. Awak tak kenal siapa saya dan dengan mudah awak ingat saya akan percaya?" soal Nadine.
Fakhran tersenyum. "Insya-Allah, kalau saya belum kenal awak; selepas berkahwin saya akan kenal siapa the real Nadine Nur'iman. Kalau saya kenal awak sikit-sikit sekarang, insya-Allah nanti saya akan lebih kenal awak.. kan?" tutur Fakhran tenang.
Nadine merengus perlahan. Sengaja dia bersikap lepas laku begitu. Dia tidak mahu lelaki di depannya itu tertarik padanya.
"Ada apa-apa yang awak nak tahu tentang saya?" soal Fakhran. Nadine diam. Dia terlalu marah untuk mahu mengambil tahu tentang lelaki itu. Dia masih lagi berasa jengkel kerana perlu bertemu dengan lelaki itu. Perlu menerima lelaki itu.
Perlu ke?
"Nadine, mungkin Nadine marah dan jengkel dengan saya. Tapi sebelum tu, saya akan turut kehendak Nadine dengan satu syarat..." tutur Fakhran. Nadine mengangkat pandang.
"Apa?"
"Istikharah la. Kalau sepanjang dua minggu ini, dalam istikharah awak saya sebagai jawapannya untuk menjadi pendamping awak, maka the next two weeks insya-Allah kita akan diijabkabulkan."
"What?" jerit Nadine kecil. Fakhran tersenyum.
"Awak dan saya masing-masing di Aberdeen. Saya nak jaga hati saya Nadine. Awak mungkin tak sedar kewujudan saya, tapi saya dah setahun sedar kewujudan awak. Selama setahun ini, saya perhatikan awak. Saya.. saya..."
"Jadi itu salah saya?" tempelak Nadine geram. Matanya mencerun pandang pada Fakhran. Dia yang pandang kita, kita pula kena kahwin dengan dia. Omel Nadine di dalam hati.
Fakhran menggeleng. "Tak itu bukan salah awak. Tapi bukan juga salah saya. Saya dah cuba untuk jaga hati saya, dan akhirnya setelah istikharah saya pasti Allah gerakkan hati saya untuk saya lamar awak. Untuk tenteramkan hati saya, agar hati saya terpelihara. At least lepas kahwin, kalau saya tengok awak dan saya rindu awak, tak berdosa lagi kan? Saya dapat pahala." tutur Fakhran dalam senyum.
Nadine menjuihkan bibir. Menarik nafas dalam-dalam, wajah Fakhran dipandang tepat. "Dan kalau awak tak hadir sebagai jawapan dalam istikharah saya?" soal Nadine. Fakhran tersenyum.
"Insya-Allah, saya bukan untuk awak dan saya terima keputusan awak." tutur Fakhran.
"Okey.." jawab Nadine laju.
Fakhran tersenyum. "Baik..."
"Tapi saya nak awak tahu, saya yakin dengan jawapan istikharah saya dan juga jawapan istikharah umi dan abah awak. Sebab kerana keyakinan itulah saya ada di depan awak sekarang." tutur Fakhran. Nadine merengus geram sebelum laju saja bangun dari kerusi dan menapak ke dapur. Panggilan umi tidak dipedulikan. Air sejuk di dalam gelas diteguk rakus. Dia geram dan bila dia geram dia sangat dahaga!
__________________________________________________________________
Insya-Allah, dah jumpa rentak penulisan untuk KISAH KITA. Doakan saya berjaya tamatkan penulisan KISAH KITA ini dan insya-Allah berjaya juga menamatkan Dan Daffodil Berbunga Lagi.
1 comment:
insya allah.. amin..
tak sabar nak tg nadine ngan fakhran ni...jangan lama2...
Post a Comment