Followers

Wednesday, April 24, 2013

#5-ii

Tadi pagi, umi dah pesan; hari ini kalau boleh jangan ke mana-mana. Ada makan-makan untuk famili. Itu pesan umi pada Nadine. Jadi makanya, hari ini segala rancangannya dibatalkan. Mujur juga usrah cuma akan berjalan malam nanti sahaja. Itu pun, tak pasti dapat ke tidak Nadine ikut serta.

Tengahari itu, ketika Nadine sedang sibuk di dapur, terdengar suara Along dan Angah berborak dengan seseorang. Bunyi suara seperti dia kenal. Menoleh memandang umi, "Umi, tu bukan suara Kamarul?" soal Nadine.

Umi tersenyum. Perlahan mengangguk. "Iyalah. Kamarul dengan Kamalia. Pak Ndak satu famili datang..." balas umi. Nadine mengangguk. Tangannya cekap memotong sayur.

"Hah!" sergah satu suara. Nadine menoleh. Spontan lidah dijelirkan. "Apa jelir-jelir lidah macam tu." gerutu Kamalia. Nadine tersengih. 

"Yang kau, suka hati kau je nak sergah orang. Masuk rumah orang bagi salam, bukan main sergah-sergah." ujar Nadine pulang paku buah keras pada Kamalia. Kamalia tersengih.

"Ada apa-apa aku boleh tolong?" soal Kamalia. Laju saja Nadine menghulurkan pisau dan besen berisi bawang.

"Kupas kulit dan potong, ya?" tutur Nadine sambil memaniskan senyuman. Umi yang sedang membasuh ikan di sinki langsung menggelengkan kepala.

"Along... Angah..." seru umi sambil laju saja membersihkan tangannya. Menoleh memandang Nadine dan Kamalia, umi langsung bersuara, "Korang buat dulu apa yang patut. Umi ke dalam sekejap." tutur umi. Nadine dan Kamalia serentak mengangguk.

"Iman..." seru Kamalia. Nadine mengangkat wajah. "Apa?" soal Nadine. Sayur-sayur yang siap dipotong, dikaut menggunakan pisau dan dimasukkan ke dalam besen. Melangkah ke sinki, sekali lagi sayur-sayur yang siap dipotong dibasuh sekali lagi dan dibacakan selawat.

"Mama cakap, ada orang masuk merisik kau. Betul eh?" soal Kamalia. Nadine melipat kepala sudut sembilan puluh darjah.

"Mana ada. Merepek aja. Mak Andak bergurau agaknya." balas Nadine.


"Mana pula bergurau. Serius ni ha..." jawab Kamalia.


"Api dah lekatkan belum?" soal satu suara tiba-tiba. Nadine yang sedang membersihkan sayur kembali menoleh ke belakang. Kelibat Kamarul ada di situ. Ada seorang lelaki di sebelah Kamarul, tapi tak pula dia kenal siapa.

"Kejap nak tengok." balas Nadine sambil mengintai ke luar tingkap dapur. Tak ada pula arang atau sabut yang dah dilekatkan api. Kembali menoleh memandang Kamarul, "Tak lekatkan lagi. Arang ada kat dalam bilik stor tu, sabut ada kat belakang. Ambil la yang mana-mana mudahkan kau eh?" arah Nadine sambil kembali kusyuk dengan tugas-tugasnya. Lelaki di sebelah Kamarul itu Nadine pandang sekilas lalu sahaja. Lagi pun, kan ke tak elok tengok anak teruna orang? Barangkali itu kawan Kamarul agaknya yang ikut datang ke sini.

Kembali pada Kamalia, sepupunya itu tersenyum-senyum sambil sesekali mata melirik pada abang kembarnya. "Kau dah kenapa?" soal Nadine. Kamalia menggeleng.

"Fay.. kau ambilkan arang kat dalam tu. Aku tunggu kat luar." arah Kamarul sambil berlalu ke belakang rumah. Nadine kembali menyibukkan diri menumiskan rempah ratus untuk dibuat kari ikan.

"Hari ini kau masak?" soal Kamalia. Nadine mengangguk. "A'ah. Umi cakap tadi, hari ini umi gantung periuk belanga sebab nak rasa chef dari Aberdeen yang masak." jawab Nadine sambil tertawa.

"Kau masak apa hari ini?" soal Kamalia sambil bangun menghampiri sinki untuk membasuh bawang yang sudah siap dibuang kulit untuk dirincik halus.

"Kari kepala ikan, udang masak masam manis, singgang, peparu goreng dengan tu, ikan bakar." jawab Nadine sambil tangan ligat menggaul rempah ratus yang ditumis.

"Dah boleh kahwin ni..." komen Kamalia. Nadine tertawa kecil. "Kau pun dah boleh dah. Dengar cerita dah bawa balik calonnya?" soal Nadine. Kamalia tersipu-sipu malu.

"Insya-Allah.. doakan ya, Allah permudahkan?" tutur Kamalia. Nadine tersenyum. Perlahan mengangguk. "Insya-Allah. Aku sentiasa doakan yang terbaik untuk kau. Kau kan kawan baik yang merangkap sepupu aku?" soal Nadine. 

Siap memasak, hidangan disusun elok di atas meja sebelum sempat Nadine minta Kamalia bertanya pada Kamarul sama ada ikan terubuk yang dibakar sudah siap atau belum. Siap semuanya, Nadine langsung memanggil umi disebalik pintu. "Umi..." panggil Nadine dengan tangan dan suara yang rendah. Umi langsung menoleh.

"Siap dah?" soal umi. Nadine mengangguk.

"Kot iya pun, salam Pak Andak dengan Mak Andak ni." balas umi. Nadine tersipu-sipu di situ. Melangkah ke ruang tamu, tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan Pak Andak dan Mak Andak serta sahabat Pak Andak yang turut serta.

"Iman.. kenalkan, ini kawan Mak Andak." tutur Mak Andak. Nadine sekadar mengangguk. "Makcik..." seru Nadine hormat.

"Nadine katanya, belajar di Aberdeen?" tutur sahabat Mak Andak. Nadine mengangguk.

"Iya."

"Belajar apa?"

"Medic." tutur Nadine. Sahabat Mak Andak mengangguk. "Anak makcik ada seorang belajar di Aberdeen." 

"Oh iya? Medic juga?" soal Nadine. Sahabat Mak Andak menggeleng. "Tak, dia buat engineering." 

"Oooh..." balas Nadine dengan mulut yang sedikit membulat. "Eh, makanlah dulu makcik, Mak andak, Pak Andak. Iman dah siapkan meja dah pun." balas Nadine. Ketika menghilang ke dapur, Kamarul sudah siap pun membawa pemanggang masuk ke dalam rumah.

"Bekasnya Iman?"

"Sini..." balas Nadine sambil meminta pemanggang ikan dari Kamarul. 

"Tak apa. Bak sini aku buatkan." 

"Baiknya sepupu." tutur Nadine bergurau. 

"Kau baru tahu?" soal Kamarul tertawa. 

"Iman..." seru Kamalia. Nadine yang sedang mengemas belanga yang digunakan tadi mengalih pandang. "Ada apa?"

"Kau tak makan sekali?"

"Eh makan la dulu. Aku nak siap kemaskan periuk belanga dulu. Karang aku makan la..." balas Nadine.

"Jom la makan sama. Mama aku dah panggil ajak makan sekali tu."

Nadine menggeleng. "Taknak lah. Segan."

Kamalia menarik senyum. "Kau segankan kawan abang Kamarul eh?"

"Mana ada." Nadine menafikan. Kamalia sudah pecah tawa. "Macam la aku baru kenal kau sehari dua. Kita ni membesar sama-sama dari kecil tau! Duduk pula sebilik masa kat sekolah dulu."

Nadine menarik senyum. "Kemudian aja la aku makan."

"Dah tu aku?" soal Kamalia. "Kau gi la makan kat sana."

Kamalia menggeleng. "Aku nak makan dengan kau."

Nadine tertawa. "Kalau macam tu, kau makan dengan aku kat dapur? Okey?"

Kamalia mengangguk laju. "Okey je."



Malam itu, abah memanggil Nadine. Di depan Nadine, ada Along, Angah dan juga umi. Along dan Angah masing-masing tersenyum. Umi dan abah wajah mereka biasa-biasa sahaja.

"Iman..." seru abah. Nadine sekadar mengangguk.

"Siang tadi, yang datang tu sebenarnya nak kenal Iman." tutur abah tenang. Jantung Nadine mula bertukar ritma. Debarnya tiba-tiba menjadi laju. Siang tadi sebenarnya orang datang merisik? Biar betul? Tapikan yang datangnya siang tadi Pak Andak sekeluarga dan keluarga sahabat Pak Andak? Ke? Eh? Biar betul?

Menelan liur, Nadine memandang wajah abah. "Tadi siangkan yang datang tu Pak Andak sekeluarga dan keluarga sahabat Pak Andak?" soal Nadine. Abah mengangguk.

"Iya, yang datang tadi tu keluarga Pak Andak. Sahabat Pak Andak tu yang nak merisik Iman untuk anaknya. Kawan Kamarul." tutur abah tenang. Nadine terdiam. Mukanya tiba-tiba terasa kebas. Sungguh dia tak tahu yang datang tadi tu sebenarnya nak merisik dia. Padanlah hari ini semua kerja-kerja di dapur, umi minta dia yang lunaskan.

"Pakcik dengan makcik tadi?" soal Nadine lagi inginkan kepastian. Abah mengangguk.

"Iya..."

Langsung Nadine teringat sesuatu. Anak pakcik tadi tinggal di Aberdeen. Belajar di sana katanya. Untuk anak dia yang itu ke?

Laju Nadine menggelengkan kepala. "Tapi Nadine tak kenal siapa anak makcik tu tadi pun." tutur Nadine terus-terang. Along dan Angah tertawa.

"La... tadikan dia ada. Yang duduk sebelah Kamarul duk bakar ikan tu apa?" soal angah. Nadine terkedu.
Eh? Mamat tu? 

"Mamat tu?" terletus dari bibir Nadine. Along sudah pecah tawa. Nadine dah rasa macam nak menangis. Spontan air mata melimpah jatuh tanpa henti. Angah dah berkerut dahi. Tawa along langsung terhenti.

"La... dah kenapa yang nangis? Orang datang merisik dia je pun?" soal Along. Abah tersenyum sambil memandang umi. Nadine nampak tu walau pun dalam kabur air mata yang laju melimpah.

"Iman.. Iman tak nak kahwin." laju Nadine menuturkan sebelum teresak-esak. Along pecah ketawa semula diikuti Angah. Abah menggeleng. "Along... angah..." tegur abah. Umi sudah mendekat. Nadine segera diraih dalam pelukan umi.

"Nadine tak nak kahwin umi..." protes Nadine sambil esakkannya mula kuat lagak anak kecil. Along tertawa lagi. Tak boleh berhenti. Teguran abah seolah-olah bagai angin lalu di telinga Along.

"Abah, Along tak boleh tahan. Sorry. Bukan sengaja. Iman macam budak kecil. Orang datang nak merisik dia je pun. Belum lagi nak meminang." balas Along dalam tawa yang berseli.

"Ketawalah! Ketawa!" protes Nadine dalam esak yang tak berhenti.

"Syh... apa ni menangis macam ni Iman?" soal umi lembut. Rambut lebat Nadine diusap-usap umi penuh kasih.

"Nadine tak nak umi. Nadine tak kenal budak tu. Nadine belajar lagi." balas Nadine dengan alasan yang dikeluarkan bertalu-talu.

Umi diam tidak membalas. Nadine terus menangis. Serius... dia tak nak dengan budak tu. Dia tak kenal pun siapa budak tu.

_____________________________________________________________

p/s :

Sepanjang anda bersama Nadine Nur'iman dalam KISAH KITA, ada sebarang komen?

3 comments:

AINULRIDA HUSNI said...

Kesian Nadine, Diya. Naive nya dia. Tapi nanti kahwin juga kan?

Apple Pie said...

Diya dear, saya suka cerita ni. Tertunggu2 n3 baru. Akan habis di blog ke atau disambung ke versi cetak?

Diya Nordin said...

Ainulrida :

Tak surprised kalau Diya cerita awal :D. Tapi iya.

Apple Pie

Terima kasih suka cerita ni.
Kalau sesuai untuk diterbitkan, ada ilmu yang boleh dikongsi, insya-Allah, barangkali boleh diterbitkan.

Bergantung sama ada proposal diterima atau tidak. Doakan ya!