Followers

Saturday, April 27, 2013

#5-iv

Seminggu, kehidupan kembali normal. Abah mahu pun umi tak seorang pun yang bangkitkan nama Fakhran. Untuk seketika, sungguh... Nadine rasa sangat bersyukur. Masuk hari yang ke sembilan, along tiba-tiba panggil Nadine.

"Apa?" soal Nadine.

"Dah dapat jawapan?" soal Along. Nadine langsung mengerutkan dahi.

"Jawapan apa?"

Along merengus perlahan. "Istikharah?" soal Along. Nadine diam. Langsung tidak menjawab. Pandangan mata Along boleh buat Nadine duduk tersepuk di situ.

"Iman..." seru Along. Nadine masih diam.

"Nadine Nur'iman..." seru Along lagi. Kali ini kedengaran maha tegas. Nadine memanggung pandang. Mukanya tidak beriak. Tapi bibirnya menahan getar.

"A.. a.." dan terdiam. Along mengeluh. "Don't tell me you never did istikharah..." tutur Along perlahan. Nadine kemudiannya sengih sumbang sambil mengangguk perlahan.

"Iman dah cakap Iman tak bersedia, kan?" jawab Nadine polos kononnya. Along merengus. Geram barangkali agaknya.

"You're selfish!" tuduh Along. Nadine memanggung pandang.

"Apa pula? Iman dah cakap awal tak sedia. Iman dah bagitahu umi, Iman dah bagitahu abah. Along pun dengarkan?" soal Nadine mahu membela diri.

"Dah tu, kenapa Iman tak jawab macam tu pada Fay masa dia bagi pada Iman masa seminggu untuk istikharah?"

"Iman tahu tak, kalau lembu berpegang pada tali manusia hidup berpegang pada janji..." tekan Along. Nadine langsung berdiri dari duduknya.

"Habis tu Along ingat Iman lembu? Nak ikut je apa yang orang kata macam lembu kena tarik hidung?" bangkang Iman.

"Along tak cakap Iman lembu, tapi Along cakap yang Iman tak tunaikan janji. Kita orang Islam, bila berjanji kita tepati." marah along.

"Iman tak janji!" bangkang Nadine lagi.

"Habis tu? Umi menipu la macam tu? Bila umi cakap pada Fay yang insya-Allah minggu ni umi bagi jawapan bagi pihak Iman, itu tipu? Tak payah la pergi usrah, tak payah pergi majlis taklim kalau apa yang Iman pergi dan dengar tu Iman tak amalkan dalam hidup Iman." sembur Along. Nadine langsung terdiam. Along hari ini, garang semacam. Dia tak mampu nak lawan bila setiap patah kata Along memang sebiji-sebiji betul!

"Along... Iman..." seru satu suara dari sebalik dinding. Iman dan Along masing-masing berpaling.

"Kenapa ni?" soal umi yang entah muncul dari mana. Iman diam. Along mengeluh.

"Entahlah Iman ni umi. Along tak faham, apa yang susah sangat dia nak buat istikharah tu." tutur Along sambil kemudiannya menghempaskan punggung ke atas sofa. Umi melangkah masuk ke ruang tamu. Berdiri di depan Iman, umi memandang Iman lama.

"Iman tak istikharah?" soal umi penuh diplomasi. Iman diam. Mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak.

"Iman..." seru umi.

"Tak..." perlahan tutur Iman sambil menggeleng. Air matanya mula merembes laju dari tubir matanya. Umi mengeluh. Perlahan umi melabuhkan punggung.

"Kenapa Iman tak buat?" soal umi. Suara umi masih lagi lembut. Tidak setegas Along tadi.

"Sebab Iman dah cakap kan, Iman tak nak kahwin? Iman nak studi?" soal Iman.

"Dah tu, kenapa tak boleh  buat istikharah. Jawapan istikharah Iman belum tentu lagi positif untuk Fakhran..." tutur umi lembut. Iman diam. Kepalanya ditunduk menekur ke lantai.

"Iman...?" seru umi.

Bibir Iman bergetar lagi. Air matanya turun laju. "Iman takut..."

"Takut apa?" soal umi.

"Iman.. Iman takut, jawapan istikharah Iman positif..." tutur Iman perlahan. Ya, itu yang sebenarnya. Dia takut untuk istikharah kerana dia takut jawapan istikharahnya nanti positif. Dia takut kalau benar, Allah jodohkan dia dengan lelaki itu.

Masa sesi taaruf hari tu pun, dia tak ada sekelumit pun rasa suka pada lelaki tu. Sungguh! 
Entah apalah yang lelaki tu suka pada dia pun dia tak tahu. Nak saja dia jerit pada telinga budak lelaki yang namanya Fakhran itu, dia cuma seorang Nadine Nur'iman yang biasa! Yang tak ada keistimewaan! Yang tak ada apa-apa untuk mencuri hati lelaki itu.

Tapi itulah, benda tu cuma ada dalam bayangan fikiran. Tak terluah dan tak termampu pun dia nak buat!

"Iman... umi tahu ini masa depan Iman. Tapi umi nak Iman tahu, umi dan abah tak mudah nak lepaskan Iman kepada sesiapa pun. Kami percayakan Fakhran mampu jaga Iman kat sana. Kami percaya yang Fakhran mampu untuk bimbing Iman." tutur umi lembut.

"Masa Fakhran datang luahkan pada umi dan abah, kami terkejut. Kalau Iman nampak, apa yang Along tanya Fakhran, apa yang Angah tanya Fakhran. Apa yang abah tanya... Iman akan tahu, Along, Angah, abah dan umi masing-masing merasakan terlalu awal untuk kami lepaskan Iman. Itu sebabnya kenapa kami minta pada Fakhran untuk kami istikharah dahulu sebelum niat dia kami sampaikan pada Iman." tutur umi. Air mata Nadine kala itu mula laju meniti pipinya.

"Bila kami masing-masing positif, dah bermusyawarah... baru kami maklumkan pada Iman. Jadi kalau kami semua istikharah lebih dahulu sebelum sampaikan pada Iman hajat Fakhran, kenapa susah untuk Iman?" soal umi.

"Iman..." seru Along kemudiannya.

"Sebab tak nak paksa Iman la, abah tak gunakan kuasa abah sebagai wali Iman. Kalau ikutkan hukum, abah, Along dan Angah; kami sebagai wali Iman boleh je nikahkan Iman dengan Fakhran tanpa kerelaan Fakhran..." tutur Along. Nadine memanggung pandang. Air matanya disapu dengan tangan kanan.

"Abah dan umi, nak berikan Iman kebebasan. Sebab tu abah dan umi minta Iman untuk istikharah sebab nak Iman buat pilihan yang betul." tutur Along lagi. Kali ini suara Along sudah tidak setegas tadi.

"Iman buatlah istikharah dulu, nanti Along cakap dengan Fay.." tutur Along. Nadine diam. Umi mengeluh perlahan.

"Iman... umi kan pernah cakap, sebaik-baik keputusan yang kita buat adalah keputusan yang kita rujuk pada Allah Yang Maha Mengetahui. Istikharah la, insya-Allah, jawapan yang terbaik bakal Iman dapat dari istikharah tu nanti." tutur umi. Nadine mengangguk perlahan.


______________________________________________________________-

Insya-Allah, saya akan stop sekejap untuk update entry untuk cuba ditumpukan pada DDBL. Sesekali, saya akan update di sini :)

No comments: