Followers

Wednesday, February 27, 2013

#Prolog I

Namanya Nadine Nur’iman. Dia gadis yang biasa-biasa saja. Anak bongsu daripada tiga adik beradik dan satu-satunya puteri dalam keluarga kecil Encik Nazrul Hakimi dan Imannul Raudhah. Kata umi, namanya itu unik kerana nama itu pilihan abah. Justeru pada abang-abangnya, dia dibelai dan dilayan bagaikan puteri.
Umi dan abah tidak terlalu memanjakannya tapi tidak pula terlalu tegas dengannya. Sebaliknya, abang-abangnyalah yang tegas dengannya. Banyak yang tak boleh dari boleh. Abah tidak pula marah bila abang-abangnya banyak melarang. Kata abah, “Along dan angah sayang sama Iman. Jadi along dan angah tegas sama Iman.”

Tapi dia selalu rasa along dan angah tak sayang padanya. Pernah dulu semasa dia sekolah, along dan angah dapat tahu ada budak yang hantar surat cinta padanya. Teruk budak itu dimarah sama along dan angah. Siap dapat amaran. Kata along, “Adik kami ini, dihantar ke sekolah untuk belajar. Bukan bercinta.”

Dia kala itu sudah mahu menangis. Malu punya abang-abang yang terlalu mengawal begitu! Mana ada dia ke sekolah dengan niat mahu bercinta pun! Bahkan dia tak pernah tahu ada yang suka pada dia! Dia pun tahu malu! Dia tahu abah sama umi percaya pada dia. Masakan dia mahu hilangkan terus kepercayaan abah dan umi.

Bila dia luahkan rasa tidak puas hati pada along dan angah. Laju-laju saja along dan angah menjawab. “Along dengan angah percaya sama Iman. Cuma kami tak percaya pada budak-budak lelaki yang cuba masuk jarum.”

Dia langsung diam. Lagi pula, along dengan angah tak pernah sekalipun salahkan dia bila dia sentiasa dapat hadiah atau terima surat. Cuma setiap hadiah dan surat itu tak pernah sekali pun sampai ke tangan dia. Dia punya abang-abang yang sangat protektif kan?

Bila besar hingga begini, dia tak pernah serahkan hatinya pada sesiapa. Lagi pun, dia takut bila umi mengugut, dari mahu bermain cinta lebih baik bernikah terus. Kerana amaran itulah dia jadi takut! Dia tak mahu kahwin muda. Dia takut umi paksa dia kahwin!

Mana mungkin dia menguruskan rumahtangga sendiri? Memasak, mengemas dan melahirkan anak? Tambah-tambahan lagi menguruskan budak? Sungguh dia angkat tangan. Dia tak mampu! Dia ini, dengar budak menjerit saja sudah tidak tahan daulat! Dia bukan insan maha sabar. Dia ini seperti kata along, anak yang cengeng. Manjanya ya ampun! Cuma along dan angah yang mampu melayan.

Tapi, dia jadi begitu pun kerana along dan angah. Along dan angah terlalu manjakan dia! Segala benda mahu dipantau. Jadi dia lebih banyak bergantung pada along dan angah.

Jadi, bila saja umi tiba-tiba mengajak dia berbicara. Dari hati ke hati. Dia jadi kelu. Jadi terkejut. Kenapa umi tiba-tiba merisik khabar hatinya? Kenapa umi tiba-tiba mahu tahu kalau-kalau dia ada berkawan dengan sesiapa. Laju saja dia menggelengkan kepala.

“Tak ada.” Laju Nadine Nur’iman menjawab.

“Betul?” soal umi dalam senyuman. Kepala Nadine Nur’iman sudah mengangguk seperti belatuk. Atas bawah atas bawah. Tangan siap diangkat gaya berikrar. “Sumpah umi! Iman tak pernah ada sesiapa. Iman tak pernah bercinta.”

Umi langsung tertawa. Apa lucu agaknya bila dia cemas dan gelabah begitu?Apa umi tak tahu? Dia betul-betul risau takut umi marah. Memang pun dia tak pernah berkawan dengan mana-mana lelaki. Dia tak mahu hancurkan rasa percaya umi dengan abah padanya.

Kata umi dulu, “Umi tak larang kalau Iman mahu bercinta. Umi tahu, setiap anak muda ada rasa mahu berpasangan. Tapi kalau boleh biar kena caranya. Kalau Iman sudah ada rasa suka pada sesiapa. Suruhlah dia datang dengan wakilnya... Kita langsungkan terus. Biar kalau Iman keluar berdua, umi dan abah tidak ditimpa dosa. Biar kalau pun Iman ada hubungan dengan lelaki, hubungan itu halal dari segi syaraknya.”

Nah, lihat gaya umi? Walau umi itu wanita moden. Tapi umi lebih mementingkan syariat. Pesan umi itu bukan hanya pada dia. Tapi juga pada along dan angah. Along dulu, kala dia tiba-tiba terjatuh suka pada seorang perempuan. Langsung dia nyatakan pada umi. Dia kala itu sudah jatuh rahang! Sungguh dia tak percaya, along yang pendiam dan tegas itu boleh terkena panah asmara.

Kata umi kala itu, kalau along sudah bersedia tanggung makan pakai anak orang. Umi tak keberatan masuk meminang. Tapi kalau sekadar mahu keluar berdua begitu-begitu, umi tak izinkan. Kata umi, anak gadis orang itu bukan untuk diusung ke sana ke mari. Tak manis dipandang orang dan melanggar adab pergaulan dalam Islam.

Along jadi membisu. Along tahu umi tak membantah kalau dia mahu langsung menikah. Tapi along sedar dia sendiri belum sedia. Lalu kata along, kalau ada jodoh. Insya-Allah tak ke mana.

Sungguhlah dia kagum dengan along. Begitu mudah bercerita dengan umi. Bukankah kata orang, lelaki itu bukan caranya mahu bercerita segala benda dengan umi, apatah lagi dengan abah sendiri. Kata orang, lelaki ini sikapnya suka memendamkan rasa. Semuanya dia pendamkan sendiri. Jarang-jarang mahu bercerita dengan ibu dan bapa.

Tapi lelaki-lelaki di sekelilingnya sungguh luar biasa, hatta abah, along mahupun angah. Mereka semua adalah lelaki-lelaki luar biasa. Hinggakan dia meletakkan satu penanda arasan pada setiap lelaki yang mahu menghampirinya. Mereka haruslah sekurang-kurangnya mempunyai sikap yang ada pada along atau angah paling kurang. Kalau dapat lelaki seperti abah. Dia terlebih la suka. Mungkin kerana itu agaknya, kebanyakan perempuan merasakan abah atau ayah mereka adalah hero pujaan mereka. Sama seperti dialah.

Ketika umi datang padanya, mengkhabarkan ada lamaran datang padanya. Dia sudah jadi kaku. Dia laju saja menggeleng. “Iman tak nak umi...” laju dia menolak. Tanpa ada sebarang pertimbangan.
Buat apa dia pertimbangkan kalau dia sudah tahu dia tak punya sebarang rasa teruja! Takkan dia mahu berkahwin dengan lelaki yang dia tak kenal? Dengan lelaki yang dia tak pernah ada apa-apa perasaan langsung?

“Iman kenal budaknya. Baik... abah pun suka.” Ujar umi. Mendengar itu, dia Nadine Nur’iman yang sedikit cengeng langsung menitiskan air mata.

Sungguhlah umi tak sayang pada dia. Mahu dijodohkan dengan entah lelaki mana sesuka hati. Apa umi tak tahu? Nadine Nur’iman anak umi ini, seperti juga gadis-gadis lain. Mahu tahu apa itu cinta! Mahu jatuh cinta!

“Iman tak sayang dia umi... Tak suka dia. Tak kenal dia.” Laju saja bibirnya menjawab. Umi menguntum senyum.

“Dia panggil Iman; Nadine. Bukan kawan-kawan sekolah Iman panggil Iman; Nadine ke?” soal umi. Dia mengangguk. Memanglah kawan-kawan sekolahnya panggil dia Nadine. Kawan-kawan dia dikampus semuanya panggil dia ‘Iman. Sungguh pun begitu, nama Fakhran Syafrie itu janggal sekali pada pendengaran telinganya.

Dia bukan main-main bila dia cakap tak kenal. Along dan angah sudah menempek pada dia, kata mahu tahu siapa dia Fakhran Syafrie tu.

Along pula tak habis-habis menggiat. Kata along, bukan mainnya dia mahu sembunyi-sembunyi. Sampaikan along yang selalu jadi pengawal peribadi pun boleh tak sedar dia main cinta belakang along. Jenuh dia menafikan tapi along dan angah cuma tertawa. Mana ada dia main cinta! Bukan along dengan angah tak kenal dia. Dia mana suka main layan perasaan begitu. Dia takut nanti umi suruh dia kahwin! Sungguh dia takut.

Dia kan Nadine Nur’iman, mawar berduri di taman milik abah dan umi? Dilindungi pagar yang punya pahlawan seperti along dan angah. Mana mungkin ada tangan jahat yang boleh memetiknya tanpa kebenaran dari mereka.

Kerana dia berterusan bertegas mengatakan dia tak kenal pemilik nama Fakhran Syafrie itu. Langsung abah memberikan cadangan. Minta si lelaki datang ke rumah untuk langsung bertaaruf dengan dia. Barangkali kata abah, dia ingat-ingat lupa siapa lelaki itu yang juga teman sekolahnya.

Dia jadi gementar. Kenapa abah semudah itu mahu dia bertaaruf dengan lelaki yang entah siapa-siapa itu? Apa abah mahu cepat-cepat lepaskan dia dari tanggungjawab abah? Abah sudah tidak mahu menjadi penjaganya lagi? Bila itu dia ajukan pada umi, umi langsung tertawa. Kata umi, “Budak tu budak baik. Abah yakin budak sebaik itu sesuai untuk Iman anak abah yang baik.”

Dia terharu bila umi kata dia baik. Tapi tak la pula sampai dia sanggup nak dijodohkan dengan siapa-siapa pula.

Dia sudah tidak mampu untuk melawan bila along dan angah tiba-tiba protes tidak mahu berbual dengannya. Bila abah tiba-tiba seperti tidak mahu berlawan bicara dengan dia. Dia jadi sedih sungguh! Terasa seperti diboikot oleh abah dan abang-abangnya! Kasihannya dia; Nadine Nur’iman yang perlu kahwin paksa! Kahwin aturan keluarga!

Abah! Iman pun mahu kahwin dengan lelaki yang Iman cinta! Lelaki yang Iman pilih sendiri! Tapi kata-kata itu hanya terlontar dalam benak fikirannya. Tidak pada lontar bicaranya.

Kalau ikutkan hati mudanya, barangkali dia sudah lari dari rumah. Apa kelas zaman sekarang, kahwin harus ikut pilihan keluarga? Dia sekarang sudah di zaman moden. Bukan lagi di zaman dahulu kala. Tun Teja dahulu pun lari dari Pahang gara-gara terlalu cintakan Hang Tuah. Justeru dia harus lari dari sini kerana cintakan siapa? Dia bukan ada sesiapa yang dia cinta pun. Cuma dia tak mahu jodohnya diatur-atur! Hanya itu.

Apa umi sangka mudah agaknya mahu menyerahkan hati pada orang yang kita tak kenal. Mana mungkin dia terima lamaran seseorang yang dia tak pernah kenal semudah itu! Ingat mudah nak tidur sebantal, nak makan sepinggan dengan lelaki yang dia tak pernah kenal?

Umi seperti tahu apa yang bermain dalam hatinya. Langsung umi menitipkan nasihat. Kata umi, abah tak pernah paksa dia untuk terima calon yang abah kemukakan.Bahkan abah akan terima calonnya kalau dia sudah ada calon.

Tapi sebelum itu, kalau boleh abah berharap agar dia berjumpa dahulu calon abah. Taaruf lebih dahulu. Terima atau tidak terpulang pada dia. Kata umi, abah sudah tapis betul-betul calon lelaki yang sesuai jadi anak menantunya. Abah bukan sebarang pilih, abah memilih mengikut setiap garis yang telah nabi s.a.w tetapkan dalam memilih calon suami puterinya. Tambah umi lagi, sebelum abah minta umi sampaikan niat abah padanya, abah lebih dahulu istikharah. Meminta petunjuk pada Allah patut atau tidak abah kenalkan calon pilihan abah pada dia.

Dia langsung mati kata bila mendengar kata umi. Sungguh dia akui, abah itu bukan seorang diktator. Selama ini pun, abah selalu terima pandangannya. Abah tak pernah memaksa. Cuma sekali ini, abah meminta dia untuk membuat sesuatu. Dan pada dia, permintaan abah ini berat sekali untuk ditunaikan. Dia seperti diluah mati emak, ditelan mati bapa. Menurut dia sengsara menolak abah yang sedih. Begitulah mungkin?

Sedihkan jadi dia? Hati terikat antara kehendak sendiri dengan kehendak umi dan abah! Dia mahu membantah dan menolak bulat-bulat. Tapi kerana terkenangkan umi dan abah langsung dia jadi tak berdaya.

“Iman jumpa la dulu. Tengok-tengok dulu. Kalau berkenan, kalau suka boleh teruskan. Kalau tidak. Tak apalah. Bukan jodoh barangkali.” Lembut umi memujuk. Dia langsung diam. Tidak menjawab. Harus bagaimana kalau umi sudah kata begitu.

Menarik nafas dalam-dalam. Perlahan dia mengangguk.

Apa salahnya dia dengar kata umi dan abah. Tak rugi pun. Kalau dia menolak sekali pun, umi dan abah pasti tidak akan membangkang. Bukan ke dia masih lagi muda? Baru masuk umur 21 tahun. Baru saja layak mengundi! Mengaji saja pun belum lagi tamat!

No comments: