Followers

Tuesday, February 26, 2013

#1 - iii

Dari duduk menongkat dagu, postur duduk ditegakkan. Buku yang tadinya terbuka langsung ditutup. Meraup wajah perlahan, Hana mengeluh. Apa dia terlalu berterus-terang? Ah, peduli apa dia. Walau terkadang kebenaran itu menyakitkan itu harus disampaikan.

Pada dia, manusia itu tidak layak untuk menghukum. Kerana hanya TUHAN yang berhak untuk menghukum. Kerana DIA sebenar-benarnya hakim.

Rasa bersalah kala melihat Naurah dan Huda dipanggil tadi sirna segera. Lagi pula, barangkali mereka juga barangkali harus ditarbiah dan memahami makna sebenar dakwah dan tarbiah. Tapi untuk sedetik, dia jatuh kasihan bila Kak Ada meminta Naurah dan Huda memohon maaf dari dia.

Dia seorang Nurhana yang bukan siapa-siapa pun. Dia seorang gadis biasa yang lebih selesa berseluar jeans, lebih selesa bert-shirt dan kadang-kadang mengenakan seluar pendek, bermuda atau pun skirt yang comel-comel. Iya... itulah dia seorang Nurhana.

Dia tidak marah bila ditegur. Dia suka bila dia ditegur. Cuma dia tidak suka dengan gayanya yang pada pendengarannya terdengar seperti menjengkilkan. Yang terdengar seperti menghakimi. Dia tidak suka dengan itu.

"Kak Ada tak nak ada yang masam muka. Jangan Naurah dan Huda ingat, Han mengadu pada Kak Ada. Tidak. Kebetulan hari tu Kak Ada terdengar. Jadi Kak Ada nak betulkan apa yang berlaku. Buang yang keruh ambil yang jernih." ujar Kak Ada.

"Kak Ada sayang adik-adik Kak Ada. Tak kira Naurah, Huda mahupun Han. Semuanya adik Kak Ada yang baik-baik. Kita kadang-kadang tak boleh menilai orang dari luaran. Luaran tak mencerminkan apa-apa. Yang penting hati. Insha-Allah, hati kita tu Allah yang gerakkan. Jadi Kak Ada nak, Naurah dan Huda minta maaf pada Han." ujar Kak Ada sambil menoleh padanya.

"Naurah, Huda..." seru Kak Ada sebelum kemudiannya berpaling memandangnya.

"Han... Boleh Han maafkan Naurah dan Huda?" soal Kak Ada. Dia mengangguk. Tapi tidak juga bersuara.
Meneguk liur, perlahan dia bangun. "Kalau Kak Ada tak ada apa-apa lagi, boleh Han minta diri dulu?" soalnya. Adawiya kala itu mengangguk. Menoleh memandang Naurah dan Huda, "Naurah dan Huda sebentar. Kak Ada nak bercakap sikit."

Nurhana sekadar melihat Naurah dan Huda berlalu meninggalkan Kak Ada. Lama duduk di katil. Hana memikirkan sendiri. Kewajaran untuk dia pindah. Patut atau tidak.

Menarik nafas dalam-dalam. Barang kembali di kemas.
Dia harus mencari sendiri hidayah itu dalam payah.
Bukankah sesuatu yang susah dan payah diperolehi itu adalah sesuatu yang lebih kita hargai dan cintai? Dia harus mengenal dirinya dulu. Untuk mengenal dirinya, dia harus mengenal penciptanya dan kemudian mencintainya. Apa, betul ke begitu?

Dalam Hana sibuk mengemas, dia langsung terlupa pada Naurah dan Huda. Ketika terdengar sapaan lembut Naurah dan Huda dari belakang, dia menoleh.

"Hana benar-benar mahu pindah?" soal Naurah. Huda masih tetap diam. Riak wajah dan pandangan Huda masih tetap sama. Masih tidak berubah. Masih menghakimikah gadis itu?

Hana mengangguk. Naurah mengeluh. "Tak mahu ditangguhkan niatnya dulu?" soal Naurah. Hana menggeleng.

"Masih terasa dengan kami?" soal Naurah lagi.

Hana memanggung pandang. Wajah Naurah direnungnya dalam. Mencari keikhlasan dari wajah itu. Tapi keikhlasan itu tiada. Naurah seperti dalam keterpaksaan sebenarnya dalam memujuknya. Memandang wajah Huda, gadis itu kelihatan jengkel padanya. Kenapa mesti begitu?

Apa mungkin kerana lancangnya mulutnya menyatakan ketidakpuasan hatinya pada tindak-tanduk dan kata-kata Naurah dan Huda padanya? Mungkin ke?

"Hana... kami minta maaf ya, Han?"

Mengangguk. Zip beg di tarik. Wajah Naurah dipandang lagi. "Rasanya, pergi itu yang terbaik. Kita tidak berdiri atas jalan dan niat yang sama. Saya tidak sesiqah awak berdua. Saya tak mahu menjadi fitnah kepada awak berdua bakal ahli syurga sedangkan saya mungkin penghuni neraka." laju Hana meluahkan. Meluahkan lebih kepada satu sindiran sebenarnya.

Naurah berubah wajah. Huda langsung merah padam. Hana mengukir senyum. Sinis lagi.

"Tak perlu datang bertemu saya dan memohon maaf kalau hati belum ikhlas. Tanpa rasa ikhlas itu insaf tidak akan timbul dan awak tak mengerti kenapa awak harus memohon maaf dari saya." luah Hana sambil bangun mengangkat beg ke atas katil.

Cardigan di belakang pintu disarungkan pada tubuh. Rambutnya dibetulkan. "Harapnya, selepas saya pergi nanti kita tidak lagi punya masalah seperti sekarang." ujar Hana. Naurah dan Huda diam. Tanpa salam, tanpa pamit. Hana langsung melangkah. Dia mahu bertemu dengan Jin Hyuk. Lelaki itu sudah berjanji mahu membantu dia untuk memindahkan barang. Tinggal sendiri rasanya lebih mudah. Lagi pun, dia mampu untuk tinggal sendiri walau tanpa duit biasiswa. Jadi dari terus dia menjerut rasa dan tertekan sendiri, lebih baik dia langsung mengundurkan diri. Kan?

1 comment:

My Beadz World said...

Congrats! teruskan berkarya ringkas tapi padat, good luck saya akan terus mengikuti perkembangan seterusnya:-)