Followers

Tuesday, February 26, 2013

#1 - ii

Yoeido Park, Seol, South Korea


Menghampiri tubuh yang sedang duduk mengadap pepohon yang cantik berkembang. Nurhana menarik nafas panjang sebelum dilepaskan.

"Han..." seru Kak Adawiya. Dia mengangguk.

"Lama Kak Ada tunggu?" soalnya. Kak Adawiya menggeleng.

"Ada apa Kak Ada ajak Han datang sini?"

Kak Adawiya tersenyum, perlahan dia menggeleng. "Saja, nak berbual dengan Han."

"Berbual?" soalnya. Kak Ada tersenyum.

"Kat rumah pun boleh berbual kan Kak Ada?" soal Nurhana sambil melabuhkan duduk. Kak Adawiya tersenyum. Perlahan mengangguk.

"Boleh. Cuma tak ada privasi. Kak Ada cuma nak berbual dengan Han. Tanpa ada sesiapa kat sisi yang dengar." ujar Kak Ada sambil menyiapkan bekalan yang di bawa.

"Makan dulu jom..." ajak Kak Ada. Dia mengangguk.

Melabuhkan duduk di sisi. Dia sekadar mengikut rentak Kak Ada yang mengangkat tangan dan mengaminkan ketika Kak Ada membacakan doa makan. Ketika menikmati makanan, Kak Ada tak banyak bercakap. Cuma selepas itu baru Kak Ada membuka mulut sambil menghulurkan pencuci mulut padanya.

"Han..." seru Kak Ada lembut. Nurhana memandang wajah Kak Adawiya, keningnya terangkat sedikit.

"Han marah lagi pada Naurah dan Huda?"

Tersungging senyum di bibir Nurhana. Dia berdehem untuk menyelesakan tekaknya yang terasa kering. "Kenapa Kak Ada tanya?"

"Kak Ada perasan yang Han dengan Naurah dan Huda macam tak berlaga angin  sejak dua menjak ni."

Mendengar itu Nurhana mengangguk. "Dah alang-alang Kak Ada tanya, Han nak berterus-teranglah dengan Kak Ada." ujarnya perlahan. Menarik nafas dalam-dalam. Wajah Kak Adawiya dipandangnya lama.

"Han mungkin bukan orang yang sefikrah dengan Kak Ada, yang sefikrah dengan Naurah dan Huda. Tapi Han rasa, tak sepatutnya dia orang hakimi Han macam Han ni murah. So what kalau Han berkawan dengan lelaki. Apa Islam itu rigid ke? Sampai berbual dengan lelaki pun salah? Berkawan dan keluar dengan lelaki pun bersalah?" soal Nurhana laju. Adawiya tersenyum. 

"Itu je?"

"Tak. Han adalah apa yang Kak Ada nampak. Cara Han pakai, cara Han berkerja, belajar. Jangan cuma hakimi Han menerusi luaran dan pakaian Han. Apa, orang yang berpakaian dan bersikap begini tak akan jumpa dengan hidayah Allah?"

"Hidayah itu milik Allah. Sedangkan orang seperti Kak Ada sekali pun, kalau Allah berkehendakkan, Kak Ada akan duduk di tempat Han sekarang dan Han mungkin akan duduk di tempat Kak Ada."

"Iya, mungkin sekarang Kak Ada, Naurah dan juga Huda bertudung labuh, berjubah segala bagai. Tapi kalau Allah berkehendakkan untuk uji Kak Ada, Naurah dan Huda. Kita mungkin berubah tempat." laju saja Nurhana bersuara. Adawiya kala itu tersentak. Sungguh dia tak sangka itu yang akan terlakar di bibir Nurhana. 

Nurhana memahami satu konsep yang mungkin Naurah dan Huda lupa. Kun Fa yakun. Jadi maka jadilah. Bila Allah berkehendakkan sesuatu, walau apa dan siapa sekali pun yang merasakan itu mustahil akan menjadi sesuatu yang tidak mustahil.

"Han betul. Han sangat betul..." ujar Adawiya lembut. Dia tahu, Nurhana adalah seorang gadis yang mudah untuk ditarbiah. Tapi perlu dalam lembut. Seperti menarik lembut dalam tepung. 

Dia tahu Nurhana itu masih mencari. Cara teguran juga mestilah cara yang lembut. Barangkali cara Naurah dan Huda menegur itu sedikit keras. Mendengar gadis biasa seperti Hana bercakap tentang fikrah tentang dakwah dia jadi terkejut. Untuk seorang yang mengaku hidup secara sekular seperti Hana, gadis itu kelihatannya dekat dengan tarbiah. Cuma mungkin selama ini dia sendiri kurang sedar. 

Untuk seketika dia kesal. Dia tidak menjadi seorang murabbi yang baik kepada seorang anak didiknya. Seharusnya dia harus sabar dalam menjadi da'ie. Dan sesungguhnya, usaha untuk tarbiah dan dakwah itu bukan usaha mudah. Itu satu usaha yang memerlukan kesabaran. Dakwah rasulullah tidak hanya berjaya dalam sehari. Tembok besar China juga tidak terbina dalam masa sehari.

Dia, Naurah dan Huda terlupa hakikat itu. Dia tak nafikan, kata-kata Hana itu masuk ke dalam fikirannya. Hana tak langsung silap. Mereka yang khilaf.

Bagaimana hendak berdakwah seandainya mereka terlalu keras dengan orang yang nak mereka dakwah. Mungkin juga dia, Naurah dan Huda terlupa; dakwah itu bukan hanya menerusi kata-kata. Tapi juga menerusi perlakuan dan tingkah laku kita.

Dia bersyukur, sekurang-kurangnya Hana sudah membuka mata dia untuk mengenal erti dakwah yang sebenar. Hana itu banyak bertanya dan pada dia itu sesuatu yang baik! Bertanya untuk mencari Allah. Sayangnya, bila mereka tidak mampu untuk menjawab soalan Hana dan mereka pula yang berdolak-dalih. Seharusnya bila kita sudah mahu menjadi da'ie, justeru kita harus mempersiapkan diri kita dengan ilmu. Agar bila ada yang bertanya kita mampu untuk menjawab persoalan mereka.

"Hana betul..." ujar Adawiya lembut.

"Kun Fayakun, Jadi maka Jadilah. Bila Allah berkehendakkan sesuatu semua perkara mustahil akan menjadi tidak mustahil. Hidayah itu milik Allah, dan DIA akan berikan kepada sesiapa saja yang DIA inginkan. Tetapi tak bermaksud kita tak perlu mencari hidayah Allah. Hidayah yang dicari itu akan terasa lebih nikmatnya. Percayalah..."

"Tapi, takkanlah sebab pertelingkahan tempohari Han sampai nak pindah rumah?" soal Adawiya lembut.

Nurhana mengoyak senyum. Perlahan dia mengangguk. "Ini bukan kali pertama, ini sudah entah kali ke berapa. Han rasa sudah masanya untuk Han mengundurkan diri." luah Nurhana perlahan. Adawiya tersentak. Sangkanya itulah kali pertama adik-adiknya berselisih pendapat. Rupanya tidak.

"Cuma satu pesan Han, jangan mudah menghakim sesiapa. Hidayah tu kalau Allah nak bagi tak perlu nak ditahan-tahan atau ditunggu-tunggu. Sekelip mata Allah dah bagi. Dan kalau pun Han ni macam ni, tak bertudung tak menutup aurat properly jangan sangka Han tak cari hidayah Allah."

"Han mungkin sedang mencari hidayah Allah. Dan Han mencari bukti kepada apa yang harus Han kerjakan. Bila Allah kata perempuan harus menutup aurat, Han tak nak tutup aurat Han membabi buta. Han nak tahu kenapa kita disyariatkan menutup aurat. Bukan sebab hanya nabi suruh, bukan sebab dalam al-Quran kata kena tutup. Tapi nak tahu kenapa."

"Han nak jadi seorang Islam yang benar-benar Islam. Bukan sekadar Islam pada nama, atau Islam kerana keturunan. Han nak mencari Islam tu. Nak mencari Allah itu. Nak mencintai Islam dan Allah kerana Han faham apa itu Islam. Apa itu pencipta Han." ujar Nurhana perlahan.

Sekali lagi Adawiya tersentak. Nurhana didepannya ini memberikan dia kejutan bukan sekali. Tapi berkali-kali dengan kata-kata dan ayat-ayat yang terlontar di depannya kala ini. Perlahan Adawiya mengangguk.

"Han benar, Kak Ada minta maaf bagi pihak kawan-kawan Han. Tapi Kak Ada harap, Han tak akan lupakan Kak Ada. Insha-Allah, kalau Han perlukan pertolongan Kak Ada sentiasa ada untuk membantu." ujar Adawiya perlahan. Nurhana tersenyum nipis. Perlahan mengangguk.

No comments: