Followers

Tuesday, August 25, 2015

Langit Cinta Syifa - 1 [ ii ]

"I am sorry..." tutur Aisy. Kaki mula menguis-nguis permaidani Turki milik mama. Kepala menunduk.

Okey, masa buat tak rasa takut.
Dah buat, dah balik mengadap mama dan baba, baru rasa takut. Macam tu ya Aisy?
Dah tu?

Masa buat, mana nak ingat consequences yang dia akan hadapi. Tapi bila dah buat, bila dah kena balik mengadap mama dan baba, sekarang baru terasa. Rasa bersalah yang teramat sangat! Tambah rasa bersalah bila mama dan baba masing-masing diam.

"Along salah. Along minta maaf." tutur Aisy.

Mama tarik nafas panjang sebelum dihela berat. Baba, masih lagi diam ditempatnya. Ada tak ada, baba keluarkan sebatang rokok dari kotak rokok Surya Gudang Garam miliknya. Rokok diselitkan dicelahan bibir.
 
"Mama tak pernah ajar anak mama memberontak..." tutur mama perlahan.

Aisy pejam mata.
Suara mama perlahan, tapi rasa tu melengkap sampai ke tangkai hati!
Ya mama, mama tak pernah ajar anak mama memberontak. Along yang besar kepala! Memberontak kononnya along dah besar. Tapi hakikatnya along tak guna otak untuk menilai!
 
"Along minta maaf..." tutur Aisy perlahan.
 
"Along puas hati buat macam tu?"

Perlahan Aisy geleng kepala. Mata pandang wajah mama, pandang wajah baba. Aisy koyak senyum. "Along berdosa dengan mama. Berdosa dengan baba."

"Mama dan baba hantar along ke sana untuk belajar, bukan bercinta. Along dah belakangkan mama bila along jalinkan hubungan dengan lelaki macam tu. Along minta maaf..." tutur Aisy perlahan.

"Apa along nak buat sekarang?"
 
Aisy tarik nafas panjang. Bibir ukir senyum. "Along ikut cakap mama. Along putuskan hubungan dengan dia."

"Along okey?" soal mama.

Mata Aisy memerhatikan baba. Baba asyik sekali dengan rokok Surya Gudang Garamnya. Aroma kulit kayu manis memenuhi ruang tamu. Baba seperti endah tak endah dengan perbualan Aisy dan mama, tapi Aisy tahu baba sebenarnya sedang mendengar. Dia sedang memberikan mama  ruang untuk bercakap dengan Aisy.

Perbualan hati ke hati, dari seorang perempuan kepada seorang perempuan.
Aisy anak baba.
Aisy sangat rapat dengan baba.
Barangkali baba merasakan, kalau baba yang tegur, Aisy akan lebih terluka.
 
"Aisy..."

Bila mama mula seru nama. Itu maksudnya mama sedang masuk mode perbualan yang maha serius. Mama mahu Aisy ambil perhatian.

Pandangan kembali dialihkan pada mama. Senyum diukir. "Aisy takkan tanya, kenapa mama dan baba halang."

"Aisy takkan pertahankan hubungan Aisy dengan dia, sebab Aisy hormat pada kehendak mama dan baba."
 
"Tapi Aisy nak mama dan baba berikan Aisy ruang dan tak akan pernah ungkit dan tanya, bila Aisy nak kahwin. Tak akan pernah memaksa untuk Aisy kahwin." tutur Aisy lancar.

"Maksudnya?"

"Aisy akan lepaskan dia. Aisy takkan ungkit tentang hubungan Aisy dan dia. Aisy akan ikut cakap mama dan baba..." tutur Aisy tenang.

Itu yang terbaik...
Kan Aisy?
Hati bersuara sendiri. Mata merenung mama, sebelum menoleh memandang baba. Masing-masing menganggukkan kepala.
 
"Aisy pasti?"
 
Aisy angguk kepala. "Mama dan baba, cuma seorang. Tapi dia, Aisy boleh tukar ganti." tutur Aisy tenang. Memang pun kan Aisy?

Mama dan baba, cuma mereka yang kau ada. Tapi kalau kekasih? Kau boleh tukar ganti. Apa sangat nilai sebuah hubungan cinta yang belum lagi halal, kalau nak dibandingkan dengan kasih sayang mama dan baba.
 
"Aisy minta maaf..." tutur Aisy lagi.

Bangun mendapatkan mama, dia bersimpuh di kaki mama. Tangan mama Aisy capai. "Aisy tahu Aisy salah. Airil dah cakap dengan Aisy, Aisy dah buat mama nangis."

"Aisy dah buat baba risau. Aisy tahu Aisy dah jadi anak derhaka. Aisy minta maaf mama..."

"Aisy belum tentu dapat masuk syurga, tapi janganlah sampai Aisy tak dapat cium bau syurga sebab derhaka pada mama dan baba."

"Sebab Aisy degil dengan mama dan baba..." tutur Aisy lembut.
 
Mama diam. Perlahan mama angguk. Rambut Aisy yang berombak hingga paras pinggang itu mama elus lembut.
 
"Mama maafkan..." tutur mama. Aisy koyak senyum.
 
Melangkah mendapatkan baba. Seperti tadi, Aisy duduk di lantai. Tangan Aisy mencapai tangan baba. Jemari tua baba dikucup, "Maafkan Aisy baba..."

Baba angguk kepala. Jemari baba menyapu lembut rambut Aisy. "Baba maafkan." tutur baba lembut. Aisy hulur senyum. Rasa sebak dalam dada ditahan.

Jangan menangis Aisy...
Jangan menangis...

Kalau ada satu pengorbanan yang kau boleh buat untuk mama dan baba. Ini salah satu darinya.
 
"Aisy sayang mama dan baba..." tutur Aisy lembut. Mata menikam lembut mata baba. Baba ukir senyum. Perlahan baba angguk kepala.

"Baba tahu..."

Sekali lagi, tangan baba Aisy kucup. "Aisy naik atas dulu..." tutur Aisy.
Baba angguk kepala.

Toleh pandang mama. "Aisy naik atas dulu mama..."

Mama angguk kepala. "Pergilah..."

"_______________________________"
 
Unedited BLS 1 [ ii ]

No comments: