Followers

Friday, May 16, 2014

#Pelangi Tujuh Warna - 1

Amaran : BACA DENGAN RISIKO ANDA SENDIRI :)


Insya-Allah, mulai hari ini; saya akan mulakan penulisan PELANGI TUJUH WARNA di sini.

Buat yang menggemari cerita chicklit | cinta, barangkali tulisan saya buka sesuatu yang anda gemari! Ya, ini bukan kisah cinta.
Dan saya tidak pernah pandai menulis kisah cinta!
Ini kisah kekeluargaan. Ini kisah yang barangkali ada di luar sana. Dan saya bukan penulis novel cinta atau cerita-cerita cinta yang indah-indah.

Andai ada salah dan silapnya, harap dimaafkan.
Dan pada anda yang sudi membaca.
Selamat membaca, tapi atas risiko anda sendiri.

*************************************************************

PERBEZAAN KITA ITU YANG mendekatkan kita. Sepertinya, kita saling melengkapi. Kelebihanmu, menutupi kekuranganku dan kelebihanku menutupi kekuranganmu.

Tika adanya kamu, aku merasakan segalanya mudah untuk aku lalui dan harungi. Kerana saat adanya kamu, aku punya penyangga dalam hidupku.

Tapi saat kau dipanggil pergi. Aku jadi hilang diri. Aku jadi hilang kekuatan kerana sebahagian semangatku telah direntap dari hidupku.

Bagaimana agaknya aku mengambil alih tanggungjawabmu dalam mendidik mereka? Sedangkan selama ini, kau yang menggalas tanggungjawab itu sepenuhnya dan aku sekadar melihat kala perlu.

Seperti katamu dulu, "Biar mama yang marah anak-anak, papa biar jadi ayah yang lembut."

"Tak boleh dua-dua keras. Kena seorang keras seorang lembut. Jadi bila mama yang keras, anak-anak punya papa untuk meluahkan rasa. Dan papa harus jadi seorang papa yang boleh mendengar segala luahan anak-anak. Okay?"

Memejamkan mata, satu helaan nafas berat diluahkan.
Hari ini, sudah tidak sama seperti semalam.
Hari ini, bermulanya perjalan hidup dengan anak-anak tanpa kamu mama. Dan mampukah papa?

Memandang ke kaki langit, ada pelangi tujuh warna. Langsung teringat pada kata-kata yang sering dipetik orang, "Kadangkala Allah menghilangkan mentari, kemudian dia datangkan guruh. Puas kita menangis, mencari dimana mentari; tapi kita tak tahu bahawa DIA rupanya nak hadiahkan kita pelangi."

Tapi kata mama, "Pelangi itu tujuh warnanya, cantik dan menarik; tapi mahal harganya."

"Mahal? Kenapa?" soal Fattah pada Wardah.

Dengan senyuman dibibir, Wardah menoleh memandang Fattah. "Mahal sebab hadirnya selepas hujan menimpa bumi. Bukan pada waktu teriknya matahari."

Ya,
Itu kata-kata Wardah tempohari. Kata-kata yang meresap jauh ke dalam tangkai hati Fattah.

Wardah; dia wanita yang penuh ceria. Wanita yang sering menyerikan hari-hari Fattah. Dan Wardah tak pernah lupa mengingatkan Fattah pada pentingnya meluahkan rasa.

Setiap pagi Fattah pasti disambut dengan, "Assalammualaikum papa sayang! Mama sayang papa!"

Dan Fattah akan tertawa.
Dan kalau pun Fattah dan Wardah bergaduh; itu cuma sekejap. Dan kemudiannya Wardah pasti akan cepat-cepat melafazkan rasa sayangnya pada Fattah.

Pernah Fattah menegur, "Kata orang kan mama, kalau mudah meluah sayang; nanti ada rasa jemu."

Mencerun mata Wardah kala itu. "Siapa saja yang bagi teori gila tu pada papa?"

"Papa tahu tak, usia kita ni pendek. Jadi selagi boleh; ucapkan betapa sayangnya kita pada pasangan kita dan orang yang kita sayang. Agar satu hari nanti kita tak akan pernah kesal sebab kita simpan rasa sayang tu di dalam hati tanpa sempat kita ucap yang kita sayang mereka."

"Mama nak tinggalkan papa?" soal Fattah.

Wardah langsung tertawa. "Insya-Allah, selagi Allah panjangkan usia mama; selagi Allah lanjutkan jodoh mama dengan papa, mama tak akan pernah tinggalkan papa."

Ya, itu Wardah isterinya.
Isteri yang ceria. Isteri yang rajuknya cuma sekejap. Isteri yang mudah sekali mengungkap maaf hingga terkadang egonya langsung jatuh. Dan mengenali Wardah; bersama Wardah untuk beberapa tahun usia perkahwinan mereka itu; Fattah jadi manusia yang reti menghargai orang.

Mama...
Pelangi itu tujuh warnanya,
Hadirnya selepas hujan menimpa bumi.
Tapi mama,
Bilakah agaknya papa akan melihat pelangi lagi?

Memandang keluar rumah, Fattah menarik nafas panjang. Ada satu rasa yang membuku di dada. Rasa yang ditahan Fattah sejak sekian lama. Rasa yang Fattah simpan sediri-diri.

Rasa itu membuatkan Fattah sakit.
Dan hari ini, ketika langit hitam diluar, bumi disirami hujan. Fattah juga sedang hujan di dalam rumah.

Dia mahu melepaskan semuanya.
Dia mahu basah hari ini; agar terus kering untuk hari-hari ke depan.





MEMANDANG ANAK YANG baru siap ditidurkan Fattah menarik senyum. Botol susu yang kosong, perlahan ditarik dari belahan bibir munggil anaknya itu. Fattah bersandar ke kepala katil. Menarik nafas dalam-dalam, satu helaan berat dilepaskan.

Mama,
Puteri kita Nur Ammara dah masuk enam bulan usianya mama. Mesti mama rindukan dia kan? Mesti mama nak peluk dia kan?

Nur Ammara anak yang baik mama. Dia tak banyak meragam. Bila papa tinggalkan Ammara dengan neneknya pun, dia baik je. Kata ibu, Ammara itu anak yang penuh pengertian. Dia tahu yang ibunya sudah tiada, jadi dia tak mahu ributkan hati neneknya.

Dia mahu papanya tenang-tenang jaga dia. Dia mahu menjadi anak yang membahagiakan hati papanya, hati nenek dan datuknya.

Kata-kata ibu itu mama, walau pun sebenarnya untuk pujuk hati menantunya ini. Tapi buat papa sedih. Papa seperti merasakan yang mama sentiasa dengan papa. Papa selalu rasa yang mama masih lagi di hospital menerima perawatan. Mama masih lagi ada dengan kami.

Mama,
Papa selalu nampak bayangan mama yang memeluk Ammara dalam pangkuan sambil bibir mama tak kering melantunkan bacaan al-quran. Papa selalu nampak bagaimana sabarnya mama melayan kerenah Fadh, Anisa dan Ammara serentak.

Bagaimana mama sabar melayan Anisa yang bertanyakan itu ini sambil melukis di atas kertas, dengan Ammara dalam kendungan ketika dia mama susui dan Fadh yang terkadang nakal membentak meraih perhatian mama.

Dulu, papa tak tahu betapa mama banyak berkorban dan mama banyak bersabar dalam melayan anak-anak. Tapi bila mama tiada, bila papa yang terpaksa ambil alih tugas mama. Pertama kalinya papa rasa betapa beratnya bebanan yang papa dah letakkan atas bahu mama.

Papa selalu lepaskan tanggungjawab jaga anak-anak cuma pada mama. Dan mama pula, selalu saja senyum. Mama tak pernah marah. Tapi mama selalu tegur papa, jangan lupa jenguk anak-anak di bilik. Ucap selamat malam. Cium anak-anak.

Mama selalu ingatkan papa, sibuk macam mana pun papa; sekurang-kurang sehari dua dalam seminggu itu luangkanlah untuk anak-anak. Anak-anak perlukan papa bila membesar. Kata mama, mama ini tugasnya mendidik anak-anak. Tapi yang mendisiplinkan itu harus papa.

Tapi mama,
Sekarang ini semuanya papa harus lakukan sendiri.

Mampu ke papa nak membesarkan mereka dalam tempoh beberapa tahun ke depan ini sendiri? Baru dua bulan mama pergi, papa sudah rasa tak mampu. Papa sendiri rindukan mama. Dan mereka juga rindukan mama.

“Mama!!!” jeritan itu mengejutkan Fattah. Mengengsot turun dari katil, Fattah menuju ke bilik milik Anisa. Anaknya itu sudah terjaga dari tidur. Menangis teresak-esak.

“Anisa kenapa?” lembut suara Fattah sambil mengosok lembut rambut anaknya itu.

“Mama…”

“Kenapa dengan mama?”

“Anisha nak mama…” tutur Anisa. Fattah diam. Bibirnya menarik senyum kelat. Tubuh Anisa ditarik dalam dakapan.

“Anisa mimpi mama?”

Anisa angguk.

“Mama cakap apa?”

“Mama senyum.”

“Lagi?”

“Mama senyum je.” Tutur anaknya itu dan menangis lagi. Fattah diam. Ya, barangkali Anissa terlalu rindukan mamanya. Itu yang sampai terbawa-bawa dalam mimpi.

“Anissa nak tidur dengan papa?” soal Fattah.

“Boleh?”

Fattah angguk. “Jom.” Ajak Fattah. Annisa dikendungnya dalam dukungan dan di bawa ke bilik. Di baringkan atas katil. Ammara diangkat dan diletakkan di dalam baby coach.

“Annisa tidur ya..”

Annisa angguk.

“Baca doa tidur.” Pesan Fattah sambil turut membacakan doa tidur dengan Annisa. Berbaring di sisi Annisa, tubuh anak kecilnya itu ditepuk perlahan-lahan. Menarik nafas dalam-dalam, perlahan dihelanya.

Mama…
Papa rindukan mama.






HARI ITU, FATTAH MENGAMBIL CUTI. Dia jadi risau melihat Arrisa dan Fadh. Arrisa, jadi terlalu pendiam dan Fadh kuat memberontak. Benda-benda yang kecil boleh buat Fadh kuat memberontak. Marahnya hingga kadang-kadang boleh membuatkan Fadh itu berguling-guling di atas lantai.

Fattah tahu itu bukan sesuatu yang normal. Fattah tahu yang anaknya itu sedang menunjukkan perkembangan emosi dalam menyatakan ketidakpuasannya dengan cara yang tersendiri.

Jadi hari itu, Fattah ambil keputusan untuk bercuti. Dia mahu meluangkan masa dengan anak-anaknya. Dia tahu, anak-anak rasa kehilangan.

Selama ini, yang memberikan perhatian dengan mereka itu mama mereka; bukannya papa. Yang duduk seharian dengan anak-anak di rumah itu mama, bukannya papa. Yang bercerita waktu tidur dengan mereka itu mama dan bukannya papa.

Ya, Wardah; beberapa bulan sebelum melahirkan dulu, sering mengalami komplikasi. Akhirnya Wardah terpaksa bercuti untuk berehat di rumah. Makanya, anak-anak tidak lagi dihantar ke rumah ibu.

Kata Wardah, biarlah dia didik anak-anak sendiri di rumah semasa dia bercuti panjang. Kata Wardah, bukankah guru terbaik seorang anak itu adalah ibunya?

Fattah setuju dengan itu. Ya, dia sebenarnya mahu anak-anaknya dijaga dan dididik sendiri oleh Wardah. Tapi dia hormati kehendak Wardah yang mahu bekerja. Dia berkahwin dengan Wardah, ketika Wardah sudah punya kerjaya dan berjaya dalam kerjayanya.

Tapi Wardah itu, isteri yang sungguh luar biasa di mata Fattah. Tenaga Wardah seperti tak habis-habis. Penat kerja di luar tidak dianggap bebanan buat Wardah bila di rumah. Dan Wardah selalu memastikan yang makan pakai Fattah itu terjaga.

Amat jarang Fattah makan nasi di luar. Makan Fattah selalu disediakan Wardah. Dan barangkali itu yang membuatkan sayang Fattah pada Wardah itu semakin menggunung tinggi.

Fattah bukan Wardah. Mahu menjadi seperti Wardah itu mustahil. Tapi demi anak-anak, Fattah mahu galas semua tanggungjawab yang pernah Wardah galas.

Kalau Wardah boleh berkorban untuk keluarga, kenapa tidak Fattah? Kalau Wardah boleh dekat dengan anak-anak. Boleh melayan segala ragam anak-anak tanpa sekali pun meninggikan suara. Kenapa tidak Fattah?

Wardah itu penuh diplomasi dalam mendidik anak-anak. Selalu Fattah ditegur Wardah kalau meninggikan suara di depan anak-anak. Kata Wardah, anak-anak tak perlu diherdik. Anak-anak cuma diberikan pengertian dengan bicara yang halus dan mudah.

Anak-anak akan mengerti. Itu kata Wardah pada Fattah. Wardah selalu pesan pada Fattah, "Fadh dan Anissa itu papa, selalu meragam depan papa bukan kerana apa. Dia orang nak perhatian papa. Papa jarang ada di rumah dengan mereka. Jadi mereka nak tarik perhatian papa."

"Kalau papa marah-marah bila mereka buat perangai, nanti mereka akan 'sentap'. Mereka jauh dari papa. Jadi kalau mereka buat salah, papa langsung saja tegur. Terangkan itu salah dan kenapa salah." tegur Ainna.

Ya, Ainna itu; penuh pengertian. Bukan sahaja sebagai isteri tapi juga sebagai ibu. Kerana itu, bila Wardah tiada; Fattah sudah rasa kehilangan.

Wardah itu kekuatannya. Wardah itu pendorongnya. Wardah temannya. Wardah kekasihnya. Segala-galanya dalam hidupnya itu berlingkarkan Wardah.

Mengingati Wardah yang terbaring di katil dengan segala wayar berselirat di tubuh Wardah, dengan wajah yang pucat. Air mata Fattah jatuh.

Sakit begitu pun, Wardah masih kuat!
Kata Wardah pada Fattah, "Mama minta maaf. Mama tak dapat nak bersiap cantik-cantik untuk papa."

Dan Fattah tertawa. Wardah dalam kesakitan pun mahu kelihatan cantik hanya untuk Fattah.

"Papa mahu mama sembuh. Jadi mama harus kuat ya." tutur Fattah. Wardah mengoyak senyum. Perlahan dia mengangguk dalam lemah.

"Papa sayang mama?" soal Wardah. Fattah mengangguk.

"Jadi papa jangan sedih-sedih. Mama tak suka tengok papa sedih."

Fattah angguk lagi.

"Papa... apa saja kemungkinan yang berlaku, papa akan terima dan reda kan?" soal Wardah. Fattah angguk.

"Papa tahu kan, kalau masa mama tak panjang lagi?"

Fattah geleng kepala. Air matanya jatuh lagi. "Mama jangan cakap macam tu. Mama akan sembuh. Papa tunggu mama. Anak-anak pun tunggu mama."

Wardahsenyum. Jemari Wardah menggenggam erat jemari Fattah. "Papa, mama nak papa tahu; kalau sampai saat mama dipanggil tuhan, mama taknak papa sedih-sedih. Tuhan ambil mama dari papa, mungkin untuk kuatkan papa dan anak-anak."

"Tapi kalau tuhan izinkan mama bersama dengan papa dan anak-anak lagi, itu maksudnya dia masih mahu jodohkan kita kat dunia ni."

Air mata Fattah lerai lagi.
Wardah bila menuturkan kata, tampak tenang. Walhal, Fattah nampak bagaimana deru nafas Wardah kala itu kelihatan payah amat.

Ya. Fattah bukan Wardah.
Tapi sekarang, Fattah sudah menggalas tanggungjawab Wardah. Memikirkan reaksi anak-anak dan tingkah laku mereka yang berubah. Fattah jadi risau.

Cadang Fattah dia mahu berbincang dengan teman baik Wardah, Aisya. Aisya itu pakar psikologi kanak-kanak. Fattah mahu dapatkan pandangan dari Aisya tentang perubahan tingkah laku anak-anaknya.

Mujur Ammara masih kecil. Kurang-kurang, Ammara belum mengerti apa-apa tentang kehilangan.

Bangun pagi itu, usai saja solat subuh Fattah lebih dahulu menjenguk Ammara di dalam baby coart. Anaknya itu sudah terjaga. Matanya membulat memandang ke siling. Sesekali tangan munggil anaknya itu masuk ke mulut. Dikulum-kulumnya.

Fattah mengoyak senyum. Tangan Fattah cekap memeriksa lampin pakai buang Ammara kalau-kalau basah atau berisi. Tapi masih lagi bersih. Fattah mengoyak senyum.

"Anak papa dah bangun ya. Awal Ammara bangun. Ammara bangun teman papa solat ya?" soal Fattah sambil mengangkat Ammara ke dalam kendungannya. Wajah munggil Ammara dikucup Fattah penuh kasih.

"Pagi sikit lagi, baru Ammara mandi ya." tutur Fattah sebelum mengembalikan Ammara ke dalam baby court. Melangkah ke dapur, Fattah menyiapkan nasi goreng untuk sarapan dia dan anak-anak.

Air mandian Ammara disiapkan dan dirasa suhunya oleh Fattah dengan menggunakan siku. Berpuas hati, Fattah langsung ke kamar tidur, mengambil Ammara untuk dimandikan.

Siap memandikan Ammara, anak kecilnya itu Fattah susui sementara menantikan Annisa dan Fadh bangun dari tidur.






BERCAKAP DENGAN AISYA TADI, Fattah rasa lega. Mujur Aisya punya waktu lapang hari ini. Fattah diminta bawa anak-anaknya sekali ke pejabat Aisya.

Beg yang mengandungi kelengkapan anak-anaknya disiapkan. Fattah termenung. Selama Ainna tiada, Fattah tak pernah bawa anak-anaknya bersiar-siar.

Fattah tak pasti, apa nanti dia mampu nak kawal anak-anaknya di luar. Dia takut, dia tak sempat nak berikan perhatian pada anak-anaknya.

Jadi nanti? Bagaimana?
Ammara dan Fadh dalam stroller, dan Arrisa nantinya didukungnya atau bagaimana?
Sudah! Dia buntu!
Memerhatikan Arrisa. Anaknya itu leka sekali dengan pensil warna dan kertas di meja. Fadh pula leka dengan kereta mainannya yang ditolak ke sana ke mari dengan bunyi yang dibuat-buat dari mulutnya.

Mendekati Arrisa, Fattah menyimpuhkan silanya di arah bertentangan.

"Arrisa buat apa?" soal Fattah.

"Lukis."

"Lukis apa?"

"Lukis mama."

Fattah diam. Hatinya tersentap! Jawapan Arrisa pendek, tapi jelas untuk tunjuk betapa Arrisa rindukan mamanya.

"Mama tak sayang Arrisa?

Fattah tersentap lagi. "Mama sayang Arrisa."

Arrisa memanggung pandang. "Bila mama nak balik papa?" soal Arrisa dengan matanya yang membulat comel.

"Mama kan kat syurga?"

"Jomlah kita pergi syurga papa."

"Kita tak boleh pergi syurga sayang..."

"Kenapa tak boleh?"

Fattah diam. Lama dia mimikir. Apa jawapan terbaik yang harus dia berikan pada anaknya. Menarik nafas dalam-dalam, Fattah senyum.

"Syurga tu tempat untuk orang berehat."

"Mama berehat kat syurga?" soal Arrisa. Fattah angguk.

"Tapi kenapa mama rehat kat syurga?"

"Kenapa mama tak rehat kat rumah kita je?" soal Arrisa bertubi-tubi. Fattah jadi kelu.Tekaknya terasa berpasir.Perlukah dia menjawab persoalan anak kecil ini? Atau biarkan sahaja begitu?

No comments: