Followers

Friday, October 25, 2013

Warna Hati Nurul - Shahzy Hana




Tajuk : Warna Hati Nurul
Penulis : Shahzy Hana 
Harga : RM23.00 
ISBN : 978-967-0508-11-5 


 SINOPSIS

 … cuma ketika ini aku sedang belajar, apa itu erti reda... 

Demi menyelamatkan satu nyawa, Nurul Hasyifa menerima Fasil dalam keadaan terpaksa. Biarpun Fasil telah berterus-terang ingin mengahwininya kerana cinta, hati Nurul tetap tidak mampu menerima kehadiran lelaki itu. Namun, sukar baginya untuk menolak kerana dia tersepit antara perasaannya dan nyawa ibu Fasil.

Keikhlasan Fasil benar-benar membuat hatinya tertambat. Tapi, saat Nurul mahu membuka pintu hatinya, datang pula Azreen membuat onar. Rumah tangga yang baru dibina tiba-tiba diuji dengan berita kecurangan Fasil. Walau berkali-kali Fasil membela diri, namun tiada siapa yang percaya bahawa dirinya difitnah. Kecewa kerana hilangnya sokongan daripada keluarga, Fasil akhirnya mengambil keputusan membawa diri ke Gaza.

Demi sebuah keampunan, Nurul tidak jemu-jemu menunggu kepulangan Fasil. Namun, masih adakah sinar untuk mereka mengecap bahagia? Atau penantian Nurul hanya sia-sia?

Haruskah aku terus berpaut di dahan yang rapuh itu, sedangkan kelopak dedaun sedang berguguran?

Menghayati Warna Hati Nurul benar-benar meruntun jiwa. SHAHZY HANA mencorakkan ketabahan hati Nurul Hasyifa dengan bahasa yang sungguh puitis.


BICARAKU

Kak Shahzy Hana @ Suzy, pertama kali saya kenali ketika perlu bertugas di booth JS untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011.

Pertama kali bersua muka, kami boleh berbual gembira. Boleh berkongsi cerita. Baik, entry ini bukanlah satu entry tentang bagaimana saya kenal Kak Shahzy Hana atau Kak Suzy. Sebaliknya entry tentang review Warna Hati Nurul seperti yang saya janjikan pada Kak Shahzy Hana.

Kakak,
Maaf. Reviewnya berbulan lewat dari waktu yang dijanjikan.

Terus-terang, saya belum sempat membaca tulisan Kak Shahzy Hana yang pertama dengan Jemari Seni - Seindah Mentari walau bukunya sudah lama saya beli. Sebabnya? Saya kini berada di Kangar dan buku itu tersimpan rapi di rak buku di rumah saya di Kuala Lumpur.

Saya tidak akan membandingkan kedua-dua buku tersebut kerana pada saya, setiap buku ditulis dengan satu niat - semoga ada sesuatu yang terinspirasi atau menjadi pengajaran pada yang membaca.

Pertama kali membaca tulisan Kak Shahzy Hana, saya sedar tentang sesuatu. Tentang bahasa dan ceritanya yang melankolik dan puitisnya bahasa.

Ya, bahasa yang digunakan Kak Shahzy Hana pada saya puitis. Lembut dengan cara tersendiri dalam menyampaikan rasa hati Nurul Hasyifa. Kisah ini sebenarnya berputar dan berpusarkan tentang Nurul Hasyifa.

Tentang Nurul Hasyifa yang kehilangan sebahagian hatinya pada suami yang baru menyambut lafaz ijab dan qabulnya. Pada seorang lelaki yang disandarkan harapan untuk membina hidup dan masa depan bersama. Kehilangan itu menghadiahkan kesakitan dan keperitan.

Ditinggalkan suami buat selama-lamanya selepas diijabkabulkan, bukan sesuatu yang mudah diterima. Tadinya, lelaki itu di depan mata.
Tadinya lelaki itu berbicara dengannya.
Tadinya lelaki itu bermanja dengannya.
Tapi lelaki itu yang tadinya kacak berdiri di depan mata,
Kini terbaring lesu.
Tiada lagi suara yang kedengaran,
Tiada lagi lembut bibir mengucup dahi,

Kehilangan secara tiba-tiba begitu - bukan mudah untuk diterima.
Tidak anda.
Tidak saya.
Tidak kita.

Kehilangan itu mengajar satu rasa - pasrah dan reda.
Pasrah dan reda itu bukan mudah untuk diraih.
Pasrah dan reda itu memerlukan masa dan usaha.

Pada saya, Nurul Hasyifa ini gadis yang lembut hati dan jiwanya.
Kehilangan Razif memberikan satu pukulan besar pada Nurul Hasyifa sehingga dia larut dalam rasanya.
Tenggelam dalam kesedihan tanpa mempedulikan hati-hati lain yang turut bersedih dan risau.
Ya,
Barangkali Nurul Hasyifa yang muda itu masih belum matang.
Pada dia - aku yang menanggung.
Aku yang rasa.
Aku yang kehilangan!
Jadi usah dipaksa aku melupakan.
Ya, barangkali itu yang dirasakan oleh Nurul Hasyifa bila dia sering diminta untuk melupakan.
Untuk melepaskan.
Untuk reda.

Tapi sekurang-kurangnya, kasih ibu dan ayah. Sikap tidak berputus asa itu berjaya mengembalikan Nurul Hasyifa dari larut terus dalam laranya.

Dalam kisah ini, saya kagum pada Fasil. Pada saya, Fasil itu seorang lelaki yang kuat mentalnya. Kuat jiwanya. Fasil tidak mudah cemburu pada masa lalu Nurul Hasyifa. Fasil cuba untuk memenangi isteri yang dikahwini bukan atas sepenuh reda sang isteri.

Fasil pada saya, seorang lelaki yang cuba bertolenrasi dan menerima segala kekurang seorang wanita yang dia cintai. Ya, kasih Fasil tulus. Dan kerana tulusnya itulah, maka Fasil boleh menerima masa lalu dan kasih Nurul Hasyifa pada Razif yang terlalu mendalam.

Kalau saya seorang lelaki, belum tentu saya mampu untuk sesabar itu.
Tapi Nurul Hasyifa pada saya tidak matang sepenuhnya bila dengan mudah Nurul Hasyifa 'terlompat' dengan perancangan Azreen.

Tapi bila difikirkan, rasionalnya - Nurul Hasyifa tidak kenal siapa Fasil yang sebenar.
Dia berkahwin dengan Fasil itu pun atas dasar simpati dan cuba menyelamatkan nyawa ibu Fasil.
Jadi mana mungkin dia kenal siapa diri Fasil yang sebenar?
Tambahan perkenalan singkat dengan Fasil - Azreen di satu pagi yang singkat itu barangkali sudah memberi dan meninggalkan perspektif tersendiri dalam fikiran Nurul Hasyifa.

Cumanya pada saya, bila kali pertama itu sudah terbukti yang Fasil tidak bersalah, makanya sebagai seorang isteri untuk kali kedua, Nurul Hasyifa tidak sepatutnya mudah lagi melatah. Sepatutnya Nurul Hasyifa sudah perlu ada sedikit kepercayaan pada suami. Tapi sikap Fasil yang tidak berterus-terang dan tidak memaklumkan pada Syifa itu barangkali mengundang petaka.

Seharusnya Fasil langsung menghubungi keluarga Azreen ketika Fasil dihubungi tempohari atau paling tidak, mengajak Syifa menemaninya.Paling tidak, salah faham sebegitu tidak akan timbul.

Secara keseluruhan, saya suka dengan tulisan Kak Shahzy Hana yang membawa saya langsung larut dalam melankolik bahasa dan penceritaannya. Dalam tulisan ini, ada satu mesej yang sarat yang harus diketahui dan diladeni oleh mereka yang berumahtangga.

Pengajarannya?
Apa kata, anda beli dan baca.
Ladeni dan hadam sendiri kisahnya.
Pasti anda akan mengerti apa yang saya rasakan sepanjang saya membaca tulisan ini.


- end -








No comments: