Followers

Friday, May 3, 2013

#6

Ketika Kak Anys memberikan salam dan melangkah masuk ke dalam bilik, Nadine jadi terkedu. Sungguh tak sangka Kak Anys akan datang ke walimahnya.

Kak Anys hari itu manis sekali. Dengan jubah seluar warna hitam dan selendang panjang yang melilit wajahnya. "Kak Anys datang dengan Abang Adam?" soal Nadine sambil bersalaman dan berpelukan. Kak Anys mengangguk.

"Barakallahu fik... Tahniah Iman..." ucap Kak Anys. Nadine mengangguk. Bibirnya dipaksa untuk senyum. Dah tu, takkanlah Nadine nak menangis di hari akad nikahnya walaupun dia sebenarnya dipaksa kahwin? Kan?

"Alhamdulillah.. jodoh Iman dengan Fay tu kuat.." tutur Kak Anys. Nadine langsung memanggung pandang. Matanya sedikit bulat.

"Kak Anys kenal?" soal Nadine. Kak Anys mengerutkan dahi. Tampak sedikit terkejut.

"Eh? Iman tak tahu ke? Dia la yang Kak Anys dan Abang Adam nak kenalkan dengan Iman tempohari. Terkejut Kak Anys dengan Abang Adam tengok kad jemputan Nadine hari tu." tutur Kak Anys. Kala itu Nadine sudah langsung terkedu. Otak sudah tak mampu berpusing.

Kiranya, lelaki itulah yang mahu dikenalkan Kak Anys pada dia tempohari? 
Ya Allah... kecil sungguh bumi Ya Allah!

Menarik nafas dalam-dalam, perlahan Nadine melepaskannya. Cuba untuk menenangkan diri sendiri yang dikejutkan dengan kejutan yang satu ini. Memang sebulan ini, bulan yang penuh kejutan buat dia agaknya?Fikir Nadine sendiri.

Ketika Kak Anys meminta diri, mahu bertemu emak di luar; Nadine menoleh memandang Kamalia. Sepupunya itu tersenyum.

"Kiranya, kau tahu yang dia kenal aku?" soal Nadine.

Kening Kamalia langsung bercantum dek kerana gadis itu mengerutkan dahi. "Maksud kau?"

"Kau tahu dan kau kenal siapa dia kan? Jadi kau dengan Kamarul tolong dia?" soal Nadine lagi.


"Dia siapa?"


"Fakhran Syafrie." jawab Nadine pendek. Geram!


Kamalia menguntum senyum. Sepupunya itu mengangguk sambil menepuk tangannya lembut. "Dia buat ikut syara’. Langsung masuk meminang pada wali. Jadi apa salahnya?" soal Kamalia.


Nadine merengus kecil, "Salahnya sebab orang tak hingin, dia yang terhegeh-hegeh." bantah Nadine. Kamalia tertawa.

"Dah tu, kenapa terima? Tak salah aku, Pak Long dengan Mak Long tak paksa kan? Abang-abang kau pun tak paksa. Dia orang cuma minta kau istikharah dan buat keputusan. Dia orang hormati keputusan kau." balas Kamalia.


Nadine merengus. "Aku terpaksa buat istikharah."



Kamalia tertawa lagi, "Kiranya kau nak cakap, Allah juga paksa kau terima dengan berikan jawapan istikharah kau?" sinis soal Kamalia. Nadine terdiam. Dia tahu dia kalah bila Kamalia berhujah begitu. Dan dia tampak seperti cuba untuk mempertahankan egonya sendiri.


"Iman.. dia tempohari mahu berkawan dengan kau atas matlamat nak jadikan kau isteri dia. Tapi kau dah tolak, dia langsung menghitbah kau dari wali kau. Itu yang terbaik kan?”

"Tapi..."


Kamalia menggelengkan kepala. "Tapi kau tak sedia? Kau lebih yakini hati kau dari percaturan yang Allah dah aturkan? Kau lupa Iman? Allah, Dia yang tentukan jodoh - pertemuan. Ajal dan maut? Lupa?" soal Kamalia. Nadine tunduk.


Itulah, terkadang mudah untuk kita berdakwah. Mengucapkan dengan kata-kata, tapi nak mengamalkan apa yang kita lafazkan? Tak semudah itu. Ya, dia khilaf di situ. Banyak yang perlu dia perbaiki.

Selalu Nadine mempersoalkan, kalau dah molek sangat Mak Ngah memuji dan siap mempromosi si Fakhran Syafrie, kenapa tidak saja dijodohkan dengan sepupunya Kamalia? Tak cukup dengan Mak Ngah suami isteri, emak dan abah turut sama berkempen pada Nadine tentang Fakhran Syafrie. Sungguh la lelaki itu telah berjaya membeli hati emak dan abahnya.

Dalam mengelak, dalam menolak. Akhirnya Nadine jadi pasrah bila emak dan abah enggan membatalkan pertunangan walau dia sebenarnya tidak setuju. Sepanjang pertunangan yang dua minggu tu, dia dan Fakhran bukannya bertemu langsung. Kalau pun ada, cuma uruskan benda-benda yang penting. Itu pun, selalunya  Nadine sekadar duduk di situ. Abah yang menjadi jurucakapnya. Nadine? Sekadar angguk kalau setuju atau geleng kalau dia tidak setuju.

Bukan sekali dua abah menegur. Tapi dia diselamatkan oleh Fakhran. Oh, sungguh Fakhran menjadi encik tunang yang sangat baik dalam tempoh dua minggu itu. Untuk segala hantaran dan sebagainya semua diuruskan oleh emak, abah dan juga along serta angah. Dia? Sekadar duduk saja. Protes!

Kata abah, "Tak banyak yang abah harapkan. Abah cuma harapkan anak abah akan dapat seorang suami yang mampu menjadi ketua keluarga yang baik. Yang boleh menyayangi anak abah sama seperti emak dan abah sayang pada Iman. Boleh bimbing Iman dalam segala urusan kehidupan dan boleh jadi sahabat baik Iman." 


Untuk seketika, kata-kata abah itu menyentuh hatinya. Dan hakikatnya, itulah sebab utama yang membuatkan Nadine mengalah. 


Ya, istikharahnya memang positif. Tapi kasihkan abahlah yang membuatkan hati Nadine benar-benar lembut untuk mengalah menerima lelaki itu. Begitulah.

Bagaimana lagi harus Nadine pujuk hatinya untuk menerima lelaki itu dalam hidupnya? Untuk membentuk saf dalam masjid yang bakal mereka bina? Bagaimana agaknya?

Terasa pegangan pada jemarinya. Nadine membuka mata, perlahan menoleh ke sisi. 

“Tahniah Nadine. Selamat menjadi seorang isteri kepada seorang lelaki bernama suami.” Ucap Kamalia sambil menghadiahkan satu ciuman dipipinya. Nadine terkedu. Matanya berkelip-kelip tidak percaya.

"Dah?" soal Nadine. Kamalia tersenyum. Perlahan sepupunya mengangguk. 

"Dah. Tahniah..." tutur Kamalia lagi.

Apa dia tidak bermimpi? Soal Nadine sendiri. Melihat pintu biliknya terbuka, kelibat abah kelihatan dari luar. "Iman..." seru abah.

"Ya..." jawab Nadine dalam getar.


"Fay nak masuk..." tutur abah.


"Ya.." jawab Nadine antara dengar dengan tidak. Ketika lelaki itu masuk, dia kelihatan segak dengan baju teluk belanga berwarna putih mutiara.

"Jom solat." ajak lelaki itu.

Nadine sekadar mengangguk dan berdiri di belakang Fakhran Syafrie untuk menjadi makmum. Dan pertama kali dalam hidupnya, berimamkan seorang lelaki yang tiada hubungan darah dengannya berdua begini. Dan pertama kali juga, terasa setiap lantunan ayat suci al-Quran yang dilagukan di dalam solat itu meresap terus ke dalam hati.

Ketika Fakhran berpusing, sebelum sempat dia bersalaman dengan lelaki itu. Tangan kanan Fakhran Syafrie menyapa ubun-ubunnya. Doa yang dibacakan Fakhran membuatkan hatinya yang keras sedikit lembut. Tembok ego seorang Nadine Nur'iman sedikit merekah.

Doa yang dibacakan Fakhran itu, meresap ke dalam hati. Dengan penuh rela, dia sendiri mengaminkan doa lelaki itu. Barangkali, Nadine perlu berikan ruang pada Fakhran Syafrie untuk membuktikan diri?

________________________________________________________________

Insya-Allah, ini entry terakhir sebelum berehat panjang dari update. 
Selamat mengundi buat semua.
Sebarang komen untuk e-novel 'Kisah Kita' boleh terus kongsikan di sini.


Ada komen?

9 comments:

fiqas said...

Alamak...tang nk berehat panjag tu yang tak brp sedap tu...

Pst...jgn le panjang sgt rehatnya...

~Liya Sufiah~ said...

Salam Diya,

saya peminat baru diya (diya di blog)

Liya.

~Liya Sufiah~ said...

Salam
Diya saya nak tanya tentang novel Natalia Natasya. Macam mana saya nak sambung baca e-novel tu yer? sebab dulu saya pernah baca sikit dan macam teringat2 kisah dia lagi... adakah novel tersebut telah diterbitkan? apa judul dia? sbb liya cari kat kdi buku tak ada...

Diya Nordin said...

Liya Sufiah :

Natalia Natasha belum diterbitkan. Dalam proses penulisan semula. Editing semula untuk terbitan tahun ini di bawah tajuk, "DAN DAFFODIL BERBUNGA LAGI." insya-Allah.

~Liya Sufiah~ said...

Liya nak sagat dapatkan buku tu... tq Diya. Tp x sabar nk tahu ttg kesudahan kisah alia selepas dia meminang perempuan lain untuk suami dia tu... lepas tu ada sambungan tak?

Diya Nordin said...

Part Alia meminang perempuan lain untuk suaminya itu adalah part II untuk e-novel itu.

Keseluruhannya ada III part.
Tapi jalan ceritanya berkemungkinan akan berlaku satu rombakkan besar.

Tapi insya-Allah, mesejnya masih sama.

belle.talib said...

alalala...kena kahwin paksa eh. heeee.... menarik nih.

~Liya Sufiah~ said...

so e-novelnya dah tak ada ker sekarang ni? dan bila nak terbit cik diya? tak sabar ni... huhuhu

Diya Nordin said...

e-novel stop hingga tamat edit DDBL.
Sekarang dalam fasa editing.

Insya-allah tahun ini akan ada satu sekurang-kurangnya :D