Buku langsung dikemaskan ke dalam beg. Ramai pelajar yang sedang bergegas keluar dari bilik kuliah. Nadine masih juga setia duduk di situ tidak bergerak. Gegaran telefon bimbit menarik perhatian Nadine. Baru saja mahu berdiri, niatnya langsung mati.
Nadine langsung melabuhkan punggungnya ke kerusi. Laju saja tangannya mengoperasikan telefon bimbit kepunyaannya. Tangannya bergerak laju di permukaan skrin sesentuh telefon Samsung miliknya.
Iman jangan lupa, hari ini dinner rumah Kak Anys.
Menarik nafas panjang-panjang, Nadine mengangguk. Laju saja Nadine membalas mesej Kak Anys.
Boleh. Tapi budak-budak lain tak dapat nak join hari ini kak. Masing-masing ada hal.
Tak sampai seminit. Satu SMS masuk.
Tak apa. Asalkan Iman datang.
Nadine tersenyum. Pasti saja Kak Anys ada apa-apa projek baharu. Kak Anys dan suaminya itu masing-masing adalah antara pelajar yang aktif dalam persatuan pelajar. Dia kenal dengan Kak Anys itu pun secara tidak langsung ketika tercari-cari group usrah yang boleh dia sertai.
Dan disitulah dia bertemu Kak Anys. Pendekatan Kak Anys selalu membuatkan Nadine tertarik. Kak Anys seorang yang sangat berdiplomasi. Bersama Kak Anys, dia terasa punya seorang kakak yang selalu dia impikan.
Bottom linenya, dia sangat hormat pada Kak Anys. Tersangat hormat dan terjatuh sayang pada Kak Anys. Sayang kerana Allah! Begitulah! Hinggakan sakit Kak Anys, kesedihan Kak Anys, kegembiraan Kak Anys menjadi kegembiraannya.
Hairankan? Tapi itulah kenyataannya bila ukhuwah dan hubungan itu hanya kerana Allah, maka segalanya menjadi ikhlas dan kasih sayang kerana Allah itu sangat manis hingga sukar digambarkan dengan kata-kata!
Di rumah Kak Anys, yang ada hanya dia dan Kak Anys sahaja. Menolong Kak Anys di dapur, Nadine belajar resepi baru! Paling geram bila tengok Kak Anys baking cup cakes yang comel-comel!
"Senang tak Kak Anys nak buat ni?" soal Nadine. Semenjak dulu, Nadine bukannya reti bab masak-memasak ni. Mungkin sebab umi dan baba selalu manjakan Nadine, mungkin?
Kata umi, kerja Nadine cuma belajar. Memasak itu kerja umi. Tapi sejak datang ke Korea, Nadine sudah pandai memasak! Mana tidaknya, bila rindukan masakan umi, Nadine cuba-cuba sendiri. Kadang-kadang bila dah dua tiga kali cuba, taste masih belum sama seperti masakan umi, laju saja tangan Nadine menghubungi umi.
"Umi! Kenapa eh Nadine masak tak rasa macam umi. Silap kat mana eh umi?" soal Nadine. Begitulah setiap kali.
"Tak susah pun Nadine. Kita orang perempuan ni, Allah dah kurniakan keistimewaan. Memasak tu gifted. Belajar sikit, lepas tu insya-Allah pandai sendiri." tutur Kak Anys dengan senyuman. Nadine mengangguk.
"Minta resepinya ya Kak Anys?" pinta Nadine.
"Boleh..." tutur Kak Anys sambil tangan Kak Anys laju saja menekan icing ke dalam cupcakes. "Ini nanti, Nadine bawa balik ke rumah ya." maklum Kak Anys. Nadine sudah langsung melonjak riang! Dia memang sudah mengidam pun nak merasa air tangan Kak Anys yang kreatif tu.
Kak Anys memanglah, seorang bakal insinyur yang kreatif dalam kerja tangan dan memasak! Siapa cakap insinyur tak kreatif? Insinyur pun kreatif lah!
"Jom duduk.." ajak Kak Anys sebaik sahaja siap menghias cupcakes. Nadine mengangguk. Langsung dia mengikut langkah Kak Anys ke ruang tamu.
"Abang Adam mana kak?" soal Nadine.
"Dia kat lab agaknya." tutur Kak Anys. Nadine mengangguk.
"Iman..." seru Kak Anys. Nadine mengangguk. Gelas dalam genggaman kembali diletakkan ke atas meja sebaik air diteguk.
"Kak Anys bawa hajat orang." tutur Kak Anys. Semerta itu Nadine rasa berdebar-debar.
"Hajat orang?" soal Nadine.
Kak Anys mengangguk. Bibir Kak Anys seperti biasa, menguntum senyum manis. Berdehem, Kak Anys memandang Nadine lembut. Adik usrahnya itu tampak sedikit gugup! Dia pasti sangat tentang itu. Nadine bukan seorang yang sukar ditelah perasaannya walau ramai yang menyatakan Nadine itu orang yang tak berperasaan dan keras beku.
Seperti kata suaminya, Nadine Nur'iman itu, orangnya lembut dalam keras. Tegas dalam tolenrasinya. Nadine itu istimewa, dan pasti sahaja calon suaminya nanti akan Allah hantarkan yang istimewa juga. Ya, dan dia setuju tentang itu!
"Iman dah ada calon?"
Mendengar soalan Kak Anys langsung Nadine tertawa. "Calon apa kak?"
Kak Anys tahu sahaja, adik usrahnya itu cuba mengelak, langsung soalan dijawab dengan soalan. Gelas di atas meja dicapai. Langsung bibir bertemu dengan gigi gelas. Air langsung menerjah ke tekak, ditelannya penuh tertib.
Meletakkan gelas, Kak Anys kembali memandang wajah Nadine. "Calon suaminya?"
Senyum Nadine langsung mati. Dadanya kembali berdebar kencang. Apa surat tempohari itu benar-benar serius? Bukan sekadar gurauan. Apa orang itu jadikan Kak Anys orang tengah mereka? Mungkinkah?
Senyum Nadine kala ini sudah sumbang. Menarik nafas panjang, perlahan Nadine menggeleng. "Belum kak. Perjalanan Iman masih jauh. Belajar pun belum habis." tutur Nadine. Kak Anys tersenyum.
"Belajar tak semestinya tak boleh mendirikan masjid, Iman."
"Iman muda lagi kak. Baru je 20 tahun."
Kak Anys senyum lagi. "Kak Anys kahwin dengan Abang Adam pun, masa Kak Anys umur 21 tahun. Muda juga tu, Iman." tutur Kak Anys. Nadine diam. Perlahan Nadine menggeleng.
"Iman tak yakin." tutur Nadine.
"Tak yakin dengan ketentuan Allah?"
Laju saja Nadine menggeleng. "Tak. Bukan macam tu. Nadine yakin dengan percaturan yang Allah tetapkan buat Nadine, cuma kalau berkahwin tu, biarlah bila Nadine dah benar-benar bersedia." tutur Nadine.
"Bila tu?"
Nadine diam. Bibir menarik senyum nipis. Nadine tak punya jawapan.
"Kalau ada lelaki yang baik, yang bersedia untuk membimbing Iman, menjaga Iman. Bagaimana?"
Nadine diam. Kak Anys memandang Nadine lembut. Perlahan Nadine menggeleng. "Nadine belum bersedia."
Kak Anys tersenyum. "Kita tak akan pernah bersedia sampai bila-bila Nadine. Itu sifat kita manusia. Bahkan, bila Izrail datang untuk mencabut nyawa kita sekali pun, kita akan sentiasa menyatakan yang kita tak pernah bersedia untuk dipanggil kembali mengadap-Nya."
Mendengar itu. Nadine terdiam. Kak Anys tersenyum, "Kak Anys tak paksa. Tapi Kak Anys suka sekali berkongsi dengan Nadine, yang keberkahan seorang perempuan itu antaranya adalah awal kahwinnya."
"..dan dik, bukan semua orang Allah berikan keistimewaan dipercepatkan jodohnya." tutur Kak Anys. Nadine diam. Bibirnya menguntum senyum.
"Iman belum bersedia kak. Dan barangkali, baba dan umi pun tak akan setuju." tutur Nadine penuh yakin. Kak Anys tersenyum. Perlahan mengangguk.
"Tak nak pertimbangkan? Orang yang nak khitbah Iman ini, baik orangnya. Insya-Allah, berilmu dan punya masa depan yang baik juga." pujuk Kak Anys. Nadine menggeleng.
"Insya-Allah, Iman mantap dengan keputusan Iman." tutur Nadine.
"Tak nak istikharah?" soal Kak Anys lagi. Nadine tersenyum. Perlahan dia menggeleng. "Tak." pendek jawapannya.
Kak Anys diam. Perlahan kakaknya itu mengangguk. "Tak apalah. Kalau Iman dah cakap macam tu, nanti Kak Anys sampaikan pada pihak yang wakilkan Kak Anys." tutur Kak Anys. Selepas itu, perbualan tentang itu langsung mati. Seolah-olah mereka tidak pernah berbualkan tentang jodohnya. Sepertinya, Kak Anys tidak pernah bertanya.
No comments:
Post a Comment