Followers

Wednesday, February 27, 2013

#2

Usai iftar, Nadine langsung ke bilik. Mahu segera menunaikan solat maghrib. “Iman...” seru Huda. Nadine menoleh.

“Kau dah sudah?” soal temannya. Nadine tersenyum. Perlahan dia menggeleng.

“Aku solat maghrib dulu. Nanti aku sambung. Tadikan aku dah berbuka dengar kurma.” Ujar Nadine sambil tersenyum.

“Makan dulu la...”

Menarik senyum. Perlahan Nadine menggeleng. “Sekejap je. Tak sampai lima belas minit pun nak solat maghrib. Kau makanlah dulu, Huda.” Ujar Nadine sambil langsung berlalu ke biliknya untuk menunaikan solat.

Usai memberikan salam. Nadine duduk dan berzikir perlahan. Menarik nafas dalam-dalam. Perlahan dihelanya. Alhamdulillah, dia dapat melakukan puasa sunat Isnin dan Khamis. Semoga dia terus istiqamah. Insha-Allah.

Meraup wajah perlahan, Nadine menanggalkan mukena dan menyidaikannya di ampaian. Melangkah ke dapur. Huda kelihatannya baru sudah makan. Nadine tersenyum. “Dah sudah Huda?” soal Nadine. Huda mengangguk.

“Iman makan sendiri ya? Huda nak solat dulu.”

Nadine mengangguk, “Pergilah. Lewat nanti, habis pula waktu.”

“Itulah. Ini pun, Huda rasa macam dah kenyang sangat. Nak rukuk dan sujud nanti memang seksa la.”

Nadine tersenyum mendengar kata Huda. Perlahan dia mengangguk. “Kalau tak, duduk dulu. Rehatkan dulu perut. Insha-Allah, ada waktu lagi ni.”

Laju saja Huda menggelengkan kepala. “Tak boleh la Iman. Takut Huda terbabas kalau tangguh-tangguh. Bila dah kenyang macam ni, mula la nak jadi ular sawa.” Ujar Huda. Nadine mengangguk. Faham sangat dia apa yang Huda maksudkan. Dulu pun dia sama macam Huda.

“Pergilah. Iman boleh makan sendiri.” Ujar Nadine sambil tersenyum. Huda mengangguk.

Usai makan, langsung Nadine mengemas meja makan dan membasuh pinggan mangkuk. Terdengar sapaan Huda dari belakang. Langsung Nadine menoleh sekilas.

“Ada apa Huda?”

Huda menggeleng. “Hari-hari kalau macam ni penat la Huda. Semput masa nak sujud dan rukuk. Makan sungguh-sungguh. Iman la, masak sedap sangat tadi.” Ujar Huda. Nadine tertawa kecil. Tangan yang basah langsung disapu pada kain tuala bersih yang dilekatkan di peti sejuk.

Menarik kerusi, Nadine meletakkan teh ‘o’ secawan untuk Huda dan untuk dirinya sendiri. Menarik nafas dalam-dalam, perlahan dihelanya. “Kalau macam tu, cuba mulai dari sekarang Huda kalau nak buat apa-apa, cuba tiru cara rasulullah. Sunnah tu.” Ujar Nadine dalam senyuman.

“Maksud Iman?”

Nadine tersenyum lebar. Pancingnya mengena untuk menarik minat Huda. Kata rakan-rakan serumahnya, Huda ni jarang-jarang sekali mahu dengar nasihat. Kata mereka, Huda lebih selesa lepas bebas. Tapi itu kata mereka. Pada kaca mata dia, Huda itu orangnya masih boleh dibentuk. Ada niat mahu belajar. Cuma kena cari cara yang terbaiklah untuk membentuk Huda. Huda ini orangnya bukan boleh dipaksa-paksa. Perlu ditegur dengan cara yang berhemah.

“Kalau Huda nak tahu, nabi junjungan kita Muhammad s.a.w, bila iftar; baginda menyegerakan berbuka bila masuk waktu. Sama macam yang kita buat tadi. Itu dimakan ta’jil al-iftar. Sabda rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Sahl bin Sa’ad, “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”

“Tapi Iman, bukan ke ada yang pernah cakap; bila makanan dah dihidangkan kita dianjurkan untuk makan dulu kemudian solat? Bukan macam tu ke Iman?”

Nadine tersenyum. Perlahan dia mengangguk. Teh di dalam cawan dihirupnya perlahan sebelum cangkir teh diletakkan semula ke atas meja. “Betul la tu Huda. Tapi dalam kes macam tadi, bila Huda baru nak hidangkan makanan dan makanan belum lagi terhidang tak ada masalah pun untuk kita nak solat dulu baru makan.”

“Nabi s.a.w pun, menyegerakan solat maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air. Sunat untuk kita ikut apa yang Nabi s.a.w buat. Tapi kalau makanan dah siap terhidang, itu dah jatuh makruh. Daripada Anas bin Malik r.a, diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, “Apabila dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan janganlah kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.”

“Tahu kenapa Nabi s.a.w anjurkan kita untuk makan dahulu kemudian solat Huda?” soal Nadine. Huda menggeleng perlahan sambil mengangkat bahu. Nadine tersenyum.

“Kalau kita tengah solat, tapi otak kita fikirkan makan. Ke mana kusyuk kita mengadap Allah? Solat tu kan ibadat? Kita masa tu tengah berkhalwat dengan DIA. Rabbul jalil. Kita pun, kalau keluar dating tiba-tiba pakwe kita teringatkan kawan perempuan dia, tak marah ke? Mendidih juga kan?” soal Nadine. Huda tertawa.

“Kelakarlah Iman...” ujar Huda sambil tertawa terbahak-bahak.

Nadine tersenyum. “Ada lagi tau Huda... Boleh Iman sambung?” soal Nadine. Huda mengangguk.

“Kita disyariatkan untuk makan dengan cara yang ala kadar. Maksudnya, tidak terlalu kenyang dan tidak terlalu lapar. Dengan erti kata lain makan dengan kadar yang berpada-pada. Tahu kenapa?” soal Nadine. Sekali lagi Huda menggelengkan kepala.

“Allah s.w.t berfirman dalam surah al-‘araf ayat 31 yang berbunyi, “Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya DIA tidak suka orang yang berlebih-lebihan.”

“Bila kita makan lebih-lebih tu la kita jadi tak larat. Nak sujud dan rukuk kadang-kadang rasa mengah. Rasa semput.” Huda tertawa. “Itu macam Huda tadi.”

Nadine mengangguk. “Iya. Iman dulu pun macam tu. Sekarang ni je, alhamdulillah. Insha-Allah, moga-moga istikhamah terus.”

“Oh ya, sebelum Iman terlupa. Huda tau tak, doa orang-orang yang berpuasa ni mudah Allah makbulkan. Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka puasa.” Jadi sekarang ni, bila nak berbuka tu berdoalah yang baik-baik. Mudah-mudahan Allah terima dan makbulkan.”

“Iya Iman? Huda ingat apa yang pelakon dalam Ketika Cinta Bertasbih cakap tu dialog filem je.” Ujar Huda dengan riak terkejut. Nadine tertawa kecil. Perlahan mengangguk.

“Iya, betul la. Itu bukan main-main. Filem pun boleh jadi medium dakwah tau Huda. Kena pula kalau penulis skrip tu adalah dari golongan ustaz-ustazah yang faham agama. Jadi menonton ni kadang-kadang jangan cuma untuk entertainment tapi ambil sama ilmunya, Huda.”

“Iya ustazah Iman...” jawab Huda panjang dalam tawa kecil. Nadine menggeleng perlahan. Lembut hidung Iman ditarik perlahan, “Nakal!” ujar Nadine geram. Masing-masing ketawa.

“Er... Iman..” seru Huda. Nadine mengangguk.

“Kalau Huda tanya, Iman marah tak?”

Mendengar soalan Huda, Iman tertawa kecil. Perlahan dia menggeleng. “Tanyalah Huda. Huda nak tanya apa?”

“Sejak bila ya, Iman mula pakai jubah? Tudung labuh ni? Iman dulu sekolah agama ke?” soal Huda. Iman tersenyum. Perlahan Iman menggeleng.

“Tak lah. Iman sekolah biasa. Bukan sekolah agama. Kenapa?”

Huda menggeleng. “Taklah. Huda ingat Iman sekolah agama.”

“Oooo...” ujar Nadine pendek sambil mengangguk. Bukannya dia tak biasa dengan itu. Dia sudah terlalu biasa mendengar soalan yang sebegitu. Bila bertudung labuh, bila berjubah ramai yang ingat dia dari sekolah agama. Ada juga yang memanggil dia ustazah. Dia sudah terbiasa dengan itu.

“Sejak bila Iman mula pakai tudung labuh dengan jubah ni?”

Nadine terdiam. Lama dia cuba mengingat. “Hmm... masa prep sebelum fly ke sini.”

“Tak rimas ke?” soal Huda. Nadine mengerutkan dahi. Memandang Huda, “Maksud Huda?”

Huda menggeleng. “Maaf ya. Bukan maksud Huda nak menyinggung Iman. Huda cuma nak tahu.”

Nadine menggeleng. “Tak lah. Iman okey. Maksud Huda tadi bagaimana?”

“Maksud Huda, iyalah. Pakai labuh-labuh macam ni. Iman tak rimas ke?”

Nadine tersenyum. Perlahan mengangguk. “Tak lah. Sebenarnya Huda, kalau Huda nak fashionable macam mana pun, nak lilit tudung macam mana pun. Nak dress up macam mana pun, asalkan Huda ikut syariat, tak berlebih-lebihan dan tutup aurat. Tak ada masalah.”

“Macam Iman, Iman pilih untuk pakai macam ni. Sebab pada Iman, Iman rasa bila Iman pakai macam ni, Iman lebih terjaga. Hati Iman lebih terjaga dan Insha-Allah, Allah juga akan jaga Iman.”

“Maksud Iman?”

Nadine tersenyum. Kan dah cakap, Huda ni bukannya jenis tak boleh dibentuk. Dia boleh dibentuk. Mudah sangat nak bentuk Huda ni. Cuma kenalah kena pada caranya. Cara nak dakwah ni pun ada banyak. Dan soalan-soalan Huda ni, peluang keemasan yang boleh digunakan untuk berdakwah. Tapi cara jawabnya kenalah sopan.

“Macam ni Huda, Allah dah tetapkan aurat seorang muslimah tu yang boleh dilihat oleh ajnabi atau bukan mahramnya cuma muka dan kedua-dua belah tangannya. Jadi maksudnya kaki kita pun aurat juga.”

“Haaa? Tak boleh la pakai sandle? Flip flop?”

Nadine tersenyum. Perlahan menggeleng. “Boleh. Siapa cakap tak boleh? Pakailah sarung kaki. Tapi nak pakai sarung kaki tu pula bukan sebarang sarung kaki. Kena pilih.”

“Pilih macam mana?”

“Dari segi warnanya bukan yang menarik perhatian maksudnya bukan yang terang-terang. Tidak jarang sampai nampak jari-jari di sebalik sarung kaki tu. Sebab kan ke bila kita menutup aurat kita kena pastikan tidak menampakkan susuk tubuh? Bukan pakai ketat-ketat je yang boleh nampak susuk tubuh. Pakaian yang longgar pun boleh nampak susuk tubuh tau kalau dah kainnya jarang atau melekat pada badan.” Ujar Nadine. Huda ternganga.

“Susahla...”

Nadine tersenyum. “Apa pula susah... Islam tu satu agama yang mudah. Islam tak tetapkan untuk Huda pakai baju kurung je. Atau pakai seluar je. Islam benarkan Huda pakai apa je yang Huda nak pakai. Asalkan menutup aurat dan mengikut apa yang digariskan.”

“Tapi seriuslah Iman, susahnya la.Maksudnya selama ni, Huda tak tutup auratlah?”

Nadine tersenyum. “Rasa Huda?” soal Nadine perlahan.

Mengeluh. “Taklah. Tengoklah Huda pakai apa. Hudakan selalu pakai jeans yang sendat tu. Pakai tudung pula kain chiffon yang jarang tu. Nampak bentuk leher...” perlahan Huda bersuara. Lemah sekali pada pendengaran telinga Nadine.

"Maksudnya, tak gunalah kita pakai cantik-cantik. Lawa-lawa." ujar Huda perlahan.

"Kenapa pula tak guna?" soal Nadine.

"Dah kalau pakai cantik-cantik, lawa-lawa. Warna yang terang-terang tu menarik perhatian orang. Kita kan pakai untuk nak lawa."

Mendengar itu, Nadine tersenyum. "Huda pakai lawa-lawa tu untuk siapa? Untuk orang tengok? Untuk orang puji?" soal Nadine. Huda mengeluh.

"Bukan semua orang suka ke kena puji?"

Nadine tersenyum. "Iya, tapi pujian Allah dengan pujian manusia mana lebih tinggi? Kita nak dipandang tinggi oleh Allah atau oleh manusia?"

"Hidup ni sementara je Huda.Siapa cakap Huda tak boleh pakai cantik-cantik? Huda tahu tak Allah sebenarnya suka pada benda-benda yang cantik. Sebab tu, kalau Huda tengok Allah jadikan manusia ini secantik-cantik ciptaan, alam ini dengan secantik-cantik pemandangan. Itu bukti kekuasaan Allah. Bukti Allah sukakan kepada kecantikan."

Tapi, sebagai hamba Allah, kenapa kita perlu jadi hamba pada manusia? Kita pakai untuk puaskan hati manusia? Sedangkan yang perlu kita puaskan tu adalah Allah? Ikut suruhan DIA jauhi larangan DIA."

Huda terdiam. Nadine tersenyum. Barangkali apa yang dia kata itu masuk ke dalam fikiran Huda agaknya. "Huda fikirkanlah. Kalau nak puaskan kehendak manusia ni Huda, tak pernah nak puas. Tapi Allah, nak puaskan Allah. Mudah saja. Cuma buat apa yang Allah suruh. Jauhi larangan DIA. Itu je."

"Insha-Allah. Huda cuba."

Nadine tersenyum. Perlahan dia menggeleng. "Jangan cuba sebab Iman suruh atau sebab apa yang Iman cakap. Tapi cuba berubah sebab Iman nak. Berubah sebab DIA. Insha-Allah, bila kita bergerak atas jalanNYA, DIA akan tolong kita." Bahu Huda ditepuk perlahan. “Insha-Allah, sekarang ni Huda dah tahu. Berubah la.”

Huda mengangguk. “Huda nak berubah. Iman tolong Huda ya?” soal Huda. Nadine mengangguk. Perlahan tubuh temannya itu dipeluk mesra. Dalam hati, Nadine bersyukur yang Allah buka hati Huda untuk bertanya dan Allah bukakan hati Huda untuk menerima hidayahNya.

“Mana Airin, Iman? Huda tak nampak Airin pun?”

Mendengar soalan Huda, Nadine melihat jam di tangan. Tadi katanya, Airin ke rumah Kak Zaza. Ada sesuatu yang mahu dibincangkan. Tapi ni dah jam berapa. Tak balik-balik lagi?

“Airin ke rumah Kak Zaza tadi. Ada hal la tu...” jawab Nadine sambil bangun ke sinki dengan membawa cawan untuk dibasuh.

Menoleh memandang Huda; Nadine bersuara, “Huda esok nak ikut Nadine?”

“Ke mana?”

“Ke rumah Kak Saidatul. Ada usrah.”

Huda menggeleng. “Huda seganlah. Huda bukan macam Iman. Pakai tudung labuh. Pakai jubah.”

Nadine tersenyum. Perlahan dia menggeleng. “Huda, bertudung labuh berjubah tak semestinya dia seorang ustazah. Orang bertudung labuh dan berjubah ni, sebenarnya dia nak menjaga diri. Dia cuba menjadi yang terbaik dan dia masih juga belajar untuk mendekatkan diri pada Allah. Sama seperti orang yang berpakaian biasa.” Ujar Nadine.

“Huda ikut Iman ya?”

“Huda seganlah...”

“Apa nak segan? Iman kan ada? Airin pun ada.”

“Insha-Allah. Boleh kot.”

Nadine mengangguk. Dalam hati dia bersyukur, Allah lembutkan hati Huda. Semoga Allah sirami hati-hati mereka dengan kasih sayangNya. Manisnya ukhuwah keranaNya.

No comments: