Followers

Tuesday, February 26, 2013

#1



Damn! Kenapa harus terserempak dengan dia tadi? Kenapa? Kenapa?
Mulut Nadira tidak berhenti dari menyumpah. Tangannya berkali-kali menampar stereng kereta sekuat rasa. Tiga tahun berlalu. Sangkanya, dia sudah boleh melupakan lelaki itu. Rupa-rupanya tidak! 

Kenangan yang mereka cipta bersama itu, masih kekal hingga ke hari ini. Hatinya rupanya masih menyayangi lelaki itu dalam diam. Lelaki yang tidak pernah menghargai keberadaan dan kewujudan dia.

Menarik nafas dalam-dalam, satu hembusan nafas keras dilepaskan. Enjin kereta dihidupkan. Gear dimasukkan ke gear reverse. Laju, kereta diundur sebaik saja pedal minyak ditekan. Stereng dipusingkan, Nadira langsung beralih dari ruang parkir IOI Mall.

Tadi seperti dia, lelaki itu turut kaku. Di sisi lelaki itu ada gadis lain yang menemani. Mereka kelihatan gembira dan dia, seperti terkena satu kejutan elektrik, dikejutkan dengan hakikat yang mereka sudah tidak punya pertalian. Justeru, tanpa teragak-agak, laju saja dia berpusing dan melangkah pergi. Seruan namanya oleh lelaki itu bagaikan angin lalu yang menyapa telinganya.

Tiba di rumah, Nadira melangkah masuk dengan longlai. Tubuhnya dilemparkan ke atas sofa. Matanya dipejamkan. Perlahan air mata menitis.

"Bodoh! Kenapa harus kau punya perasaan pada dia? Kenapa tidak kau lupakan dia?" marah Nadira sendiri.  Seperti tiga tahun yang lalu, dia kembali menangis seperti anak kecil. Tapi kali ini, tanpa ada teman yang memujuk hatinya.

Mereka semua sudah berkeluarga. Yang tinggal cuma dia. Di usia yang menginjak ke angka tiga puluhan dia masih sendiri. Dan saat ini, dia merasakan dirinya bodoh kerana dia masih belum berupaya untuk melupakan Farhan dari hidupnya.

Di mana hilangnya, Nadira yang dulu?
Berkali-kali dia bertanyakan hal yang sama pada dirinya. Tapi dia tidak punya jawapan. 

"Kenapa perempuan begitu bodoh bila melibatkan cinta?" soal Nadira dulu pada temannya, Rosmimi. Temannya itu menggeleng.

Nadira tersenyum. "Sebab kita dikuasai perasaan dan emosi - kan?" soal Nadira kemudiannya. Rosmimi tersenyum. Perlahan mengangguk.

"Kau tanya, dan kau jawab."

Nadira mengangguk. "Kenapa?" soal Rosmimi. Nadira menggeleng.

"Aku nak jadi Nadira yang dulu Mimi." tuturnya perlahan.

"Nadira yang mana?"

Nadira mengoyak senyum. "Nadira yang kau kenal sebelum dia kenal Farhan. Nadira yang keras. Nadira yang bukan looser."

"Nadira ..." seru Rosmimi. Nadira menoleh pandang. Bibirnya mengukir senyum. Senyum yang kalah! Itu Rosmimi sangat pasti.

"Kau bukan seorang looser. Kau tak pernah jadi seorang looser. Cuma kau tersilap pilih. Kau pilih seseorang yang tak hargai kau seperti mana kau hargai dia."

"You know what, he said he love me. But he never intent to marry me dan itu buat aku rasa macam orang bodoh! Aku bazirkan sembilan tahun aku, untuk dia. Untuk setia kat sisi dia. Tapi dia tak pernah terfikir untuk kahwin dengan aku?"

"Nadira ..." seru Rosmimi. Tapi temannya itu masih lagi menangis dengan muka yang disembamkan ke lutut.

"Sekurang-kurangnya kau terlewat sembilan tahun untuk bina hidupkan, bukan selama-lamanya. Kan?" lembut Rosmimi memujuk temannya.

"Aku rasa macam nak bunuh dia! I just feel like to kill him!" keras Nadira bersuara.Wajahnya kala itu sudah dipanggungkan. Mukanya tampak sembam dengan mata yang sedikit membengkak.

"Dia mungkin belum bersedia untuk berikan komitmen? Mungkin dia nak enjoy life ni dulu?" tutur Rosmimi. Nadira menggeleng. Menarik nafas panjang. Perlahan dihelanya.

"Seriously, aku rasa macam orang bodoh! Devote life aku untuk sembilan tahun, tapi ending up, dia cakap. Dia sayang aku. Dia cintakan aku. But that's it! Dia tak pernah terfikir untuk berkahwin. Why don't he said that from the very beginning?"

Rosmimi terdiam. Nadira mengeluh. Dia sudah meluahkan semuanya. Menarik nafas dalam-dalam, kasar dilepaskan. Tangannya laju saja menyapu wajah yang basah dengan air mata tadi. Rosmimi terkesima melihat perubahan temannya yang drastik.

Sekejap tadi menangis bagai orang gila. Tapi sekarang? Berubah menjadi normal. Keras.

"Kau okey?" soal Rosmimi. Nadira menoleh. Perlahan mengangguk. "Aku pernah tersalah arah. Aku pernah menongkah arus. Aku pernah buat silap. Dan hakikatnya, mungkin kami putus ni untuk sesuatu yang lebih baik?" soal Nadira. Rosmimi mengangguk.

"Insya-Allah, untuk sesuatu yang lebih baik untuk kau. Allah tak tarik sesuatu dari kita untuk digantikan dengan sesuatu yang buruk. Sebaliknya, dia tarik sesuatu dari kita untuk digantikan dengan sesuatu yang lebih baik untuk kita."

Nadira mengangguk. "... sebab sesuatu yang baik pada kita, belum tentu yang terbaik pada-Nya. Kan?"

Mimi mengangguk. "Lagi pun, tak guna buat sesuatu tanpa hala tuju, kan?"

Nadira mengangguk. "Iya. Kau betul." tuturnya lagi. Mimi tersenyum. "Mungkin aku tersalah rentak. Terlalu menurut perasaan."

"Perempuan memang bodoh bila melibatkan hati. Kau tahu kan?" soal Rosmimi. Nadira tertawa. Perlahan mengangguk. "Dan aku antara orang yang bodoh tu. Bazirkan masa aku untuk satu hubungan yang tak pasti. Patutnya, aku dah lama angkat kaki. Tapi, tak."

"Nad, Allah temukan kau dengan orang yang salah, agar nanti kau bertemu dengan orang yang betul. Insya-Allah. Percaya pada DIA. Pada kehendak-Nya. Dia berikan kau luka, untuk kau rasai kemanisan hidup tu nanti." tutur Rosmimi tenang. Nadira mengangguk.

Seperti tersedar, dari baring Nadira bingkas bangun. Air mata disapu bersih. Kalau tiga tahun yang lalu, dia mampu kuat bila dia mahu memutuskan hubungannya dengan Farhan. Kenapa tidak kini? 

Dia sudah bazirkan sembilan tahun umurnya untuk satu hubungan yang tidak pasti. Untuk satu hubungan yang tidak diredai Allah. Jadi kenapa harus dia menangisi kenangan silamnya?

Melangkah ke bilik, tuala ditarik. Nadira langsung menghilang ke bilik air. Dia mahu menyegarkan badannya. Mudah-mudahan mindanya juga segar kembali.

No comments: