Followers

Thursday, September 10, 2015

Langit Cinta Syifa - 1 [ edited ]

Mata dipejamkan. Nafas ditarik dalam-dalam; satu hembusan lembut dilepaskan dari celahan bibir. Ada satu rasa yang terbuku di dalam dada. Terasa sesak! Jiwa terasa memberontak!
Perit rupanya bila hati parah begini. 
Nafas ditarik dalam-dalam; sekali lagi satu hembusan dilepaskan. Kali ini sedikit kasar. Mata dibuka, pandangan dilepaskan pada sudut horizon di depan mata. 
“Bertenang Aisy…”
“Bertenang…” bisik Aisy lembut pada diri sendiri. 
Dari tadi, hati dan akal saling bertingkah. Dia sedang bergaduh dengan diri sendiri. Sedang bergaduh dengan kata hati dan kata akal. 
Allah…
Ujian apa ini Ya Rabb?
Tangan kanan di bawa ke dada. Terasa satu bebanan berat yang membebankan. Sekali lagi nafas ditarik dalam-dalam, sekali lagi keluhan berat terlepas dari celahan bibir. 
Ya Allah…
Kenapa berat sangat rasa hati ni?
Terduduk atas butiran pantai. Aisy mengeluh lagi. “Berapa kali kau nak mengeluh ni Aisy?” soal Aisy sendiri.
“Okey… bertenang! Fikir dengan waras Aisy!”
“Fikir ikut akal. Bukan ikut hati!” bisik Aisy pada diri sendiri. 
Telan liur, akal langsung mencongak. Kewajaran dan kehendak. Mana satu yang harus mendahului?
Aisy…
Antara hati dan perasaan. 
Antara ketaan dan kepatuhan. 
Antara kehendak hati dan keluarga. 
Mana lagi utama?
Hati bertanya sendiri. Dan sekali lagi dia mengeluh. Okey… banyak sungguh kau mengeluh hari ini. Kan Aisy?
Tapikan Aisy, emak dan ayah mana yang tak mahukan yang terbaik untuk anak-anak diorang? Soal hati kecil Aisy. 
Mama dan baba pun nak yang terbaik untuk anak-anak diorang!
“Kalau dengan patuh pada mereka buatkan mama dan baba bahagia; apa salahnya - kan?”
“Selama manalah kau nak berbakti pada mama dan baba pun Aisy?” hati kecilnya bertingkah menafikan kehendak naluri yang mahu mempertahankan hubungannya dengan Haziq. 
Nafas ditarik dalam-dalam, satu helaan dilepaskan. Wajah diraup lagi. “Allah…” keluhnya. 
Sungguh akal menafikan kewarasan penolakan mama dan baba tanpa lebih dahulu bertemu dengan Haziq. Dia boleh terima kalau mama dan baba sudah bertemu tapi masih juga tidak berkenan untuk menjadikan Haziq menantu. Tapi yang terjadi sekarang sebaliknya.
Bertemu tidak. Bersua tidak. Berbual pun tidak!
Tahu-tahu, Haziq dah termasuk dalam reject list mama dan baba! Itu pun atas alasan Haziq itu berasal dari Kelantan!
Allah… Tipikalnya orang Melayu. 
Kalau yang dari luar; masing-masing menolak untuk bermenantukan lelaki Kelantan. Alasan yang diberikan; lelaki Kelantan; walau macam mana sekali pun; mesti mencari isteri wanita asal Kelantan. Itu belum lagi sikap assabiyah orang Kelantan.
Masya-Allah…
Pemikiran tipikal Melayu; yang selalu salah anggap dan bersikap kenegerian. Lelaki Kelantan begitu; perempuan Negeri Sembilan begini; orang Melaka begitu; orang Utara begini. 
Nafas ditarik dalam-dalam, satu helaan dilepaskan keluar. Bangun dari sila, debu-debu pasir yang melekat pada palazo putih dari rona sifon yang dipakainya disapu dengan tapak tangan. 
Tangan mencapai flippers, kaki mula mengatur langkah ke gigi pantai. Hati masih walang, tapi apa Aisy peduli. Dia mahu melepaskan geramnya dengan menyepak ombak! Kaki sesekali menyodok butiran pasir putih. Akhirnya bibir mengukir senyum.
Berada luar dari rumah, jauh dari mama dan baba. Sekurang-kurangnya, dia boleh meredakan perbalahan antara dia dengan baba dan mama. Dia jadi sakit kepala bila mama berleter minta dia putuskan hubungan dengan Haziq.
“Jumpalah dulu mama…”
“Kalau nak jumpa dah lama dia datang jumpa mama dan baba. Tak payah tunggu bertahun!”
Aisy mengeluh. Memang salah dia sendiri agaknya? Dia sendiri pun ada saham dalam kesalahan tu. Bukan Haziq je.
Dia sendiri pun tak berani nak pikul komitmen kan? Kalau bukan Azril yang bocorkan rahsia; mesti mama dan baba tak tahu yang dia sedang berkahwan dengan Haziq! Dan yang mulut ni pun satu! Kenapalah ringan sangat nak ceritakan pada Aryana. Ni bila si Aryana cerita pada Azril; Azril pula cerita pada mama; kan ke dah mendapat!
Sudahlah mama dan baba tu memang kurang berkenan dengan orang Kelantan. Awal-awal dulu mama dan baba dah pesan, bawalah menantu dari mana sekali pun; asal bukan lelaki Kelantan!
Peliknya, mama dan baba boleh terima pula kalau dapat menantu perempuan Kelantan! Kata mama dan baba; perempuan Kelantan rajin-rajin.Otak business minded. Itu sebabnya Pasar Siti Khadijah penuh dengan usahawan wanita. 
Allahu…
Mama… mama…
Tak cukup dengan mama yang membebel; dengan baba yang menyokong ditambah pula dengan sindiran sinis Azril yang entah apa masalahnya dengan lelaki dari Kelantan. 
Kenapa satu keluarga dia punyaa masalah dengan lelaki Kelantan? 
Dugaan sungguh!
Akhirnya, seminggu pulang ke Perlis dia terus ke Langkawi. Ke rumah pusaka arwah atuk. Itu pun sekejap; lemas sebab emak dan ayah asyik bertanyakan itu dan ini pada acik; adik ayah. Terus saja dia beralasan mahu menginap di chalet. Mahukan kebebasan!
Iya, bebas seperti sekarang. 
Ikut suka jam berapa-berapa mahu ke pantai. Jam berapa mahu makan. Tak perlu risau dan fikirkan orang lain. Cuma fikirkan masalah sendiri. Menyapu wajah. Aisy mengeluh. "What should I do?" soal Aisy pada diri sendiri.
Apa patut kau buat? Lagi nak tanya ke? 
Aisy…
Emak mana yang tak sayangkan anaknya?
Ayah mana yang tak inginkan puterinya bahagia?
Mereka pasti punya sebab menolak sebelum mahu bertemu. Dan sebagai anak, bukankah patuh kepada ibu bapa itu yang utama?
Bila hati yang paling dalam mula bertingkah,
Bila akal mula menilai. Aisy mula nampak kesilapan sendiri.
"Ya Allah…"
"Egonya aku." tutur Aisy kesal.
Satu keluhan dilepaskan. Air mata menitis jatuh lagi. Kalaulah dia terus-terusan kekal dalam ego, dan kalaulah sesuatu terjadi pada mama dan baba, pasti sekarang dia akan terus hidup dalam rasa bersalah. Spontan tangan mengetuk kepala.
"Haish.. kau ni Aisy. Ikut sangat hati. Akal tu tak nak guna!" omel Aisy sendiri.
Seminggu juga Aisy keluar dari rumah. Dia tahu dia salah. Tapi kata hati lebih kuat memberontak hingga membataskan kewarasan akal.
Masya-Allah…
Aisy…
Aisy…
Mama dan baba tak pernah ajar dia jadi anak yang bengkeng. Mama dan baba tak pernah mengajar dia menjadi anak yang kurang ajar dan derhaka. Kenapa sampai sejauh itu kau bertindak Aisy?
Cinta datang dan pergi,
Tapi kasih sayang mama dan baba, kekal sepanjang hayat. Kenapa harus lebihkan orang yang bukan siapa-siapa berbanding mama dan baba?
Kenapa tak bertanya mama dan baba terus?
Mereka barangkali punya sebab yang kau sendiri tak pernah tahu Aisy..
Berterus-terang itukan lebih baik? Selama ini, baba dan mama tak pernah kata tidak untuk setiap pilihan yang kau buat. Cuma kali ini, mereka tak bersetuju. Dan pasti ada sebabnya kan? Hati terus memujuk.
Baru dia mahu berpaling, terasa satu tamparan kasar mengena muka.
Pedih! Ookey... muka tiba-tiba rasa bengkak. Bibir tiba-tiba terasa masin!
“Aduh..."
"Err... sorry.." tutur seseorang.
Susah payah, Aisy membuka mata yang terpejam spontan tadi. Kening berkerut. "Come again?”
"Sorry..." tutur lelaki di depannya. Mata Aisy dipicingkan.
"Sorry kenapa?" soal Aisy tak mengerti.
Laju tangan lelaki tu menunjuk pada kaki Aisy. Menunduk ke bawah mengikut hala tangan, Aisy terkedu. La.... bola tampar rupanya.
Tuduk mencapai bola. "Awak punya?”
Lelaki itu mengangguk. "Maaf. Tak sengaja.”
Aisy angguk kepala. Perlahan dia geleng. Lelaki di depannya tertawa.
"Mana satu? Angguk ke geleng?”
“Sorry?"
"Tadi awak angguk. Dan awak geleng. Maksudnya, saya dimaafkan ke tak?”
"Ooh..." tutur Aisy. Dia tersenyum.
"Angguk - ya, saya maafkan awak. Geleng - tak ada masalah. Awak tak sengaja lagi pun." balas Aisy ringkas. Lelaki di depannya tersenyum.
"Boleh saya ambil bola tu?”
Tunduk pandang bola di tangan. Laju Aisy angguk kepala. Bola bertukar tangan. Aisy hulur senyum sebelum melangkah.
"Awak..." seru lelaki itu.
Langkah Aisy langsung terpaku ke pasir. Menoleh ke belakang, “Ya?"
"Nama awak?”
“Aisy..."
Lelaki di depannya mengoyak senyum. "Aisy... as in I-cy?”
Aisy angguk kepala.
“Nice name.”
"Terima kasih.”
"Nanti jangan lupa tuam muka. Nanti bengkak." pesan lelaki itu.
Aisy angguk kepala. "Terima kasih..." ujar Aisy sambil terus melangkah meninggalkan lelaki bermata sepet itu dengan bola tamparnya.


“Okey tak budak tu?” soal Shazrul. 
Daryl tersenyum. Kepala angguk. “Okey agaknya. Dia tak jawab apa pun.”
“Kau borak apa dengan dia?”
“Borak apa? Aku pesan suruh dia tuam muka tu. Kuat juga kot bola tu hentam muka.”
“Tak minta phone number?”
Daryl tertawa. “Dah kenapa nak minta phone number dia?”
“Berkenalan?”
“Tak ada kerja kau Rul…”
Shazrul tertawa. “Tak ada kerja, kita carilah kerja. Boleh tahan kot budaknya.”
Daryl geleng kepala. “Tak berminat.”
“Apa nama dia?”
“Aisy…”
“Apa ke pelik namanya?”
Daryl tertawa. “Entah. Darah campur kot? Aisy as in I-cy.”
“Ooh… betul kau tak tanya nombor telefon dia?”
Daryl tepuk dahi. “Laaa… betul la! Tak ada kerja kot nak tanya nombor telefon dia…”
Shazrul tertawa. “Sungguhlah kau ni; kalau aku dah lama..”
“Kau memang, buaya!”
“Amboi! Tak sayang mulut kot…”
“Tahu kat Erna, mendapat kau…”
Shazrul tertawa. “Berkasih biar satu; berkawan biar beribu. Lupa?”
Daryl angkat kening. Pandangan kembali dilemparkan ke arah pantai. Mata mencari kelibat gadis tadi. Eh? Tak ada? Dah hilang? 
Bibir ukir senyum. Satu helaan nafas dilepaskan. 
Apa agaknya yang buat dia termenung lama tadi tu eh?

Biarlah! Bukannya urusan dia pun! Lagi pun dia tak kenal pun siapa perempuan tadi tu kan?

No comments: