Followers

Showing posts with label Sedingin Sonata. Show all posts
Showing posts with label Sedingin Sonata. Show all posts

Tuesday, February 26, 2013

#1 - iii

Dari duduk menongkat dagu, postur duduk ditegakkan. Buku yang tadinya terbuka langsung ditutup. Meraup wajah perlahan, Hana mengeluh. Apa dia terlalu berterus-terang? Ah, peduli apa dia. Walau terkadang kebenaran itu menyakitkan itu harus disampaikan.

Pada dia, manusia itu tidak layak untuk menghukum. Kerana hanya TUHAN yang berhak untuk menghukum. Kerana DIA sebenar-benarnya hakim.

Rasa bersalah kala melihat Naurah dan Huda dipanggil tadi sirna segera. Lagi pula, barangkali mereka juga barangkali harus ditarbiah dan memahami makna sebenar dakwah dan tarbiah. Tapi untuk sedetik, dia jatuh kasihan bila Kak Ada meminta Naurah dan Huda memohon maaf dari dia.

Dia seorang Nurhana yang bukan siapa-siapa pun. Dia seorang gadis biasa yang lebih selesa berseluar jeans, lebih selesa bert-shirt dan kadang-kadang mengenakan seluar pendek, bermuda atau pun skirt yang comel-comel. Iya... itulah dia seorang Nurhana.

Dia tidak marah bila ditegur. Dia suka bila dia ditegur. Cuma dia tidak suka dengan gayanya yang pada pendengarannya terdengar seperti menjengkilkan. Yang terdengar seperti menghakimi. Dia tidak suka dengan itu.

"Kak Ada tak nak ada yang masam muka. Jangan Naurah dan Huda ingat, Han mengadu pada Kak Ada. Tidak. Kebetulan hari tu Kak Ada terdengar. Jadi Kak Ada nak betulkan apa yang berlaku. Buang yang keruh ambil yang jernih." ujar Kak Ada.

"Kak Ada sayang adik-adik Kak Ada. Tak kira Naurah, Huda mahupun Han. Semuanya adik Kak Ada yang baik-baik. Kita kadang-kadang tak boleh menilai orang dari luaran. Luaran tak mencerminkan apa-apa. Yang penting hati. Insha-Allah, hati kita tu Allah yang gerakkan. Jadi Kak Ada nak, Naurah dan Huda minta maaf pada Han." ujar Kak Ada sambil menoleh padanya.

"Naurah, Huda..." seru Kak Ada sebelum kemudiannya berpaling memandangnya.

"Han... Boleh Han maafkan Naurah dan Huda?" soal Kak Ada. Dia mengangguk. Tapi tidak juga bersuara.
Meneguk liur, perlahan dia bangun. "Kalau Kak Ada tak ada apa-apa lagi, boleh Han minta diri dulu?" soalnya. Adawiya kala itu mengangguk. Menoleh memandang Naurah dan Huda, "Naurah dan Huda sebentar. Kak Ada nak bercakap sikit."

Nurhana sekadar melihat Naurah dan Huda berlalu meninggalkan Kak Ada. Lama duduk di katil. Hana memikirkan sendiri. Kewajaran untuk dia pindah. Patut atau tidak.

Menarik nafas dalam-dalam. Barang kembali di kemas.
Dia harus mencari sendiri hidayah itu dalam payah.
Bukankah sesuatu yang susah dan payah diperolehi itu adalah sesuatu yang lebih kita hargai dan cintai? Dia harus mengenal dirinya dulu. Untuk mengenal dirinya, dia harus mengenal penciptanya dan kemudian mencintainya. Apa, betul ke begitu?

Dalam Hana sibuk mengemas, dia langsung terlupa pada Naurah dan Huda. Ketika terdengar sapaan lembut Naurah dan Huda dari belakang, dia menoleh.

"Hana benar-benar mahu pindah?" soal Naurah. Huda masih tetap diam. Riak wajah dan pandangan Huda masih tetap sama. Masih tidak berubah. Masih menghakimikah gadis itu?

Hana mengangguk. Naurah mengeluh. "Tak mahu ditangguhkan niatnya dulu?" soal Naurah. Hana menggeleng.

"Masih terasa dengan kami?" soal Naurah lagi.

Hana memanggung pandang. Wajah Naurah direnungnya dalam. Mencari keikhlasan dari wajah itu. Tapi keikhlasan itu tiada. Naurah seperti dalam keterpaksaan sebenarnya dalam memujuknya. Memandang wajah Huda, gadis itu kelihatan jengkel padanya. Kenapa mesti begitu?

Apa mungkin kerana lancangnya mulutnya menyatakan ketidakpuasan hatinya pada tindak-tanduk dan kata-kata Naurah dan Huda padanya? Mungkin ke?

"Hana... kami minta maaf ya, Han?"

Mengangguk. Zip beg di tarik. Wajah Naurah dipandang lagi. "Rasanya, pergi itu yang terbaik. Kita tidak berdiri atas jalan dan niat yang sama. Saya tidak sesiqah awak berdua. Saya tak mahu menjadi fitnah kepada awak berdua bakal ahli syurga sedangkan saya mungkin penghuni neraka." laju Hana meluahkan. Meluahkan lebih kepada satu sindiran sebenarnya.

Naurah berubah wajah. Huda langsung merah padam. Hana mengukir senyum. Sinis lagi.

"Tak perlu datang bertemu saya dan memohon maaf kalau hati belum ikhlas. Tanpa rasa ikhlas itu insaf tidak akan timbul dan awak tak mengerti kenapa awak harus memohon maaf dari saya." luah Hana sambil bangun mengangkat beg ke atas katil.

Cardigan di belakang pintu disarungkan pada tubuh. Rambutnya dibetulkan. "Harapnya, selepas saya pergi nanti kita tidak lagi punya masalah seperti sekarang." ujar Hana. Naurah dan Huda diam. Tanpa salam, tanpa pamit. Hana langsung melangkah. Dia mahu bertemu dengan Jin Hyuk. Lelaki itu sudah berjanji mahu membantu dia untuk memindahkan barang. Tinggal sendiri rasanya lebih mudah. Lagi pun, dia mampu untuk tinggal sendiri walau tanpa duit biasiswa. Jadi dari terus dia menjerut rasa dan tertekan sendiri, lebih baik dia langsung mengundurkan diri. Kan?

#1 - ii

Yoeido Park, Seol, South Korea


Menghampiri tubuh yang sedang duduk mengadap pepohon yang cantik berkembang. Nurhana menarik nafas panjang sebelum dilepaskan.

"Han..." seru Kak Adawiya. Dia mengangguk.

"Lama Kak Ada tunggu?" soalnya. Kak Adawiya menggeleng.

"Ada apa Kak Ada ajak Han datang sini?"

Kak Adawiya tersenyum, perlahan dia menggeleng. "Saja, nak berbual dengan Han."

"Berbual?" soalnya. Kak Ada tersenyum.

"Kat rumah pun boleh berbual kan Kak Ada?" soal Nurhana sambil melabuhkan duduk. Kak Adawiya tersenyum. Perlahan mengangguk.

"Boleh. Cuma tak ada privasi. Kak Ada cuma nak berbual dengan Han. Tanpa ada sesiapa kat sisi yang dengar." ujar Kak Ada sambil menyiapkan bekalan yang di bawa.

"Makan dulu jom..." ajak Kak Ada. Dia mengangguk.

Melabuhkan duduk di sisi. Dia sekadar mengikut rentak Kak Ada yang mengangkat tangan dan mengaminkan ketika Kak Ada membacakan doa makan. Ketika menikmati makanan, Kak Ada tak banyak bercakap. Cuma selepas itu baru Kak Ada membuka mulut sambil menghulurkan pencuci mulut padanya.

"Han..." seru Kak Ada lembut. Nurhana memandang wajah Kak Adawiya, keningnya terangkat sedikit.

"Han marah lagi pada Naurah dan Huda?"

Tersungging senyum di bibir Nurhana. Dia berdehem untuk menyelesakan tekaknya yang terasa kering. "Kenapa Kak Ada tanya?"

"Kak Ada perasan yang Han dengan Naurah dan Huda macam tak berlaga angin  sejak dua menjak ni."

Mendengar itu Nurhana mengangguk. "Dah alang-alang Kak Ada tanya, Han nak berterus-teranglah dengan Kak Ada." ujarnya perlahan. Menarik nafas dalam-dalam. Wajah Kak Adawiya dipandangnya lama.

"Han mungkin bukan orang yang sefikrah dengan Kak Ada, yang sefikrah dengan Naurah dan Huda. Tapi Han rasa, tak sepatutnya dia orang hakimi Han macam Han ni murah. So what kalau Han berkawan dengan lelaki. Apa Islam itu rigid ke? Sampai berbual dengan lelaki pun salah? Berkawan dan keluar dengan lelaki pun bersalah?" soal Nurhana laju. Adawiya tersenyum. 

"Itu je?"

"Tak. Han adalah apa yang Kak Ada nampak. Cara Han pakai, cara Han berkerja, belajar. Jangan cuma hakimi Han menerusi luaran dan pakaian Han. Apa, orang yang berpakaian dan bersikap begini tak akan jumpa dengan hidayah Allah?"

"Hidayah itu milik Allah. Sedangkan orang seperti Kak Ada sekali pun, kalau Allah berkehendakkan, Kak Ada akan duduk di tempat Han sekarang dan Han mungkin akan duduk di tempat Kak Ada."

"Iya, mungkin sekarang Kak Ada, Naurah dan juga Huda bertudung labuh, berjubah segala bagai. Tapi kalau Allah berkehendakkan untuk uji Kak Ada, Naurah dan Huda. Kita mungkin berubah tempat." laju saja Nurhana bersuara. Adawiya kala itu tersentak. Sungguh dia tak sangka itu yang akan terlakar di bibir Nurhana. 

Nurhana memahami satu konsep yang mungkin Naurah dan Huda lupa. Kun Fa yakun. Jadi maka jadilah. Bila Allah berkehendakkan sesuatu, walau apa dan siapa sekali pun yang merasakan itu mustahil akan menjadi sesuatu yang tidak mustahil.

"Han betul. Han sangat betul..." ujar Adawiya lembut. Dia tahu, Nurhana adalah seorang gadis yang mudah untuk ditarbiah. Tapi perlu dalam lembut. Seperti menarik lembut dalam tepung. 

Dia tahu Nurhana itu masih mencari. Cara teguran juga mestilah cara yang lembut. Barangkali cara Naurah dan Huda menegur itu sedikit keras. Mendengar gadis biasa seperti Hana bercakap tentang fikrah tentang dakwah dia jadi terkejut. Untuk seorang yang mengaku hidup secara sekular seperti Hana, gadis itu kelihatannya dekat dengan tarbiah. Cuma mungkin selama ini dia sendiri kurang sedar. 

Untuk seketika dia kesal. Dia tidak menjadi seorang murabbi yang baik kepada seorang anak didiknya. Seharusnya dia harus sabar dalam menjadi da'ie. Dan sesungguhnya, usaha untuk tarbiah dan dakwah itu bukan usaha mudah. Itu satu usaha yang memerlukan kesabaran. Dakwah rasulullah tidak hanya berjaya dalam sehari. Tembok besar China juga tidak terbina dalam masa sehari.

Dia, Naurah dan Huda terlupa hakikat itu. Dia tak nafikan, kata-kata Hana itu masuk ke dalam fikirannya. Hana tak langsung silap. Mereka yang khilaf.

Bagaimana hendak berdakwah seandainya mereka terlalu keras dengan orang yang nak mereka dakwah. Mungkin juga dia, Naurah dan Huda terlupa; dakwah itu bukan hanya menerusi kata-kata. Tapi juga menerusi perlakuan dan tingkah laku kita.

Dia bersyukur, sekurang-kurangnya Hana sudah membuka mata dia untuk mengenal erti dakwah yang sebenar. Hana itu banyak bertanya dan pada dia itu sesuatu yang baik! Bertanya untuk mencari Allah. Sayangnya, bila mereka tidak mampu untuk menjawab soalan Hana dan mereka pula yang berdolak-dalih. Seharusnya bila kita sudah mahu menjadi da'ie, justeru kita harus mempersiapkan diri kita dengan ilmu. Agar bila ada yang bertanya kita mampu untuk menjawab persoalan mereka.

"Hana betul..." ujar Adawiya lembut.

"Kun Fayakun, Jadi maka Jadilah. Bila Allah berkehendakkan sesuatu semua perkara mustahil akan menjadi tidak mustahil. Hidayah itu milik Allah, dan DIA akan berikan kepada sesiapa saja yang DIA inginkan. Tetapi tak bermaksud kita tak perlu mencari hidayah Allah. Hidayah yang dicari itu akan terasa lebih nikmatnya. Percayalah..."

"Tapi, takkanlah sebab pertelingkahan tempohari Han sampai nak pindah rumah?" soal Adawiya lembut.

Nurhana mengoyak senyum. Perlahan dia mengangguk. "Ini bukan kali pertama, ini sudah entah kali ke berapa. Han rasa sudah masanya untuk Han mengundurkan diri." luah Nurhana perlahan. Adawiya tersentak. Sangkanya itulah kali pertama adik-adiknya berselisih pendapat. Rupanya tidak.

"Cuma satu pesan Han, jangan mudah menghakim sesiapa. Hidayah tu kalau Allah nak bagi tak perlu nak ditahan-tahan atau ditunggu-tunggu. Sekelip mata Allah dah bagi. Dan kalau pun Han ni macam ni, tak bertudung tak menutup aurat properly jangan sangka Han tak cari hidayah Allah."

"Han mungkin sedang mencari hidayah Allah. Dan Han mencari bukti kepada apa yang harus Han kerjakan. Bila Allah kata perempuan harus menutup aurat, Han tak nak tutup aurat Han membabi buta. Han nak tahu kenapa kita disyariatkan menutup aurat. Bukan sebab hanya nabi suruh, bukan sebab dalam al-Quran kata kena tutup. Tapi nak tahu kenapa."

"Han nak jadi seorang Islam yang benar-benar Islam. Bukan sekadar Islam pada nama, atau Islam kerana keturunan. Han nak mencari Islam tu. Nak mencari Allah itu. Nak mencintai Islam dan Allah kerana Han faham apa itu Islam. Apa itu pencipta Han." ujar Nurhana perlahan.

Sekali lagi Adawiya tersentak. Nurhana didepannya ini memberikan dia kejutan bukan sekali. Tapi berkali-kali dengan kata-kata dan ayat-ayat yang terlontar di depannya kala ini. Perlahan Adawiya mengangguk.

"Han benar, Kak Ada minta maaf bagi pihak kawan-kawan Han. Tapi Kak Ada harap, Han tak akan lupakan Kak Ada. Insha-Allah, kalau Han perlukan pertolongan Kak Ada sentiasa ada untuk membantu." ujar Adawiya perlahan. Nurhana tersenyum nipis. Perlahan mengangguk.

#1 - i




Tadi dalam kelam-kabut dia mahu ke Ohu suob (오후 수업) sempat Kak Adawiya berpesan untuk bertemu dengannya di Yoeido Park. Dia masih saja memikirkan alasan untuk tidak menghadirkan diri.

"No excuse... It's only two of us. Tak ada orang lain. Kak Ada tunggu di sana. Datang ya Han.." ujar Kak Adawiya dengan senyuman. Dia saat itu cuba mengoyak senyum yang terasa payah sekali.

"I'll buy you the sengseongui (생선구이). Han suka kan?" soal Kak Adawiya memancing. Dia sekadar tersenyum. Perlahan mengangguk.

"Jangan tak datang. Kak Ada tunggu..." pesan Kak Adawiya sekali lagi sebelum dia menapak keluar dari rumah untuk ke Universiti Kebangsaan Seol (Seol National University).  Untuk seketika dia hairan sendiri. Tak pernah walau sekali pun dia maklumkan pada Kak Adawiya apa kegemarannya. Apa minatnya. Tapi bagaimana Kak Adawiya tahu?

Dia sebenarnya cuba menjarakkan hubungan dengan rakan-rakan serumah. Rasanya dia tidak sekufu untuk berkawan dengan mereka. Dia bukannya jenis budak yang suka pakai tudung gedabak besar. Dia bukan orang yang menutup aurat sepenuhnya. Dia gadis biasa yang suka memakai seluar jeans, dengan rambut yang lepas bebas. Kadang-kadang dia selesa memakai skirt dengan baju turtle neck. Lagi pun, padanya Korea itu  itu kota Paris Asia. Penuh dengan fesyen yang sentiasa berubah. Dan fesyennya pula kelihatan sopan pada matanya.

Usai saja tamat Ohu suob (오후 수업), dia menunggu seketika untuk bertemu dengan Seonsengnim (선생님). Ada beberapa perkara yang mahu dirujuk dengan Seongsengnim. SMS dari Kak Adawiya membuatkan dia serba salah. Kalau boleh dia benar-benar mahu menggelak untuk bertemu dengan Kak Adawiya. Apatah lagi selepas satu pertengkaran kecil di antara dia dengan salah seorang budak rumahnya.

Lagipun dia tak ambil port sangat dengan aktiviti budak-budak rumahnya. Dia tak terbiasa dengan aktiviti membaca al-mathurat setiap pagi. Dia tak reti nak menyertai usrah. Dia tak suka solat berjemaah dan tak faham apa yang mereka lakukan ketika sesi liqa` atau halaqah. Sungguh dia tak reti. Itu bukan hidupnya.

Dia orangnya jenis yang simple habis. Pada dia, selagi dia tak minum arak, selagi dia tak tidur dengan lelaki, dia masih belum melakukan kesalahan. Tudung? Dia boleh pakai tudung bila tiba masanya. Dia rasa tak perlu la kot orang lain nak menghakimi dia. Apa kalau pakai tudung tu dah habis baik? Apa kalau pakai tudung tu dah confirm masuk syurga?

Dia ada masa untuk berubah. Insha-Allah dia akan berubah. Tapi biarlah dengan kerelaan hatinya sendiri. Bukan atas paksaan. Bila dia bertanya, kenapa mesti pakai tudung. Rakan-rakannya cuma jawab wajib. Bila dia tanya kenapa wajib mereka kata itu arahan Allah. Tapi kenapa Allah arahkan, apa hikmahnya. Tak ada seorang pun yang mampu menjawab dan memberikan dia kepuasan dengan jawapan itu.

Dia mahu bila dia bertudung, dia bertudung dengan seikhlas hati dan dia faham dengan erti kenapa dia harus bertudung. Dia sendiri masih mencari-cari. Dia tak suka bila dia dihakimi.

Apa orang yang bertudung gedabak ini, jenisnya suka menghukum orang ke? Itu ini banyak yang tak boleh. Hairan sungguh.

Paling kelakar, niqab berwarna pun menjadi isu. Apa penting pilihan warna menjadi isu perdebatan. Pada dia, di mata orang Malaysia dan Melayu Islam, merah itu mungkin menarik perhatian. Tapi cuba pada pandangan orang Cina di China. Merah itu mungkin pada mereka warna yang biasa-biasa saja. Kenapa isu yang kecil itu pun harus dibesar-besarkan? Sungguh dia tak faham! Sangat-sangat tak faham sebenarnya.

Pergi... tidak... pergi... tidak.

Hana, mengeluh sendiri. Bunyi gegaran telefon bimbit membuatkan dia terpaku. Nama Kak Adawiya terpapar di situ. Dengan berat hati, panggilan itu dijawabnya.

"Wa'alaikumussalam... Iya, Han baru habis kelas." jujur dia menjawab.

"Terus ke sini ya. Kita lunch sama. Kak Ada tunggu Han..."

"Tapi..."

"Datanglah. Kak Ada tunggu. Assalammualaikum..." ujar Kak Adawiya laju sambil kemudiannya meletakkan panggilan telefon tanpa sempat dia memberikan alasan. Menggaru kepala. Perlahan Hana mengeluh. Nampaknya, terpaksalah.

Pilihan apa lagi yang dia ada. Kan?

Note : Ohu soub (오후 수업) - kelas petang
생선구이(sengseongui) - ikan bakar
Seongsengnim - cikgu / pensyarah

-----------------------------------------------------

Ini fresh story untuk tahun ini. Doakan ya!