Followers

Wednesday, February 27, 2013

#2

Usai iftar, Nadine langsung ke bilik. Mahu segera menunaikan solat maghrib. “Iman...” seru Huda. Nadine menoleh.

“Kau dah sudah?” soal temannya. Nadine tersenyum. Perlahan dia menggeleng.

“Aku solat maghrib dulu. Nanti aku sambung. Tadikan aku dah berbuka dengar kurma.” Ujar Nadine sambil tersenyum.

“Makan dulu la...”

Menarik senyum. Perlahan Nadine menggeleng. “Sekejap je. Tak sampai lima belas minit pun nak solat maghrib. Kau makanlah dulu, Huda.” Ujar Nadine sambil langsung berlalu ke biliknya untuk menunaikan solat.

Usai memberikan salam. Nadine duduk dan berzikir perlahan. Menarik nafas dalam-dalam. Perlahan dihelanya. Alhamdulillah, dia dapat melakukan puasa sunat Isnin dan Khamis. Semoga dia terus istiqamah. Insha-Allah.

Meraup wajah perlahan, Nadine menanggalkan mukena dan menyidaikannya di ampaian. Melangkah ke dapur. Huda kelihatannya baru sudah makan. Nadine tersenyum. “Dah sudah Huda?” soal Nadine. Huda mengangguk.

“Iman makan sendiri ya? Huda nak solat dulu.”

Nadine mengangguk, “Pergilah. Lewat nanti, habis pula waktu.”

“Itulah. Ini pun, Huda rasa macam dah kenyang sangat. Nak rukuk dan sujud nanti memang seksa la.”

Nadine tersenyum mendengar kata Huda. Perlahan dia mengangguk. “Kalau tak, duduk dulu. Rehatkan dulu perut. Insha-Allah, ada waktu lagi ni.”

Laju saja Huda menggelengkan kepala. “Tak boleh la Iman. Takut Huda terbabas kalau tangguh-tangguh. Bila dah kenyang macam ni, mula la nak jadi ular sawa.” Ujar Huda. Nadine mengangguk. Faham sangat dia apa yang Huda maksudkan. Dulu pun dia sama macam Huda.

“Pergilah. Iman boleh makan sendiri.” Ujar Nadine sambil tersenyum. Huda mengangguk.

Usai makan, langsung Nadine mengemas meja makan dan membasuh pinggan mangkuk. Terdengar sapaan Huda dari belakang. Langsung Nadine menoleh sekilas.

“Ada apa Huda?”

Huda menggeleng. “Hari-hari kalau macam ni penat la Huda. Semput masa nak sujud dan rukuk. Makan sungguh-sungguh. Iman la, masak sedap sangat tadi.” Ujar Huda. Nadine tertawa kecil. Tangan yang basah langsung disapu pada kain tuala bersih yang dilekatkan di peti sejuk.

Menarik kerusi, Nadine meletakkan teh ‘o’ secawan untuk Huda dan untuk dirinya sendiri. Menarik nafas dalam-dalam, perlahan dihelanya. “Kalau macam tu, cuba mulai dari sekarang Huda kalau nak buat apa-apa, cuba tiru cara rasulullah. Sunnah tu.” Ujar Nadine dalam senyuman.

“Maksud Iman?”

Nadine tersenyum lebar. Pancingnya mengena untuk menarik minat Huda. Kata rakan-rakan serumahnya, Huda ni jarang-jarang sekali mahu dengar nasihat. Kata mereka, Huda lebih selesa lepas bebas. Tapi itu kata mereka. Pada kaca mata dia, Huda itu orangnya masih boleh dibentuk. Ada niat mahu belajar. Cuma kena cari cara yang terbaiklah untuk membentuk Huda. Huda ini orangnya bukan boleh dipaksa-paksa. Perlu ditegur dengan cara yang berhemah.

“Kalau Huda nak tahu, nabi junjungan kita Muhammad s.a.w, bila iftar; baginda menyegerakan berbuka bila masuk waktu. Sama macam yang kita buat tadi. Itu dimakan ta’jil al-iftar. Sabda rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Sahl bin Sa’ad, “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”

“Tapi Iman, bukan ke ada yang pernah cakap; bila makanan dah dihidangkan kita dianjurkan untuk makan dulu kemudian solat? Bukan macam tu ke Iman?”

Nadine tersenyum. Perlahan dia mengangguk. Teh di dalam cawan dihirupnya perlahan sebelum cangkir teh diletakkan semula ke atas meja. “Betul la tu Huda. Tapi dalam kes macam tadi, bila Huda baru nak hidangkan makanan dan makanan belum lagi terhidang tak ada masalah pun untuk kita nak solat dulu baru makan.”

“Nabi s.a.w pun, menyegerakan solat maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air. Sunat untuk kita ikut apa yang Nabi s.a.w buat. Tapi kalau makanan dah siap terhidang, itu dah jatuh makruh. Daripada Anas bin Malik r.a, diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, “Apabila dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan janganlah kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.”

“Tahu kenapa Nabi s.a.w anjurkan kita untuk makan dahulu kemudian solat Huda?” soal Nadine. Huda menggeleng perlahan sambil mengangkat bahu. Nadine tersenyum.

“Kalau kita tengah solat, tapi otak kita fikirkan makan. Ke mana kusyuk kita mengadap Allah? Solat tu kan ibadat? Kita masa tu tengah berkhalwat dengan DIA. Rabbul jalil. Kita pun, kalau keluar dating tiba-tiba pakwe kita teringatkan kawan perempuan dia, tak marah ke? Mendidih juga kan?” soal Nadine. Huda tertawa.

“Kelakarlah Iman...” ujar Huda sambil tertawa terbahak-bahak.

Nadine tersenyum. “Ada lagi tau Huda... Boleh Iman sambung?” soal Nadine. Huda mengangguk.

“Kita disyariatkan untuk makan dengan cara yang ala kadar. Maksudnya, tidak terlalu kenyang dan tidak terlalu lapar. Dengan erti kata lain makan dengan kadar yang berpada-pada. Tahu kenapa?” soal Nadine. Sekali lagi Huda menggelengkan kepala.

“Allah s.w.t berfirman dalam surah al-‘araf ayat 31 yang berbunyi, “Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya DIA tidak suka orang yang berlebih-lebihan.”

“Bila kita makan lebih-lebih tu la kita jadi tak larat. Nak sujud dan rukuk kadang-kadang rasa mengah. Rasa semput.” Huda tertawa. “Itu macam Huda tadi.”

Nadine mengangguk. “Iya. Iman dulu pun macam tu. Sekarang ni je, alhamdulillah. Insha-Allah, moga-moga istikhamah terus.”

“Oh ya, sebelum Iman terlupa. Huda tau tak, doa orang-orang yang berpuasa ni mudah Allah makbulkan. Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka puasa.” Jadi sekarang ni, bila nak berbuka tu berdoalah yang baik-baik. Mudah-mudahan Allah terima dan makbulkan.”

“Iya Iman? Huda ingat apa yang pelakon dalam Ketika Cinta Bertasbih cakap tu dialog filem je.” Ujar Huda dengan riak terkejut. Nadine tertawa kecil. Perlahan mengangguk.

“Iya, betul la. Itu bukan main-main. Filem pun boleh jadi medium dakwah tau Huda. Kena pula kalau penulis skrip tu adalah dari golongan ustaz-ustazah yang faham agama. Jadi menonton ni kadang-kadang jangan cuma untuk entertainment tapi ambil sama ilmunya, Huda.”

“Iya ustazah Iman...” jawab Huda panjang dalam tawa kecil. Nadine menggeleng perlahan. Lembut hidung Iman ditarik perlahan, “Nakal!” ujar Nadine geram. Masing-masing ketawa.

“Er... Iman..” seru Huda. Nadine mengangguk.

“Kalau Huda tanya, Iman marah tak?”

Mendengar soalan Huda, Iman tertawa kecil. Perlahan dia menggeleng. “Tanyalah Huda. Huda nak tanya apa?”

“Sejak bila ya, Iman mula pakai jubah? Tudung labuh ni? Iman dulu sekolah agama ke?” soal Huda. Iman tersenyum. Perlahan Iman menggeleng.

“Tak lah. Iman sekolah biasa. Bukan sekolah agama. Kenapa?”

Huda menggeleng. “Taklah. Huda ingat Iman sekolah agama.”

“Oooo...” ujar Nadine pendek sambil mengangguk. Bukannya dia tak biasa dengan itu. Dia sudah terlalu biasa mendengar soalan yang sebegitu. Bila bertudung labuh, bila berjubah ramai yang ingat dia dari sekolah agama. Ada juga yang memanggil dia ustazah. Dia sudah terbiasa dengan itu.

“Sejak bila Iman mula pakai tudung labuh dengan jubah ni?”

Nadine terdiam. Lama dia cuba mengingat. “Hmm... masa prep sebelum fly ke sini.”

“Tak rimas ke?” soal Huda. Nadine mengerutkan dahi. Memandang Huda, “Maksud Huda?”

Huda menggeleng. “Maaf ya. Bukan maksud Huda nak menyinggung Iman. Huda cuma nak tahu.”

Nadine menggeleng. “Tak lah. Iman okey. Maksud Huda tadi bagaimana?”

“Maksud Huda, iyalah. Pakai labuh-labuh macam ni. Iman tak rimas ke?”

Nadine tersenyum. Perlahan mengangguk. “Tak lah. Sebenarnya Huda, kalau Huda nak fashionable macam mana pun, nak lilit tudung macam mana pun. Nak dress up macam mana pun, asalkan Huda ikut syariat, tak berlebih-lebihan dan tutup aurat. Tak ada masalah.”

“Macam Iman, Iman pilih untuk pakai macam ni. Sebab pada Iman, Iman rasa bila Iman pakai macam ni, Iman lebih terjaga. Hati Iman lebih terjaga dan Insha-Allah, Allah juga akan jaga Iman.”

“Maksud Iman?”

Nadine tersenyum. Kan dah cakap, Huda ni bukannya jenis tak boleh dibentuk. Dia boleh dibentuk. Mudah sangat nak bentuk Huda ni. Cuma kenalah kena pada caranya. Cara nak dakwah ni pun ada banyak. Dan soalan-soalan Huda ni, peluang keemasan yang boleh digunakan untuk berdakwah. Tapi cara jawabnya kenalah sopan.

“Macam ni Huda, Allah dah tetapkan aurat seorang muslimah tu yang boleh dilihat oleh ajnabi atau bukan mahramnya cuma muka dan kedua-dua belah tangannya. Jadi maksudnya kaki kita pun aurat juga.”

“Haaa? Tak boleh la pakai sandle? Flip flop?”

Nadine tersenyum. Perlahan menggeleng. “Boleh. Siapa cakap tak boleh? Pakailah sarung kaki. Tapi nak pakai sarung kaki tu pula bukan sebarang sarung kaki. Kena pilih.”

“Pilih macam mana?”

“Dari segi warnanya bukan yang menarik perhatian maksudnya bukan yang terang-terang. Tidak jarang sampai nampak jari-jari di sebalik sarung kaki tu. Sebab kan ke bila kita menutup aurat kita kena pastikan tidak menampakkan susuk tubuh? Bukan pakai ketat-ketat je yang boleh nampak susuk tubuh. Pakaian yang longgar pun boleh nampak susuk tubuh tau kalau dah kainnya jarang atau melekat pada badan.” Ujar Nadine. Huda ternganga.

“Susahla...”

Nadine tersenyum. “Apa pula susah... Islam tu satu agama yang mudah. Islam tak tetapkan untuk Huda pakai baju kurung je. Atau pakai seluar je. Islam benarkan Huda pakai apa je yang Huda nak pakai. Asalkan menutup aurat dan mengikut apa yang digariskan.”

“Tapi seriuslah Iman, susahnya la.Maksudnya selama ni, Huda tak tutup auratlah?”

Nadine tersenyum. “Rasa Huda?” soal Nadine perlahan.

Mengeluh. “Taklah. Tengoklah Huda pakai apa. Hudakan selalu pakai jeans yang sendat tu. Pakai tudung pula kain chiffon yang jarang tu. Nampak bentuk leher...” perlahan Huda bersuara. Lemah sekali pada pendengaran telinga Nadine.

"Maksudnya, tak gunalah kita pakai cantik-cantik. Lawa-lawa." ujar Huda perlahan.

"Kenapa pula tak guna?" soal Nadine.

"Dah kalau pakai cantik-cantik, lawa-lawa. Warna yang terang-terang tu menarik perhatian orang. Kita kan pakai untuk nak lawa."

Mendengar itu, Nadine tersenyum. "Huda pakai lawa-lawa tu untuk siapa? Untuk orang tengok? Untuk orang puji?" soal Nadine. Huda mengeluh.

"Bukan semua orang suka ke kena puji?"

Nadine tersenyum. "Iya, tapi pujian Allah dengan pujian manusia mana lebih tinggi? Kita nak dipandang tinggi oleh Allah atau oleh manusia?"

"Hidup ni sementara je Huda.Siapa cakap Huda tak boleh pakai cantik-cantik? Huda tahu tak Allah sebenarnya suka pada benda-benda yang cantik. Sebab tu, kalau Huda tengok Allah jadikan manusia ini secantik-cantik ciptaan, alam ini dengan secantik-cantik pemandangan. Itu bukti kekuasaan Allah. Bukti Allah sukakan kepada kecantikan."

Tapi, sebagai hamba Allah, kenapa kita perlu jadi hamba pada manusia? Kita pakai untuk puaskan hati manusia? Sedangkan yang perlu kita puaskan tu adalah Allah? Ikut suruhan DIA jauhi larangan DIA."

Huda terdiam. Nadine tersenyum. Barangkali apa yang dia kata itu masuk ke dalam fikiran Huda agaknya. "Huda fikirkanlah. Kalau nak puaskan kehendak manusia ni Huda, tak pernah nak puas. Tapi Allah, nak puaskan Allah. Mudah saja. Cuma buat apa yang Allah suruh. Jauhi larangan DIA. Itu je."

"Insha-Allah. Huda cuba."

Nadine tersenyum. Perlahan dia menggeleng. "Jangan cuba sebab Iman suruh atau sebab apa yang Iman cakap. Tapi cuba berubah sebab Iman nak. Berubah sebab DIA. Insha-Allah, bila kita bergerak atas jalanNYA, DIA akan tolong kita." Bahu Huda ditepuk perlahan. “Insha-Allah, sekarang ni Huda dah tahu. Berubah la.”

Huda mengangguk. “Huda nak berubah. Iman tolong Huda ya?” soal Huda. Nadine mengangguk. Perlahan tubuh temannya itu dipeluk mesra. Dalam hati, Nadine bersyukur yang Allah buka hati Huda untuk bertanya dan Allah bukakan hati Huda untuk menerima hidayahNya.

“Mana Airin, Iman? Huda tak nampak Airin pun?”

Mendengar soalan Huda, Nadine melihat jam di tangan. Tadi katanya, Airin ke rumah Kak Zaza. Ada sesuatu yang mahu dibincangkan. Tapi ni dah jam berapa. Tak balik-balik lagi?

“Airin ke rumah Kak Zaza tadi. Ada hal la tu...” jawab Nadine sambil bangun ke sinki dengan membawa cawan untuk dibasuh.

Menoleh memandang Huda; Nadine bersuara, “Huda esok nak ikut Nadine?”

“Ke mana?”

“Ke rumah Kak Saidatul. Ada usrah.”

Huda menggeleng. “Huda seganlah. Huda bukan macam Iman. Pakai tudung labuh. Pakai jubah.”

Nadine tersenyum. Perlahan dia menggeleng. “Huda, bertudung labuh berjubah tak semestinya dia seorang ustazah. Orang bertudung labuh dan berjubah ni, sebenarnya dia nak menjaga diri. Dia cuba menjadi yang terbaik dan dia masih juga belajar untuk mendekatkan diri pada Allah. Sama seperti orang yang berpakaian biasa.” Ujar Nadine.

“Huda ikut Iman ya?”

“Huda seganlah...”

“Apa nak segan? Iman kan ada? Airin pun ada.”

“Insha-Allah. Boleh kot.”

Nadine mengangguk. Dalam hati dia bersyukur, Allah lembutkan hati Huda. Semoga Allah sirami hati-hati mereka dengan kasih sayangNya. Manisnya ukhuwah keranaNya.

#1

“Alamak!” rungut satu suara. Mendengar itu Fakhran Syafrie memanggung pandang. Kelihatan seorang gadis sebaya umurnya yang tadinya sedang berlari-lari anak berpatah balik; selang lima meter dari tempat dia duduk membetulkan tali kasutnya yang terburai.

“Kita nak cepat jatuh pula...” bebel gadis itu perlahan namun sampai ke telinganya. Dia langsung menguntum senyum. Melihat kepada figura gadis itu, itu susuk tubuh orang Asia. Mendengar lantunan bahasanya, sah itu orang Kepulauan Melayu. Malaysia bukan? Bahasa yang digunakannya itu sah Bahasa Melayu. Tapi dari Malaysia atau dari Brunei? Dari Indonesia juga mungkin kan?

Mengecilkan mata. Retina difokuskan kepada gadis itu.

Jubah. Tudung bidang besar yang diselepang ke kiri dan ke kanan. Sneakers?

Sneakers?

Biar betul? Jubah dengan sneaker? Kontra punya kombinasi kot?

Fakhran Syafrie memanjangkan lahir. Pandangan dipusatkan pada susuk tubuh gadis yang sedang mengutip barang-barang yang berterabur dari pencil case. Rasa macam kenal! Gaya luar alam tak ikut fesyen, dia pernah nampak masa sekolah dulu. Suara tu pun, macam familiar je.

Memusatkan pandangan. Fakhran Syafrie cuba mengecam gadis itu. Rasa macam kenal! Gaya luar alam tak ikut fesyen macam tu, dia pernah nampak masa sekolah dulu. Suara tu pun, macam familiar je.

“Iman! Cepat... kita dah lambat!” ujar satu lagi suara yang entah dari mana muncul. Tiba-tiba saja ada di depan gadis bernama Iman.

“Sekejap. Berterabur dah barang dalam pencil case ni.” Rungut gadis bernama Iman itu. Elok saja gadis itu mula berdiri, seperti tahu-tahu saja yang dia sedang diperhatikan. Gadis itu berpaling pandang. Menoleh ke belakang.

“Kau cari siapa?” soal si gadis berbaju kurung.

Eh! Budak perempuan tu pun, macam kenal je. Desis Fakhran Syafrie di dalam hati.

“Tak, aku rasa macam ada orang pandang.” Omel gadis bernama Iman tadi.

“Perasaan kau je kot. Jom kita dah lambat! Usrah dah nak mula dah...” ujar teman si Iman. Fakhran Syafrie memandang gadis itu lama. Otaknya giat berkerja cuba mengingat.

SubhanaAllah! Umairah! Kembar si Umair. Memanglah dia kenal! Mereka satu sekolah! Dan yang bernama Iman tadi, pasti saja Nadine Nur’iman. Spontan,cetusan senyum terlontar dari bibir Fakhran Syafrie. Berjodoh rupanya mereka.



3 Tahun yang lalu

Pandangannya terfokus ke depan. Drawing board masih lagi jadi drawing board. Lukisan jentera yang harus disiapkan tinggal kertas kosong. Matanya memerhati gadis di ruang sudut tersorok di depan sana yang sedang berasap kepala memarahi salah seorang anggota badan pengawas sekolah.

“Kau pandang apa Fakhran?” tegur Umair disebelah.

Menggeleng. “Tak ada apa.” Jawab Fakhran Syafrie.

Umair memanggung wajah. Matanya terfokus ke arah yang sama. “Kau pandang Iman ya?”

Menoleh. “Iman siapa?”

Umair menjuih bibir. “Tu. Pengawas perempuan kat depan tu.”

Menggeleng. “Mana ada.”

Umair tersenyum. “Kalau ya pun, apa salahnya. Tapi dia tak layan lelaki.” Ujar Umair selamba sambil kembali sibuk dengan flexible curvenya. Siap terteleng-teleng kepalanya nak siapkan lengkuk separa bujur.

“Dia lesbian ke apa?” spontan dia bertanya. Umair langsung tersedak.

“Masya-Allah. Ke situ pula dia.” Ujar Umair sambil mengosok dada. Pangkal hidung digosok perlahan. Pensil Mekanikal 0.3mm diletakkan atas kertas lukisan. Bersandar tegak ke kerusi. Umair menggosok lehernya yang terasa sengal.

“Sakit leherla...” rungut Umair.

“Yang kau tunduk sampai tahap muka nak kena drawing board kenapanya.”

Umair tersengih. “Dah biasa. Rasa tak puas je bila melukis duduk tegak macam kau. Macam patung.”

“Amboi. Patung kau kata aku.”

Umair tertawa. Fakhran Syafrie berdehem. Dia kembali memalingkan pandangnya ke depan. Matanya masih memandang gadis bernama Iman yang dikatakan Umair.

“Dia lesbian ke?”

“Ada ke. Tak baik cakap macam tu.” Ujar Umair.

“Dah kau kata dia tak layan lelaki.”

“Maksud aku, dia tak minat nak couple-couple ni. Berpakwe bermakwe ni.”

Mendengar itu spontan Fakhran Syafrie menoleh pandang 90◦ ke sisi. “Eh?”

Umair mengangguk. “Kalau tak percaya, kau cubalah.”

Fakhran Syafrie menggeleng. “Tak apalah. Aku tak minat?”

“Serius?” soal Umair seperti tidak percaya.

Angguk. “Aku suka tengok karakter dia. Itu saja.”

“Oh..”

Suara berdehem membuatkan mereka masing-masing berhenti berborak. Menoleh pandang, kelihatan budak perempuan bernama Iman tadi dengan seorang budak perempuan lain. Apa mereka berdua dengar ke apa yang dia dan Umair borakkan tadi? Fakhran Syafrie mengangkat kening memandang Umair. Umair mengangkat bahu.

“Umair...” tegur budak perempuan disebelah budak bernama Iman.

“Apa?”

“Mama telefon kau tak dapat. Mama suruh kau telefon dia.”

Mendengar itu Fakhran Syafrie mengangkat kening. Budak perempuan ni, dengan Umair kongsi emak ke apa? Lama dia perhatikan muka budak perempuan tu. Sedar barangkali diperhatikan begitu, langsung budak perempuan itu memandang dia. “Awak tak pernah tengok perempuan, eh?”

Fakhran Syafrie terkedu. Mak aih. Mulut. Tak sayangnya. Apa dia ingat, aku perak sangat eh? Tak pernah tengok perempuan. Desis Fakhran Syafrie dalam hati.

Menoleh pada Umair, “Siapa budak perempuan ni?” soalnya di depan budak perempuan itu.

“Kembar aku.”

Fakhran langsung tersentap. “Kembar kau? Kau ada kembar eh?”

Umair tersengih. “Ni adik aku, Umairah. Umairah ini Fakhran. Kawan aku. Dia baru pindah sini dari Cheras.”

“Sebelah Umairah tu, kawan dia. Iman.”

Fakhran sekadar mengangguk. Tak berani nak pandang wajah Iman dan Umairah. Segan kot! Terasa sisinya disiku. Dia langsung menoleh.

“Apa?”

“Tak reti nak kenalkan diri ke?”

Bibir menarik senyum tawar. Fakhran Syafrie sedikit menundukkan kepala. Tanda hormat, “Saya Fakhran Syafrie. Sekelas dengan Umair.”

Gadis bernama Iman itu tidak menjawab. Sekadar menundukkan sedikit kepala. Umairah mengangguk. “Ooh... awaklah budak baru yang budak-budak duk sebut-sebut tu eh?”

“Apa?”

“Eh tak ada apa.” Laju saja Umairah menyilang tangannya ke kiri dan ke kanan. Dia sekadar mengangguk.

“Jangan lupa telefon mama. Nanti mama bising.”

“Ya...” jawab Umair pendek.

“Lagi satu...”

“Apa lagi?” soal Umair.

“Aku nak keluar pergi town weekend ni.”

“Tak boleh.” Jawab Umair sepatah.

“Alah Umair... boleh la. Aku keluar dengan Iman.”

Menggeleng. “Tak boleh.”

“Kalau macam tu, kau temankan.” Laju si Umairah mencadangkan. Umair menggeleng.

“Aku ada kerja.”

“Umair... boleh la. Mama tak bagi kalau aku seorang.”

“Nanti aku fikirkan.” Putus si Umair. Umairah menarik nafas geram sebelum berlalu pergi sambil mendetak-detak kaki. Iman sekadar membuntuti dibelakang.

Menoleh memandang Umair, “Kenapa kau tak bagi dia keluar?”

“Saja.”

“Gila kejam.”

Umair tersengih. “Aku tak nak dia keluar dating.”

“Kau boleh pula?”

“Mana ada. Aku tak pernah okey!”



“Fakhran! Kau dah lama tunggu.” Teguran itu membuatkan lamunan Fakhran terputus begitu saja.

“Kematu juga la punggung aku tunggu kau.” Ujar Fakhran sambil mendongan memandang Hasnul.

“Maaflah. Ada masalah pula tadi masa nak pinjam buku ni.” Ujar Hasnul sambil menggaru-garu kepalanya. Fakhran menggeleng perlahan.

“Tak apa la. Tapi malam ni kau masak.” Ujar Fakhran. Hasnul tersenyum. Laju saja mengangguk. Hasnul tu memang suka memasak pun. Kena pula, dia memasak boleh tahan sedap.

“Dah. Jom!” ujarnya sambil mengumpul buku di sisi dan disumbat ke dalam beg sandang belakang.

“Fakhran, hari ini turn kau masak kan?” soal Hasnul. Fakhran memanggung pandang. Dahi berkerut. Menoleh memandang Hasnul. “Hari ini, hari apa eh?”

“Isnin.” Jawab Hasnul. Fakhran tersengih. Betul la giliran dia memasak hari ini.

“Kau nak makan apa?” soal Fakhran. Hasnul tersengih. Sah la Fakhran dah tak ada idea nak masak apa. Kalau tak, dah tentu Fakhran tak tanya selera dia.

“Kenapa?”

“Aku nak cari barang kat King Street.” Jawab Fakhran sambil membetulkan duduk beg sandang belakangnya yang sedikit terjatuh ke bawah.

“Nasi ayam hainan boleh? Kau punya specialty kan tu?”soal Hasnul sambil tersenyum-senyum.

“Permintaan... melampau. Renyah kau tau tak..”

Hasnul tertawa. “Dah kau tanya selera aku? Itu yang aku mengidam.” Balas Hasnul sambil tersengih. Fakhran menggeleng.

“Kalau macam tu, jom gerak terus ke Asian Halal Food Store kat King Street.” Ajak Fakhran. Hasnul mengangguk.

“Apa lagi rencah yang kau nak?” soal Hasnul. Fakhran mengira-ngira sendiri. Pusing memandang Hasnul. “Kau carikan aku halia dengan cili boleh?”

Baru saja mahu melangkah, Fakhran kembali menoleh memandang Hasnul, “Wei.. jangan lupa bawang besar, bawang merah, bawang putih dengan tomato sekali. Aku nak ke sebelah sana, nak cari sos tiram dengan kicap kejap.”

“Aku bawa troli ni sekali la..” ujar Hasnul. Fakhran sekadar mengangguk. Kaki menapak ke deretan rak mencari sos tiram dan kicap pekat. Baru tangan nak menggapai sos tiram di rak teratas terasa dia dilanggar dari sisi.

“Ooh.. sorry sir.” Laju je mulut perempuan disebelah mengucapkan kata maaf.

“It’s okay..” ujar Fakhran dan menoleh pandang. Dia sedikit terkedu bila melihat yang berdiri di depannya itu adalah Nadine Nur’iman yang dia pernah kenal. Gadis yang sama yang dia nampak tadi di depan perpustakaan.

“Nak masak apa untuk iftar nanti ya?” soal Nadine Nur’iman pada teman di sisinya.

“Kita buat simple je okey kan? Masak spaghetti je la.” Ujar teman Nadine Nur’iman.

“Spaghetti dah ada. Jom beli tomato dengan cili.” Ajak Nadine Nur’iman yang semakin hilang dari pandangan Fakhran.

Bibir mengukir senyum. Perlahan Fakhran menggeleng. Entah apa jodohnya dia dipertemukan dengan Nadine Nur’iman dua kali dalam sehari ini. Walhal sudah lama dia dan Nadine Nur’iman tak pernah bertembung. Tipulah dia tak pernah ada hati pada gadis itu. Dia memang pernah jatuh hati pada gadis itu. Tapi dia tak pernah berani mahu mendekati Nadine. Dia hormat pada Nadine. Jadi dia cuma berani untuk sukakan Nadine dari jauh sahaja.

Bunyi nada dering telefon bimbit menghalau lamunan Fakhran. Bibir mengukir senyum. Perlahan dia menggeleng.

“A’ah.. ko kat mana Hasnul?” soal Fakhran.

“Ooh.. Okey. Aku ke sana sekarang.” Ujar Fakhran sambil melangkah ke bahagian sayur-sayuran. Perlahan dia menggelengkan kepala. Sungguhlah tadi dia terlagha sebentar. Astaghfirullahal’azim....

Tak baik tengok anak dara orang macam tu Fakhran! Jaga pandangan sikitlah! Akal Fakhran menegur. Dia tersenyum nipis.

#Prolog II

Melihat umi yang ternganga dan babah yang terlopong. Fakhran Syafrie tersengih. Dia tahu, dia dah buat kejutan pada babah dan umi. Mahunya tidak. Tadi pulang-pulang saja dari berjemaah maghrib di masjid. Langsung dia ke ruang depan. Minta izin pada babah dan umi; dia mahu bercakap. Babah dan umi sendiri terkejut bila niatnya diutarakan.

“Fakhran serius?” soal umi. Mendengar itu Fakhran Syafrie mengangguk. Dah macam burung belatuk pun dah ada ni! Apa umi ingat dia berani nak main-main bila dia cakap pada umi yang dia mahu kahwin?

“Fakhran nak bagi anak orang makan apa?”

“Makan nasi la umi...” jawabnya selamba. Umi mengeluh. Abah diam tak bercakap.

“Fakhran belajar lagi,kan? Tunggu dah kerjalah...” putus umi. Mengeluh Fakhran Syafrie bila mendengar keputusan spontan umi. Mungkin umi tak faham. Bukannya dia mahu menggunakan alasan dia nak berkahwin sebab takut terjebak zina. Dia bukannya tidak kuat iman di dada sampai tak mampu mengawal diri.

Tapi sesungguhnya dia sudah mampu. Dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami. Atas dasar itu, dia pulang untuk bertemu umi dan babah. Menyampaikan niatnya.

Berdehem. Fakhran memanggung pandang. “Umi... Babah, Fakhran dah sedia...”

“Sedia dari segi apa? Nafkah batin ya, zahirnya? Fakhran ingat nak jaga anak orang macam jaga anak kucing? Diberi makan whiskas, dibawa ke vaterinar bila sakit. Kalau ada anak boleh jualkan atau berikan pada orang?” soal umi laju. Dia tersengih. Dah agak dah aura membebel umi pasti saja akan keluar.

Bukan apa, umi tu selalu sangat risaukan dia. Tapi umi lupa agaknya, dia bukan lagi anak manja umi seperti dulu. Anak manja umi yang kecil dulu sudah lama besar. Sudah lama matang dalam menilai kehidupan.

“Umi, Allah kurniakan Fakhran tulang empat kerat untuk Fakhran kerja; kan Umi? Mestilah Fakhran akan kerja untuk tanggung anak orang.”

Umi menggeleng. “Iya.. umi tahu. Tapi tanggungjawab menjadi suami tu besar, Fakhran.”

“Fakhran dah sedia. Dan sebenarnya, Fakhran dah pun berjumpa dengan umi dan abah budak perempuan tu. Fakhran dah terus-terang cakap yang Fakhran suka anak dia. Fakhran nak lamar anak dia dan Fakhran akan hantar wakil kalau abah dan uminya setuju.”

Sekali lagi dia hampir tertawa bila melihat mulut umi terlopong begitu. Tapi ditahankan saja. Kalau nak cari maut cubalah ketawakan umi! Memang mendapatlah dia nanti.

“Babah...?” seru umi pada babah. Babah masih lagi tenang. Sekadar mendengar tapi tidak pula memberikan sebarang komen.

“Budak perempuan tu setuju?” soal babah.

Dia mula menggaru kepala. Macam mana ya? Bercakap dengan Nadine pun tak pernah. Dia Cuma pandang-pandang Nadine dari jauh adalah. Tapi menegur Nadine langsung la tidak. Dari sekolah dahulu, hinggalah ke tahap bertembung semula di Aberdeen sana. Memang tak pernah pun dia tegur Nadine.

“Fakhran tak tanya dia pun bah.” Jujurnya.

“Terus jumpa umi abahnya?” soal babah lagi. Dia mengangguk.

Lama babah mendiamkan diri. Umi langsung tidak bersuara. Barangkali terkejut yang agak sangat mungkin? Mana tidaknya, anak terunanya pulang bercuti dan tiba-tiba terus khabarkan yang dia nak berkahwin. Lagi best, bila anak terunanya ni langsung maklumkan pada umi dan babah, yang dia sudah bertemu bakal bapa mertuanya yang entahkan jadi entahkan tidak.

Err... baru la sekarang dia sedar, yang dia kelihatan sedikit terburu-buru. Melanggar adat pun iya juga. Tapi bukan ke kalau kita nakkan anaknya, kita harus minta dari walinya? Bukan nyatakan terus pada si gadis seperti cara Romeo dan Juliet. Itu bukan gentleman namanya. Itu pengecut!

Dan dia sendiri, mahu menjadikan perkahwinannya; rumahtangganya satu rumahtangga yang penuh barakah. Dia mahukan perkahwinan yang diredai Allah sedari awal perkenalan hinggalah ke akhirnya. Jadi kerana itu, walaupun dia terjatuh suka dengan Nadine dari sekolah; berlarutan hingga terjatuh minat pada Nadine di Aberdeen. Tapi dia tak berani nak nyatakan terus pada Nadine yang dia suka Nadine!

Dia mahu minta dari tangan walinya secara baik-baik. Dia mahu lelaki yang baik; dan memiliki isteri yang baik juga. Dia berpegang teguh pada firman Allah dalam surah An-Nur, “Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik.”

Makanya, seperti kata murabinya dulu, “Jangan kita mengharapkan ingin memiliki wanita yang baik kalau kita sendiri tidak berusaha untuk menjadi baik. Berusahalah jadi yang terbaik untuk memiliki yang terbaik juga.”

Makanya, apa salahnya kalau dia cuba menjadi seorang yang baik dengan mendambakan pasangan yang baik. Dan dalam mendidik diri sendiri, dia turut cuba mendidik Nadine. Walau dari jauh. Seminggu sekali, setiap hari jumaat pasti saja dia akan hantarkan pada Nadine e-mail tertentu.

Pasti saja Nadine tidak kenal pemilik e-mail itu. Tapi pada dia itu bukan masalahnya. Dia ikhlas mahu mendidik. Kalau ada jodoh Allah untuk mereka. Dia lega. Dia bersyukur pastinya. Jika tidak, dia tahu akan ada yang lebih baik yang akan Allah gantikan pada dia nanti.

“Apa kata dia orang?” soal babah. Fakhran mengerutkan dahi.

“Kata siapa babah?”

“Orang tua budak perempuan yang kamu suka tu? Siapa namanya??”

“Nadine? Nadine Nur’iman?”

Babah mengangguk. “Ha... dia lah. Apa kata orang tua Nadine?”

Bibir mengukir senyum. “Abah dia minta Fakhran ke sana. Taaruf dengan Nadine. Katanya Nadine tak kenal Fakhran.”

Babah mengerutkan dahi. Pelik barangkali bila mendengar dia kata yang Nadine tak kenal dia. “Tak kenal?”

Sengih. “Nadine tu babah. Berjalan pun tak pandang kiri kanan. Mulut dia tu lokek dengan senyum kalau dia tak kenal orang. Tapi, kalau dah kenal dia tu boleh tahan ramah juga.”

“Dah tu, dia kenal kamu tak Fakhran?”

Angguk. “Dia kenal muka, tapi tak kenal nama.”

Menoleh memandang umi, “Dah tu macam mana uminya?” soal babah pada umi. Umi mengangkat bahu.

“Terpulang babah la. Umi ikut saja

#Prolog I

Namanya Nadine Nur’iman. Dia gadis yang biasa-biasa saja. Anak bongsu daripada tiga adik beradik dan satu-satunya puteri dalam keluarga kecil Encik Nazrul Hakimi dan Imannul Raudhah. Kata umi, namanya itu unik kerana nama itu pilihan abah. Justeru pada abang-abangnya, dia dibelai dan dilayan bagaikan puteri.
Umi dan abah tidak terlalu memanjakannya tapi tidak pula terlalu tegas dengannya. Sebaliknya, abang-abangnyalah yang tegas dengannya. Banyak yang tak boleh dari boleh. Abah tidak pula marah bila abang-abangnya banyak melarang. Kata abah, “Along dan angah sayang sama Iman. Jadi along dan angah tegas sama Iman.”

Tapi dia selalu rasa along dan angah tak sayang padanya. Pernah dulu semasa dia sekolah, along dan angah dapat tahu ada budak yang hantar surat cinta padanya. Teruk budak itu dimarah sama along dan angah. Siap dapat amaran. Kata along, “Adik kami ini, dihantar ke sekolah untuk belajar. Bukan bercinta.”

Dia kala itu sudah mahu menangis. Malu punya abang-abang yang terlalu mengawal begitu! Mana ada dia ke sekolah dengan niat mahu bercinta pun! Bahkan dia tak pernah tahu ada yang suka pada dia! Dia pun tahu malu! Dia tahu abah sama umi percaya pada dia. Masakan dia mahu hilangkan terus kepercayaan abah dan umi.

Bila dia luahkan rasa tidak puas hati pada along dan angah. Laju-laju saja along dan angah menjawab. “Along dengan angah percaya sama Iman. Cuma kami tak percaya pada budak-budak lelaki yang cuba masuk jarum.”

Dia langsung diam. Lagi pula, along dengan angah tak pernah sekalipun salahkan dia bila dia sentiasa dapat hadiah atau terima surat. Cuma setiap hadiah dan surat itu tak pernah sekali pun sampai ke tangan dia. Dia punya abang-abang yang sangat protektif kan?

Bila besar hingga begini, dia tak pernah serahkan hatinya pada sesiapa. Lagi pun, dia takut bila umi mengugut, dari mahu bermain cinta lebih baik bernikah terus. Kerana amaran itulah dia jadi takut! Dia tak mahu kahwin muda. Dia takut umi paksa dia kahwin!

Mana mungkin dia menguruskan rumahtangga sendiri? Memasak, mengemas dan melahirkan anak? Tambah-tambahan lagi menguruskan budak? Sungguh dia angkat tangan. Dia tak mampu! Dia ini, dengar budak menjerit saja sudah tidak tahan daulat! Dia bukan insan maha sabar. Dia ini seperti kata along, anak yang cengeng. Manjanya ya ampun! Cuma along dan angah yang mampu melayan.

Tapi, dia jadi begitu pun kerana along dan angah. Along dan angah terlalu manjakan dia! Segala benda mahu dipantau. Jadi dia lebih banyak bergantung pada along dan angah.

Jadi, bila saja umi tiba-tiba mengajak dia berbicara. Dari hati ke hati. Dia jadi kelu. Jadi terkejut. Kenapa umi tiba-tiba merisik khabar hatinya? Kenapa umi tiba-tiba mahu tahu kalau-kalau dia ada berkawan dengan sesiapa. Laju saja dia menggelengkan kepala.

“Tak ada.” Laju Nadine Nur’iman menjawab.

“Betul?” soal umi dalam senyuman. Kepala Nadine Nur’iman sudah mengangguk seperti belatuk. Atas bawah atas bawah. Tangan siap diangkat gaya berikrar. “Sumpah umi! Iman tak pernah ada sesiapa. Iman tak pernah bercinta.”

Umi langsung tertawa. Apa lucu agaknya bila dia cemas dan gelabah begitu?Apa umi tak tahu? Dia betul-betul risau takut umi marah. Memang pun dia tak pernah berkawan dengan mana-mana lelaki. Dia tak mahu hancurkan rasa percaya umi dengan abah padanya.

Kata umi dulu, “Umi tak larang kalau Iman mahu bercinta. Umi tahu, setiap anak muda ada rasa mahu berpasangan. Tapi kalau boleh biar kena caranya. Kalau Iman sudah ada rasa suka pada sesiapa. Suruhlah dia datang dengan wakilnya... Kita langsungkan terus. Biar kalau Iman keluar berdua, umi dan abah tidak ditimpa dosa. Biar kalau pun Iman ada hubungan dengan lelaki, hubungan itu halal dari segi syaraknya.”

Nah, lihat gaya umi? Walau umi itu wanita moden. Tapi umi lebih mementingkan syariat. Pesan umi itu bukan hanya pada dia. Tapi juga pada along dan angah. Along dulu, kala dia tiba-tiba terjatuh suka pada seorang perempuan. Langsung dia nyatakan pada umi. Dia kala itu sudah jatuh rahang! Sungguh dia tak percaya, along yang pendiam dan tegas itu boleh terkena panah asmara.

Kata umi kala itu, kalau along sudah bersedia tanggung makan pakai anak orang. Umi tak keberatan masuk meminang. Tapi kalau sekadar mahu keluar berdua begitu-begitu, umi tak izinkan. Kata umi, anak gadis orang itu bukan untuk diusung ke sana ke mari. Tak manis dipandang orang dan melanggar adab pergaulan dalam Islam.

Along jadi membisu. Along tahu umi tak membantah kalau dia mahu langsung menikah. Tapi along sedar dia sendiri belum sedia. Lalu kata along, kalau ada jodoh. Insya-Allah tak ke mana.

Sungguhlah dia kagum dengan along. Begitu mudah bercerita dengan umi. Bukankah kata orang, lelaki itu bukan caranya mahu bercerita segala benda dengan umi, apatah lagi dengan abah sendiri. Kata orang, lelaki ini sikapnya suka memendamkan rasa. Semuanya dia pendamkan sendiri. Jarang-jarang mahu bercerita dengan ibu dan bapa.

Tapi lelaki-lelaki di sekelilingnya sungguh luar biasa, hatta abah, along mahupun angah. Mereka semua adalah lelaki-lelaki luar biasa. Hinggakan dia meletakkan satu penanda arasan pada setiap lelaki yang mahu menghampirinya. Mereka haruslah sekurang-kurangnya mempunyai sikap yang ada pada along atau angah paling kurang. Kalau dapat lelaki seperti abah. Dia terlebih la suka. Mungkin kerana itu agaknya, kebanyakan perempuan merasakan abah atau ayah mereka adalah hero pujaan mereka. Sama seperti dialah.

Ketika umi datang padanya, mengkhabarkan ada lamaran datang padanya. Dia sudah jadi kaku. Dia laju saja menggeleng. “Iman tak nak umi...” laju dia menolak. Tanpa ada sebarang pertimbangan.
Buat apa dia pertimbangkan kalau dia sudah tahu dia tak punya sebarang rasa teruja! Takkan dia mahu berkahwin dengan lelaki yang dia tak kenal? Dengan lelaki yang dia tak pernah ada apa-apa perasaan langsung?

“Iman kenal budaknya. Baik... abah pun suka.” Ujar umi. Mendengar itu, dia Nadine Nur’iman yang sedikit cengeng langsung menitiskan air mata.

Sungguhlah umi tak sayang pada dia. Mahu dijodohkan dengan entah lelaki mana sesuka hati. Apa umi tak tahu? Nadine Nur’iman anak umi ini, seperti juga gadis-gadis lain. Mahu tahu apa itu cinta! Mahu jatuh cinta!

“Iman tak sayang dia umi... Tak suka dia. Tak kenal dia.” Laju saja bibirnya menjawab. Umi menguntum senyum.

“Dia panggil Iman; Nadine. Bukan kawan-kawan sekolah Iman panggil Iman; Nadine ke?” soal umi. Dia mengangguk. Memanglah kawan-kawan sekolahnya panggil dia Nadine. Kawan-kawan dia dikampus semuanya panggil dia ‘Iman. Sungguh pun begitu, nama Fakhran Syafrie itu janggal sekali pada pendengaran telinganya.

Dia bukan main-main bila dia cakap tak kenal. Along dan angah sudah menempek pada dia, kata mahu tahu siapa dia Fakhran Syafrie tu.

Along pula tak habis-habis menggiat. Kata along, bukan mainnya dia mahu sembunyi-sembunyi. Sampaikan along yang selalu jadi pengawal peribadi pun boleh tak sedar dia main cinta belakang along. Jenuh dia menafikan tapi along dan angah cuma tertawa. Mana ada dia main cinta! Bukan along dengan angah tak kenal dia. Dia mana suka main layan perasaan begitu. Dia takut nanti umi suruh dia kahwin! Sungguh dia takut.

Dia kan Nadine Nur’iman, mawar berduri di taman milik abah dan umi? Dilindungi pagar yang punya pahlawan seperti along dan angah. Mana mungkin ada tangan jahat yang boleh memetiknya tanpa kebenaran dari mereka.

Kerana dia berterusan bertegas mengatakan dia tak kenal pemilik nama Fakhran Syafrie itu. Langsung abah memberikan cadangan. Minta si lelaki datang ke rumah untuk langsung bertaaruf dengan dia. Barangkali kata abah, dia ingat-ingat lupa siapa lelaki itu yang juga teman sekolahnya.

Dia jadi gementar. Kenapa abah semudah itu mahu dia bertaaruf dengan lelaki yang entah siapa-siapa itu? Apa abah mahu cepat-cepat lepaskan dia dari tanggungjawab abah? Abah sudah tidak mahu menjadi penjaganya lagi? Bila itu dia ajukan pada umi, umi langsung tertawa. Kata umi, “Budak tu budak baik. Abah yakin budak sebaik itu sesuai untuk Iman anak abah yang baik.”

Dia terharu bila umi kata dia baik. Tapi tak la pula sampai dia sanggup nak dijodohkan dengan siapa-siapa pula.

Dia sudah tidak mampu untuk melawan bila along dan angah tiba-tiba protes tidak mahu berbual dengannya. Bila abah tiba-tiba seperti tidak mahu berlawan bicara dengan dia. Dia jadi sedih sungguh! Terasa seperti diboikot oleh abah dan abang-abangnya! Kasihannya dia; Nadine Nur’iman yang perlu kahwin paksa! Kahwin aturan keluarga!

Abah! Iman pun mahu kahwin dengan lelaki yang Iman cinta! Lelaki yang Iman pilih sendiri! Tapi kata-kata itu hanya terlontar dalam benak fikirannya. Tidak pada lontar bicaranya.

Kalau ikutkan hati mudanya, barangkali dia sudah lari dari rumah. Apa kelas zaman sekarang, kahwin harus ikut pilihan keluarga? Dia sekarang sudah di zaman moden. Bukan lagi di zaman dahulu kala. Tun Teja dahulu pun lari dari Pahang gara-gara terlalu cintakan Hang Tuah. Justeru dia harus lari dari sini kerana cintakan siapa? Dia bukan ada sesiapa yang dia cinta pun. Cuma dia tak mahu jodohnya diatur-atur! Hanya itu.

Apa umi sangka mudah agaknya mahu menyerahkan hati pada orang yang kita tak kenal. Mana mungkin dia terima lamaran seseorang yang dia tak pernah kenal semudah itu! Ingat mudah nak tidur sebantal, nak makan sepinggan dengan lelaki yang dia tak pernah kenal?

Umi seperti tahu apa yang bermain dalam hatinya. Langsung umi menitipkan nasihat. Kata umi, abah tak pernah paksa dia untuk terima calon yang abah kemukakan.Bahkan abah akan terima calonnya kalau dia sudah ada calon.

Tapi sebelum itu, kalau boleh abah berharap agar dia berjumpa dahulu calon abah. Taaruf lebih dahulu. Terima atau tidak terpulang pada dia. Kata umi, abah sudah tapis betul-betul calon lelaki yang sesuai jadi anak menantunya. Abah bukan sebarang pilih, abah memilih mengikut setiap garis yang telah nabi s.a.w tetapkan dalam memilih calon suami puterinya. Tambah umi lagi, sebelum abah minta umi sampaikan niat abah padanya, abah lebih dahulu istikharah. Meminta petunjuk pada Allah patut atau tidak abah kenalkan calon pilihan abah pada dia.

Dia langsung mati kata bila mendengar kata umi. Sungguh dia akui, abah itu bukan seorang diktator. Selama ini pun, abah selalu terima pandangannya. Abah tak pernah memaksa. Cuma sekali ini, abah meminta dia untuk membuat sesuatu. Dan pada dia, permintaan abah ini berat sekali untuk ditunaikan. Dia seperti diluah mati emak, ditelan mati bapa. Menurut dia sengsara menolak abah yang sedih. Begitulah mungkin?

Sedihkan jadi dia? Hati terikat antara kehendak sendiri dengan kehendak umi dan abah! Dia mahu membantah dan menolak bulat-bulat. Tapi kerana terkenangkan umi dan abah langsung dia jadi tak berdaya.

“Iman jumpa la dulu. Tengok-tengok dulu. Kalau berkenan, kalau suka boleh teruskan. Kalau tidak. Tak apalah. Bukan jodoh barangkali.” Lembut umi memujuk. Dia langsung diam. Tidak menjawab. Harus bagaimana kalau umi sudah kata begitu.

Menarik nafas dalam-dalam. Perlahan dia mengangguk.

Apa salahnya dia dengar kata umi dan abah. Tak rugi pun. Kalau dia menolak sekali pun, umi dan abah pasti tidak akan membangkang. Bukan ke dia masih lagi muda? Baru masuk umur 21 tahun. Baru saja layak mengundi! Mengaji saja pun belum lagi tamat!

Tuesday, February 26, 2013

#1 - iii

Dari duduk menongkat dagu, postur duduk ditegakkan. Buku yang tadinya terbuka langsung ditutup. Meraup wajah perlahan, Hana mengeluh. Apa dia terlalu berterus-terang? Ah, peduli apa dia. Walau terkadang kebenaran itu menyakitkan itu harus disampaikan.

Pada dia, manusia itu tidak layak untuk menghukum. Kerana hanya TUHAN yang berhak untuk menghukum. Kerana DIA sebenar-benarnya hakim.

Rasa bersalah kala melihat Naurah dan Huda dipanggil tadi sirna segera. Lagi pula, barangkali mereka juga barangkali harus ditarbiah dan memahami makna sebenar dakwah dan tarbiah. Tapi untuk sedetik, dia jatuh kasihan bila Kak Ada meminta Naurah dan Huda memohon maaf dari dia.

Dia seorang Nurhana yang bukan siapa-siapa pun. Dia seorang gadis biasa yang lebih selesa berseluar jeans, lebih selesa bert-shirt dan kadang-kadang mengenakan seluar pendek, bermuda atau pun skirt yang comel-comel. Iya... itulah dia seorang Nurhana.

Dia tidak marah bila ditegur. Dia suka bila dia ditegur. Cuma dia tidak suka dengan gayanya yang pada pendengarannya terdengar seperti menjengkilkan. Yang terdengar seperti menghakimi. Dia tidak suka dengan itu.

"Kak Ada tak nak ada yang masam muka. Jangan Naurah dan Huda ingat, Han mengadu pada Kak Ada. Tidak. Kebetulan hari tu Kak Ada terdengar. Jadi Kak Ada nak betulkan apa yang berlaku. Buang yang keruh ambil yang jernih." ujar Kak Ada.

"Kak Ada sayang adik-adik Kak Ada. Tak kira Naurah, Huda mahupun Han. Semuanya adik Kak Ada yang baik-baik. Kita kadang-kadang tak boleh menilai orang dari luaran. Luaran tak mencerminkan apa-apa. Yang penting hati. Insha-Allah, hati kita tu Allah yang gerakkan. Jadi Kak Ada nak, Naurah dan Huda minta maaf pada Han." ujar Kak Ada sambil menoleh padanya.

"Naurah, Huda..." seru Kak Ada sebelum kemudiannya berpaling memandangnya.

"Han... Boleh Han maafkan Naurah dan Huda?" soal Kak Ada. Dia mengangguk. Tapi tidak juga bersuara.
Meneguk liur, perlahan dia bangun. "Kalau Kak Ada tak ada apa-apa lagi, boleh Han minta diri dulu?" soalnya. Adawiya kala itu mengangguk. Menoleh memandang Naurah dan Huda, "Naurah dan Huda sebentar. Kak Ada nak bercakap sikit."

Nurhana sekadar melihat Naurah dan Huda berlalu meninggalkan Kak Ada. Lama duduk di katil. Hana memikirkan sendiri. Kewajaran untuk dia pindah. Patut atau tidak.

Menarik nafas dalam-dalam. Barang kembali di kemas.
Dia harus mencari sendiri hidayah itu dalam payah.
Bukankah sesuatu yang susah dan payah diperolehi itu adalah sesuatu yang lebih kita hargai dan cintai? Dia harus mengenal dirinya dulu. Untuk mengenal dirinya, dia harus mengenal penciptanya dan kemudian mencintainya. Apa, betul ke begitu?

Dalam Hana sibuk mengemas, dia langsung terlupa pada Naurah dan Huda. Ketika terdengar sapaan lembut Naurah dan Huda dari belakang, dia menoleh.

"Hana benar-benar mahu pindah?" soal Naurah. Huda masih tetap diam. Riak wajah dan pandangan Huda masih tetap sama. Masih tidak berubah. Masih menghakimikah gadis itu?

Hana mengangguk. Naurah mengeluh. "Tak mahu ditangguhkan niatnya dulu?" soal Naurah. Hana menggeleng.

"Masih terasa dengan kami?" soal Naurah lagi.

Hana memanggung pandang. Wajah Naurah direnungnya dalam. Mencari keikhlasan dari wajah itu. Tapi keikhlasan itu tiada. Naurah seperti dalam keterpaksaan sebenarnya dalam memujuknya. Memandang wajah Huda, gadis itu kelihatan jengkel padanya. Kenapa mesti begitu?

Apa mungkin kerana lancangnya mulutnya menyatakan ketidakpuasan hatinya pada tindak-tanduk dan kata-kata Naurah dan Huda padanya? Mungkin ke?

"Hana... kami minta maaf ya, Han?"

Mengangguk. Zip beg di tarik. Wajah Naurah dipandang lagi. "Rasanya, pergi itu yang terbaik. Kita tidak berdiri atas jalan dan niat yang sama. Saya tidak sesiqah awak berdua. Saya tak mahu menjadi fitnah kepada awak berdua bakal ahli syurga sedangkan saya mungkin penghuni neraka." laju Hana meluahkan. Meluahkan lebih kepada satu sindiran sebenarnya.

Naurah berubah wajah. Huda langsung merah padam. Hana mengukir senyum. Sinis lagi.

"Tak perlu datang bertemu saya dan memohon maaf kalau hati belum ikhlas. Tanpa rasa ikhlas itu insaf tidak akan timbul dan awak tak mengerti kenapa awak harus memohon maaf dari saya." luah Hana sambil bangun mengangkat beg ke atas katil.

Cardigan di belakang pintu disarungkan pada tubuh. Rambutnya dibetulkan. "Harapnya, selepas saya pergi nanti kita tidak lagi punya masalah seperti sekarang." ujar Hana. Naurah dan Huda diam. Tanpa salam, tanpa pamit. Hana langsung melangkah. Dia mahu bertemu dengan Jin Hyuk. Lelaki itu sudah berjanji mahu membantu dia untuk memindahkan barang. Tinggal sendiri rasanya lebih mudah. Lagi pun, dia mampu untuk tinggal sendiri walau tanpa duit biasiswa. Jadi dari terus dia menjerut rasa dan tertekan sendiri, lebih baik dia langsung mengundurkan diri. Kan?

#1 - ii

Yoeido Park, Seol, South Korea


Menghampiri tubuh yang sedang duduk mengadap pepohon yang cantik berkembang. Nurhana menarik nafas panjang sebelum dilepaskan.

"Han..." seru Kak Adawiya. Dia mengangguk.

"Lama Kak Ada tunggu?" soalnya. Kak Adawiya menggeleng.

"Ada apa Kak Ada ajak Han datang sini?"

Kak Adawiya tersenyum, perlahan dia menggeleng. "Saja, nak berbual dengan Han."

"Berbual?" soalnya. Kak Ada tersenyum.

"Kat rumah pun boleh berbual kan Kak Ada?" soal Nurhana sambil melabuhkan duduk. Kak Adawiya tersenyum. Perlahan mengangguk.

"Boleh. Cuma tak ada privasi. Kak Ada cuma nak berbual dengan Han. Tanpa ada sesiapa kat sisi yang dengar." ujar Kak Ada sambil menyiapkan bekalan yang di bawa.

"Makan dulu jom..." ajak Kak Ada. Dia mengangguk.

Melabuhkan duduk di sisi. Dia sekadar mengikut rentak Kak Ada yang mengangkat tangan dan mengaminkan ketika Kak Ada membacakan doa makan. Ketika menikmati makanan, Kak Ada tak banyak bercakap. Cuma selepas itu baru Kak Ada membuka mulut sambil menghulurkan pencuci mulut padanya.

"Han..." seru Kak Ada lembut. Nurhana memandang wajah Kak Adawiya, keningnya terangkat sedikit.

"Han marah lagi pada Naurah dan Huda?"

Tersungging senyum di bibir Nurhana. Dia berdehem untuk menyelesakan tekaknya yang terasa kering. "Kenapa Kak Ada tanya?"

"Kak Ada perasan yang Han dengan Naurah dan Huda macam tak berlaga angin  sejak dua menjak ni."

Mendengar itu Nurhana mengangguk. "Dah alang-alang Kak Ada tanya, Han nak berterus-teranglah dengan Kak Ada." ujarnya perlahan. Menarik nafas dalam-dalam. Wajah Kak Adawiya dipandangnya lama.

"Han mungkin bukan orang yang sefikrah dengan Kak Ada, yang sefikrah dengan Naurah dan Huda. Tapi Han rasa, tak sepatutnya dia orang hakimi Han macam Han ni murah. So what kalau Han berkawan dengan lelaki. Apa Islam itu rigid ke? Sampai berbual dengan lelaki pun salah? Berkawan dan keluar dengan lelaki pun bersalah?" soal Nurhana laju. Adawiya tersenyum. 

"Itu je?"

"Tak. Han adalah apa yang Kak Ada nampak. Cara Han pakai, cara Han berkerja, belajar. Jangan cuma hakimi Han menerusi luaran dan pakaian Han. Apa, orang yang berpakaian dan bersikap begini tak akan jumpa dengan hidayah Allah?"

"Hidayah itu milik Allah. Sedangkan orang seperti Kak Ada sekali pun, kalau Allah berkehendakkan, Kak Ada akan duduk di tempat Han sekarang dan Han mungkin akan duduk di tempat Kak Ada."

"Iya, mungkin sekarang Kak Ada, Naurah dan juga Huda bertudung labuh, berjubah segala bagai. Tapi kalau Allah berkehendakkan untuk uji Kak Ada, Naurah dan Huda. Kita mungkin berubah tempat." laju saja Nurhana bersuara. Adawiya kala itu tersentak. Sungguh dia tak sangka itu yang akan terlakar di bibir Nurhana. 

Nurhana memahami satu konsep yang mungkin Naurah dan Huda lupa. Kun Fa yakun. Jadi maka jadilah. Bila Allah berkehendakkan sesuatu, walau apa dan siapa sekali pun yang merasakan itu mustahil akan menjadi sesuatu yang tidak mustahil.

"Han betul. Han sangat betul..." ujar Adawiya lembut. Dia tahu, Nurhana adalah seorang gadis yang mudah untuk ditarbiah. Tapi perlu dalam lembut. Seperti menarik lembut dalam tepung. 

Dia tahu Nurhana itu masih mencari. Cara teguran juga mestilah cara yang lembut. Barangkali cara Naurah dan Huda menegur itu sedikit keras. Mendengar gadis biasa seperti Hana bercakap tentang fikrah tentang dakwah dia jadi terkejut. Untuk seorang yang mengaku hidup secara sekular seperti Hana, gadis itu kelihatannya dekat dengan tarbiah. Cuma mungkin selama ini dia sendiri kurang sedar. 

Untuk seketika dia kesal. Dia tidak menjadi seorang murabbi yang baik kepada seorang anak didiknya. Seharusnya dia harus sabar dalam menjadi da'ie. Dan sesungguhnya, usaha untuk tarbiah dan dakwah itu bukan usaha mudah. Itu satu usaha yang memerlukan kesabaran. Dakwah rasulullah tidak hanya berjaya dalam sehari. Tembok besar China juga tidak terbina dalam masa sehari.

Dia, Naurah dan Huda terlupa hakikat itu. Dia tak nafikan, kata-kata Hana itu masuk ke dalam fikirannya. Hana tak langsung silap. Mereka yang khilaf.

Bagaimana hendak berdakwah seandainya mereka terlalu keras dengan orang yang nak mereka dakwah. Mungkin juga dia, Naurah dan Huda terlupa; dakwah itu bukan hanya menerusi kata-kata. Tapi juga menerusi perlakuan dan tingkah laku kita.

Dia bersyukur, sekurang-kurangnya Hana sudah membuka mata dia untuk mengenal erti dakwah yang sebenar. Hana itu banyak bertanya dan pada dia itu sesuatu yang baik! Bertanya untuk mencari Allah. Sayangnya, bila mereka tidak mampu untuk menjawab soalan Hana dan mereka pula yang berdolak-dalih. Seharusnya bila kita sudah mahu menjadi da'ie, justeru kita harus mempersiapkan diri kita dengan ilmu. Agar bila ada yang bertanya kita mampu untuk menjawab persoalan mereka.

"Hana betul..." ujar Adawiya lembut.

"Kun Fayakun, Jadi maka Jadilah. Bila Allah berkehendakkan sesuatu semua perkara mustahil akan menjadi tidak mustahil. Hidayah itu milik Allah, dan DIA akan berikan kepada sesiapa saja yang DIA inginkan. Tetapi tak bermaksud kita tak perlu mencari hidayah Allah. Hidayah yang dicari itu akan terasa lebih nikmatnya. Percayalah..."

"Tapi, takkanlah sebab pertelingkahan tempohari Han sampai nak pindah rumah?" soal Adawiya lembut.

Nurhana mengoyak senyum. Perlahan dia mengangguk. "Ini bukan kali pertama, ini sudah entah kali ke berapa. Han rasa sudah masanya untuk Han mengundurkan diri." luah Nurhana perlahan. Adawiya tersentak. Sangkanya itulah kali pertama adik-adiknya berselisih pendapat. Rupanya tidak.

"Cuma satu pesan Han, jangan mudah menghakim sesiapa. Hidayah tu kalau Allah nak bagi tak perlu nak ditahan-tahan atau ditunggu-tunggu. Sekelip mata Allah dah bagi. Dan kalau pun Han ni macam ni, tak bertudung tak menutup aurat properly jangan sangka Han tak cari hidayah Allah."

"Han mungkin sedang mencari hidayah Allah. Dan Han mencari bukti kepada apa yang harus Han kerjakan. Bila Allah kata perempuan harus menutup aurat, Han tak nak tutup aurat Han membabi buta. Han nak tahu kenapa kita disyariatkan menutup aurat. Bukan sebab hanya nabi suruh, bukan sebab dalam al-Quran kata kena tutup. Tapi nak tahu kenapa."

"Han nak jadi seorang Islam yang benar-benar Islam. Bukan sekadar Islam pada nama, atau Islam kerana keturunan. Han nak mencari Islam tu. Nak mencari Allah itu. Nak mencintai Islam dan Allah kerana Han faham apa itu Islam. Apa itu pencipta Han." ujar Nurhana perlahan.

Sekali lagi Adawiya tersentak. Nurhana didepannya ini memberikan dia kejutan bukan sekali. Tapi berkali-kali dengan kata-kata dan ayat-ayat yang terlontar di depannya kala ini. Perlahan Adawiya mengangguk.

"Han benar, Kak Ada minta maaf bagi pihak kawan-kawan Han. Tapi Kak Ada harap, Han tak akan lupakan Kak Ada. Insha-Allah, kalau Han perlukan pertolongan Kak Ada sentiasa ada untuk membantu." ujar Adawiya perlahan. Nurhana tersenyum nipis. Perlahan mengangguk.

#1 - i




Tadi dalam kelam-kabut dia mahu ke Ohu suob (오후 수업) sempat Kak Adawiya berpesan untuk bertemu dengannya di Yoeido Park. Dia masih saja memikirkan alasan untuk tidak menghadirkan diri.

"No excuse... It's only two of us. Tak ada orang lain. Kak Ada tunggu di sana. Datang ya Han.." ujar Kak Adawiya dengan senyuman. Dia saat itu cuba mengoyak senyum yang terasa payah sekali.

"I'll buy you the sengseongui (생선구이). Han suka kan?" soal Kak Adawiya memancing. Dia sekadar tersenyum. Perlahan mengangguk.

"Jangan tak datang. Kak Ada tunggu..." pesan Kak Adawiya sekali lagi sebelum dia menapak keluar dari rumah untuk ke Universiti Kebangsaan Seol (Seol National University).  Untuk seketika dia hairan sendiri. Tak pernah walau sekali pun dia maklumkan pada Kak Adawiya apa kegemarannya. Apa minatnya. Tapi bagaimana Kak Adawiya tahu?

Dia sebenarnya cuba menjarakkan hubungan dengan rakan-rakan serumah. Rasanya dia tidak sekufu untuk berkawan dengan mereka. Dia bukannya jenis budak yang suka pakai tudung gedabak besar. Dia bukan orang yang menutup aurat sepenuhnya. Dia gadis biasa yang suka memakai seluar jeans, dengan rambut yang lepas bebas. Kadang-kadang dia selesa memakai skirt dengan baju turtle neck. Lagi pun, padanya Korea itu  itu kota Paris Asia. Penuh dengan fesyen yang sentiasa berubah. Dan fesyennya pula kelihatan sopan pada matanya.

Usai saja tamat Ohu suob (오후 수업), dia menunggu seketika untuk bertemu dengan Seonsengnim (선생님). Ada beberapa perkara yang mahu dirujuk dengan Seongsengnim. SMS dari Kak Adawiya membuatkan dia serba salah. Kalau boleh dia benar-benar mahu menggelak untuk bertemu dengan Kak Adawiya. Apatah lagi selepas satu pertengkaran kecil di antara dia dengan salah seorang budak rumahnya.

Lagipun dia tak ambil port sangat dengan aktiviti budak-budak rumahnya. Dia tak terbiasa dengan aktiviti membaca al-mathurat setiap pagi. Dia tak reti nak menyertai usrah. Dia tak suka solat berjemaah dan tak faham apa yang mereka lakukan ketika sesi liqa` atau halaqah. Sungguh dia tak reti. Itu bukan hidupnya.

Dia orangnya jenis yang simple habis. Pada dia, selagi dia tak minum arak, selagi dia tak tidur dengan lelaki, dia masih belum melakukan kesalahan. Tudung? Dia boleh pakai tudung bila tiba masanya. Dia rasa tak perlu la kot orang lain nak menghakimi dia. Apa kalau pakai tudung tu dah habis baik? Apa kalau pakai tudung tu dah confirm masuk syurga?

Dia ada masa untuk berubah. Insha-Allah dia akan berubah. Tapi biarlah dengan kerelaan hatinya sendiri. Bukan atas paksaan. Bila dia bertanya, kenapa mesti pakai tudung. Rakan-rakannya cuma jawab wajib. Bila dia tanya kenapa wajib mereka kata itu arahan Allah. Tapi kenapa Allah arahkan, apa hikmahnya. Tak ada seorang pun yang mampu menjawab dan memberikan dia kepuasan dengan jawapan itu.

Dia mahu bila dia bertudung, dia bertudung dengan seikhlas hati dan dia faham dengan erti kenapa dia harus bertudung. Dia sendiri masih mencari-cari. Dia tak suka bila dia dihakimi.

Apa orang yang bertudung gedabak ini, jenisnya suka menghukum orang ke? Itu ini banyak yang tak boleh. Hairan sungguh.

Paling kelakar, niqab berwarna pun menjadi isu. Apa penting pilihan warna menjadi isu perdebatan. Pada dia, di mata orang Malaysia dan Melayu Islam, merah itu mungkin menarik perhatian. Tapi cuba pada pandangan orang Cina di China. Merah itu mungkin pada mereka warna yang biasa-biasa saja. Kenapa isu yang kecil itu pun harus dibesar-besarkan? Sungguh dia tak faham! Sangat-sangat tak faham sebenarnya.

Pergi... tidak... pergi... tidak.

Hana, mengeluh sendiri. Bunyi gegaran telefon bimbit membuatkan dia terpaku. Nama Kak Adawiya terpapar di situ. Dengan berat hati, panggilan itu dijawabnya.

"Wa'alaikumussalam... Iya, Han baru habis kelas." jujur dia menjawab.

"Terus ke sini ya. Kita lunch sama. Kak Ada tunggu Han..."

"Tapi..."

"Datanglah. Kak Ada tunggu. Assalammualaikum..." ujar Kak Adawiya laju sambil kemudiannya meletakkan panggilan telefon tanpa sempat dia memberikan alasan. Menggaru kepala. Perlahan Hana mengeluh. Nampaknya, terpaksalah.

Pilihan apa lagi yang dia ada. Kan?

Note : Ohu soub (오후 수업) - kelas petang
생선구이(sengseongui) - ikan bakar
Seongsengnim - cikgu / pensyarah

-----------------------------------------------------

Ini fresh story untuk tahun ini. Doakan ya!


#1



Damn! Kenapa harus terserempak dengan dia tadi? Kenapa? Kenapa?
Mulut Nadira tidak berhenti dari menyumpah. Tangannya berkali-kali menampar stereng kereta sekuat rasa. Tiga tahun berlalu. Sangkanya, dia sudah boleh melupakan lelaki itu. Rupa-rupanya tidak! 

Kenangan yang mereka cipta bersama itu, masih kekal hingga ke hari ini. Hatinya rupanya masih menyayangi lelaki itu dalam diam. Lelaki yang tidak pernah menghargai keberadaan dan kewujudan dia.

Menarik nafas dalam-dalam, satu hembusan nafas keras dilepaskan. Enjin kereta dihidupkan. Gear dimasukkan ke gear reverse. Laju, kereta diundur sebaik saja pedal minyak ditekan. Stereng dipusingkan, Nadira langsung beralih dari ruang parkir IOI Mall.

Tadi seperti dia, lelaki itu turut kaku. Di sisi lelaki itu ada gadis lain yang menemani. Mereka kelihatan gembira dan dia, seperti terkena satu kejutan elektrik, dikejutkan dengan hakikat yang mereka sudah tidak punya pertalian. Justeru, tanpa teragak-agak, laju saja dia berpusing dan melangkah pergi. Seruan namanya oleh lelaki itu bagaikan angin lalu yang menyapa telinganya.

Tiba di rumah, Nadira melangkah masuk dengan longlai. Tubuhnya dilemparkan ke atas sofa. Matanya dipejamkan. Perlahan air mata menitis.

"Bodoh! Kenapa harus kau punya perasaan pada dia? Kenapa tidak kau lupakan dia?" marah Nadira sendiri.  Seperti tiga tahun yang lalu, dia kembali menangis seperti anak kecil. Tapi kali ini, tanpa ada teman yang memujuk hatinya.

Mereka semua sudah berkeluarga. Yang tinggal cuma dia. Di usia yang menginjak ke angka tiga puluhan dia masih sendiri. Dan saat ini, dia merasakan dirinya bodoh kerana dia masih belum berupaya untuk melupakan Farhan dari hidupnya.

Di mana hilangnya, Nadira yang dulu?
Berkali-kali dia bertanyakan hal yang sama pada dirinya. Tapi dia tidak punya jawapan. 

"Kenapa perempuan begitu bodoh bila melibatkan cinta?" soal Nadira dulu pada temannya, Rosmimi. Temannya itu menggeleng.

Nadira tersenyum. "Sebab kita dikuasai perasaan dan emosi - kan?" soal Nadira kemudiannya. Rosmimi tersenyum. Perlahan mengangguk.

"Kau tanya, dan kau jawab."

Nadira mengangguk. "Kenapa?" soal Rosmimi. Nadira menggeleng.

"Aku nak jadi Nadira yang dulu Mimi." tuturnya perlahan.

"Nadira yang mana?"

Nadira mengoyak senyum. "Nadira yang kau kenal sebelum dia kenal Farhan. Nadira yang keras. Nadira yang bukan looser."

"Nadira ..." seru Rosmimi. Nadira menoleh pandang. Bibirnya mengukir senyum. Senyum yang kalah! Itu Rosmimi sangat pasti.

"Kau bukan seorang looser. Kau tak pernah jadi seorang looser. Cuma kau tersilap pilih. Kau pilih seseorang yang tak hargai kau seperti mana kau hargai dia."

"You know what, he said he love me. But he never intent to marry me dan itu buat aku rasa macam orang bodoh! Aku bazirkan sembilan tahun aku, untuk dia. Untuk setia kat sisi dia. Tapi dia tak pernah terfikir untuk kahwin dengan aku?"

"Nadira ..." seru Rosmimi. Tapi temannya itu masih lagi menangis dengan muka yang disembamkan ke lutut.

"Sekurang-kurangnya kau terlewat sembilan tahun untuk bina hidupkan, bukan selama-lamanya. Kan?" lembut Rosmimi memujuk temannya.

"Aku rasa macam nak bunuh dia! I just feel like to kill him!" keras Nadira bersuara.Wajahnya kala itu sudah dipanggungkan. Mukanya tampak sembam dengan mata yang sedikit membengkak.

"Dia mungkin belum bersedia untuk berikan komitmen? Mungkin dia nak enjoy life ni dulu?" tutur Rosmimi. Nadira menggeleng. Menarik nafas panjang. Perlahan dihelanya.

"Seriously, aku rasa macam orang bodoh! Devote life aku untuk sembilan tahun, tapi ending up, dia cakap. Dia sayang aku. Dia cintakan aku. But that's it! Dia tak pernah terfikir untuk berkahwin. Why don't he said that from the very beginning?"

Rosmimi terdiam. Nadira mengeluh. Dia sudah meluahkan semuanya. Menarik nafas dalam-dalam, kasar dilepaskan. Tangannya laju saja menyapu wajah yang basah dengan air mata tadi. Rosmimi terkesima melihat perubahan temannya yang drastik.

Sekejap tadi menangis bagai orang gila. Tapi sekarang? Berubah menjadi normal. Keras.

"Kau okey?" soal Rosmimi. Nadira menoleh. Perlahan mengangguk. "Aku pernah tersalah arah. Aku pernah menongkah arus. Aku pernah buat silap. Dan hakikatnya, mungkin kami putus ni untuk sesuatu yang lebih baik?" soal Nadira. Rosmimi mengangguk.

"Insya-Allah, untuk sesuatu yang lebih baik untuk kau. Allah tak tarik sesuatu dari kita untuk digantikan dengan sesuatu yang buruk. Sebaliknya, dia tarik sesuatu dari kita untuk digantikan dengan sesuatu yang lebih baik untuk kita."

Nadira mengangguk. "... sebab sesuatu yang baik pada kita, belum tentu yang terbaik pada-Nya. Kan?"

Mimi mengangguk. "Lagi pun, tak guna buat sesuatu tanpa hala tuju, kan?"

Nadira mengangguk. "Iya. Kau betul." tuturnya lagi. Mimi tersenyum. "Mungkin aku tersalah rentak. Terlalu menurut perasaan."

"Perempuan memang bodoh bila melibatkan hati. Kau tahu kan?" soal Rosmimi. Nadira tertawa. Perlahan mengangguk. "Dan aku antara orang yang bodoh tu. Bazirkan masa aku untuk satu hubungan yang tak pasti. Patutnya, aku dah lama angkat kaki. Tapi, tak."

"Nad, Allah temukan kau dengan orang yang salah, agar nanti kau bertemu dengan orang yang betul. Insya-Allah. Percaya pada DIA. Pada kehendak-Nya. Dia berikan kau luka, untuk kau rasai kemanisan hidup tu nanti." tutur Rosmimi tenang. Nadira mengangguk.

Seperti tersedar, dari baring Nadira bingkas bangun. Air mata disapu bersih. Kalau tiga tahun yang lalu, dia mampu kuat bila dia mahu memutuskan hubungannya dengan Farhan. Kenapa tidak kini? 

Dia sudah bazirkan sembilan tahun umurnya untuk satu hubungan yang tidak pasti. Untuk satu hubungan yang tidak diredai Allah. Jadi kenapa harus dia menangisi kenangan silamnya?

Melangkah ke bilik, tuala ditarik. Nadira langsung menghilang ke bilik air. Dia mahu menyegarkan badannya. Mudah-mudahan mindanya juga segar kembali.