novel ke 4 yang harus diterbitkan

tamatkan e-novel

kategori tulisan saya

Thursday, December 31, 2009

Kerna Dia Suamiku - Prolog

Aku kahwini dia dengan akad. Bersaksikan malaikat di langit, berakadkan kalimah-kalimah Allah. Mengikat dua jiwa di bawah satu tanggungjawab. Dia sebagai suamiku dan aku sebagai isterinya. Dengan sekali tangan berhayun. Dengan sekali lafaz diijab, tanggungjawab waliku kini miliknya. Dia yang akan menentukan hala tuju hidup kami. Dia yang menakhodakan keluarga yang kami bina.

Menerima lamarannya merupakan satu keputusan yang sangat berat buatku. Pasti saja ini satu keputusan terbesar yang bakal merubah keseluruhan hidupku. Aku dalam dilema untuk mengatakan ya mahu pun tidak saat jawapanku dituntut. Macam-macam perkara yang bermain dalam fikiranku. Pelbagai kebarangkalian yang aku congak sebelum akhirnya, aku membuat keputusan untuk memperjudikan keseluruhan hidupku untuk menjadi isteri kepada dia. Lelaki yang tak pernah aku kenali.

Perkenalan aku dengan si dia amat mudah! Aku mengenalinya dalam jangka yang sedang-sedang! Tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek. Lalu aku kemudiannya harus membuat keputusan untuk menjadi milik si dia.

Bagaimana ya? Itu merupakan soalan lazim yang aku terima daripada orang sekeliling saat mukadimah ini yang aku berikan. Mahu dengarkan ceritera kisah cintaku dengan si dia suamiku? Kisah cinta yang biasa-biasa saja...

Bukan kisah cinta dewa dewi dari kayangan, bukan juga kisah cinta artis yang digembar-gemburkan masa kini. Bukan juga kisah cinta kerabat-kerabat di raja.

Ini sekadar kisah cinta biasa.

Kisah cinta antara seorang suami dan isteri setelah terpaterinya akad yang bersaksikan malaikat di langit, yang bertunjangkan lunas dan landasan yang telah ditetapkan hukum dan syarak bertunaskan nama Allah Pencipta sekalian alam dan segala makhlukNya.

Perkenalan aku dengan si dia bermula dengan cara yang begitu mudah. Yang mulanya aku sangka sekadar omongan kosong. Tak punya sebarang erti. Apatah lagi melampiaskan sebarang rasa di hati.

Usia 23 itu satu usia yang masih muda pada hematku. Langsung tak pernah terlintas pada fikiranku untuk mendirikan rumah tangga pada usia sebegitu. Padaku, perkahwinan itu satu perkara besar. Yang memerlukan satu petaruhan yang sangat besar.

Satu-satu perkara yang tak mungkin sanggup untuk aku tempuhi dalam hidupku, adalah perkahwinan. Bukan kerana aku menafikan dan menolak fitrah lahiriah manusia yang diciptakan secara berpasangan. Tidak!
Tapi kerana aku merasakan ia satu perkara yang besar yang terlalu mencabar. Pelbagai kisah dan cerita yang aku dengar mengenai rumahtangga membuatkan aku perlu berwaspada dalam kehidupan.

Selebihnya, aku tak pernah bersedia untuk menjadi seperti wanita-wanita dewasa lain yang berani memperjudikan nasib diri sendiri. Berani membuat keputusan untuk hidup dengan insan adam di bawah satu bumbung.

Bagaimana aku mengenalinya? Ini satu kisah biasa. Antara kisah-kisah yang pernah kita dengar atau baca barangkali.

Mahu tahu?

Begini ceritanya, sebaik saja menamatkan pengajianku dalam bidang pendidikan, aku menunggu tarikh dan masa untuk memulakan tugasku sebagai seorang pendidik. Memang lazimnya bagi kami anak-anak muda yang baru saja menamatkan pengajian dan menanti tarikh posting sentiasa berada dalam debaran. Apatah lagi ada saja mulut-mulut yang menyuruh kami bersiap sedia kalau-kalau dihantar ke pedalaman. Paling tidak ke Sabah atau Sarawak.

Mendengarkan kisah jerih payahnya para pendidik yang dihantar ke pedalaman. Sedikit sebanyak debaran sentiasa meruntun di dada. Siapa yang tidak risau kalau tiba-tiba di hantar ke pedalaman Sabah atau Sarawak. Harus keluar rumah seawal jam 5 pagi semata-mata untuk menaiki bot atau sampan yang memakan masa sejam dua untuk sampai ke destinasi kerja. Pastinya suasana yang amat mencabar dan mendebarkan pastinya!

Dan aku? Aku tak kisah tentang itu. Aku rela andai itu rezeki yang Allah aturkan untuk aku. Tapi pasti saja itu mengundang resah di hati ibu ayah yang tua dipupuk usia. Mereka bimbangkan aku anak tunggalnya yang bakal dihantar entah ke mana. Risau sukar untuk menemuiku saat rindu menjengah.

Kala emak didatangi risikan bertanyakan aku, berhati-hati sekali emak meminta pandanganku.

Dan setiap kali juga jawapan yang aku berikan merupakan tidak. Tak punya sebarang pertimbangan, tak juga aku fikirkan. Padaku perjalanan hidupku masih panjang dan perkahwinan tak wujud dalam kamus hidupku saat aku mahu membina kerjaya seperti sekarang.

Mujur juga emak dan ayah bukan jenis yang memaksa. Mahu aku lekas-lekas berkahwin biarpun ramai sanak saudara yang mencadangkan itu kepada emak dan ayah.

Oh ya... kalau benar emak dan ayah tidak pernah memaksa untuk aku berkahwin, justeru bagaimana aku boleh menerima dan berkahwin dengan si dia suamiku?

Itulah yang dikatakan jodoh. Aturan Allah sejak di Loh Mahfuz. Sejak sebelum aku dilahirkan. DIA telah menetapkan siapa jodohku, siapa Imamku.

Aku mengenali dia secara tidak sengaja di rumah pamanku. Itu pun ketika aku membantu kenduri kendara di sana. Dia berkunjung ke situ sebagai pengapit pada suami sepupuku. Begitulah caranya kami berkenalan. Sekadar berbalas pandangan tanpa sepatah kata. Tidak juga terlekat sebarang rasa di hatiku. Segalanya berlaku dengan begitu pantas bila tiba-tiba aku didatangi dengan hajat si dia mahu mengenaliku dengan lebih jauh.

“Orang tak punya apa-apa yang istimewa untuk membuatkan sesiapa nak berkenalan kak...” itu selalunya jawapanku pada sesiapa yang mahu menjadi telangkai yang cuba memadankan aku dengan siapa-siapa saja. Begitu juga jawapan yang aku hulurkan pada dia saat dia menyuarakan hasrat itu menerusi sepupuku.

Ya, betul! Aku sememangnya sombong! Aku sombong dengan mana-mana teruna yang cuba-cuba menghulurkan salam pengenalan mereka padaku. Konon-kononnya aku mahu menjadi anak dara pingitan sama seperti anak dara zaman dulu-dulu. Seperti yang selalu diceritakan dek tok saat aku kecil-kecil dulu.

Aku jadi hairan dengan sikap lelaki yang tak pernah faham dengan erti dan kata; tidak. Hinggakan kadang-kadang aku pelik sendiri, apakah kaum Adam ini tidak tahu dan faham akan erti perkataan tidak. Atau pun mereka ini sengaja buat-buat bodoh untuk tidak menerima perkataan dan jawapan tidak daripada perempuan.

Bila tidak yang aku berikan, bukannya mereka mahu berhenti sebaliknya makin kuat berusaha hinggakan aku jadi lelah yang amat!

Begitu juga dengan ‘dia’. ‘Dia’ mencari segala ruang yang ada. Cuba mendekatiku. Dan betullah bak kata orang tua-tua. Untuk memenangi hati anak, paling senang menangi dulu hati ibu bapanya.

Itulah yang dia lakukan. Dia cuba memenangi hati ibu bapaku dulu. Pasti saja dengan bantuan sepupuku. Segala macam promosi yang diberikan tentang si ‘dia’ kepada keluargaku. Persahabatan antara keluarga bermula dengan lawatan keluarganya ke rumahku.

Adab kita orang Melayu, tetamu diraikan. Sama seperti ajaran agama yang meminta kita memuliakan tetamu. Dan ibu bapaku pasti saja gembira menambah kenalan. Mulanya alasan lawatan dia dengan keluarganya ke rumahku pasti saja sekadar untuk bertanggak setelah ke rumah sepupuku yang kini merangkap sepupunya.

Dalam gurau-gurau, sempat juga menjual hajat. Terkedu aku saat mendengarkan gurau senda mereka saat itu. Walaupun aku ini masih muda remaja tapi bukannya terlalu buta dalam menilai maksud gurauan orang.

“Saya serius dalam setiap apa yang saya cakapkan...” ujar si dia suatu hari ketika menyertai aku secara tiba-tiba yang sedang asyik bergelut dengan asap dari sabut dek kerana mahu membakar ikan bagi meraikan tetamu yang datang.

Barangkali dia mahu meyakinkan aku setelah melihatkan aku ambil bena tak bena tentang apa yang dia perkatakan. Mendengar kata-katanya, aku menoleh pandang. Memandang mukanya dengan pandangan maha tajam. Satu jelingan geram aku hadiahkan pada dia. Aku tidak suka hal-hal sebegitu diperkatakan.

“Muda tak semestinya belum bersedia...” ujarnya tenang. Dalam perlahan dan dalam berbisik aku bersuara, membalas dan membidas pastinya!

“Perkataan dan ayat saya yang mana yang awak tak faham?”

“Semuanya saya faham. Cuma hati saya tak boleh nak faham...” ujarnya tenang.

“Awak takut nak kahwin?” soalnya lagi kali ini dengan bibirnya yang lebar tersenyum. Aku menoleh memandang dia. Geram!

“Apa awak peduli?”

“Saya peduli sebab saya nak jadikan awak suri rumah saya.” Pangkahnya. Aku menoleh.

“Awak memang muka tak malu..” acuku geram. Dia tersenyum.

“Kalau saya malu, saya melepas.” Ujarnya dalam kuluman senyuman.

“Saya tak memaksa, tapi ibu bapa kita di dalam sudah maklum akan hajat saya. Cuma saya mintakan untuk sampaikan pada awak sendiri...” ujarnya lagi. Saat itu baru aku tersedar, ada beberapa mata yang memandang-mandang ke arah kami di luar rumah dengan bibir yang menguntum senyuman.

Emak pula pura-pura sibuk di dapur. Aduhai emak... kenapa sportingnya untuk saat dan ketika ini?

“Tapi cara awak sekarang ini memang berupa memaksa... awak tahu tidak?” soalku geram.

Dia mengangguk. “Saya masih ada harga diri dan ego.” Ujarnya perlahan. Pandangan matanya menujah ke dalam mataku.

“Untuk sekali soal, saya ditolak... saya masih akan mencuba.” Ujarnya perlahan.

“Untuk dua kali soal saya ditolak, ya..saya masih akan mencuba untuk kali yang ketiga. Tapi kalau kali ke tiga juga begitu... Ya.. saya terima. Memang tak ada jodoh. Kerana saya seorang lelaki yang ego Nadine.”

Aku memandangnya tanpa sebarang reaksi. Dia tersenyum. “Tapi, apa salahnya kalau awak istikharah dulu? Minta petunjukNya sebelum awak tolak saya mentah-mentah.” Ujarnya sambil membalikkan semanggang ikan di depan kami.

Menoleh memandangku dia tersenyum. “Kurang-kurang saya tahu, awak tolak saya berdasarkan istikharah yang awak buat. Bukan kerana awak memang tak dapat terima saya.”

Dan hanya kerana itu, aku terpana seketika. Mendiamkan diri tak berkutik. Memang pun sebelum ini keputusan yang aku buat tidak pernah aku istikharah. Kerana aku takut andai ada jawapan dalam istikharah nanti yang tidak memihak kepadaku. Barangkali aku terlupa, kehendakNya itu mengandungi hikmah yang tersembunyi dari pemikiran dan pengetahuan hamba-hambaNya.

Dan begitulah bermula cerita, bagaimana aku boleh menjadi isterinya. Bagaiman akhirnya Nadine Nur’iman bersetuju memperjudikan hidupnya bersama dengan Fakhran Syafri.

0 comments:

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP