novel ke 4 yang harus diterbitkan

tamatkan e-novel

kategori tulisan saya

Wednesday, April 22, 2009

Mencari Cinta - 7

“Syaffiyah...kenapa tu?”ujar Li Fen sambil tangannya menunjuk ke satu arah. Aku memandang ke arah masjid. Baru saja aku mahu ke sana untuk menunaikan solat fardhu Zohor. Kebetulan aku, Li Fen dan Wahida keluar tadi untuk mendapatkan barangan bagi jamuan makan di rumah kami.

Memerhatikan warga korea yang beratur di depan masjid dengan memegang kain rentang, perasaan ingin tahu segera bertandang di dalam hati. Pantas anak mataku menelusuri satu demi satu bait-bait ayat yang tertulis di situ.

“Are Korean the enemy of Muslim?”

Itulah maksud kata-kata yang terdapat pada kain rentang yang ada dalam pegangan ajossi dan ajumma. Suara jeritan ajossi dan ajumma jelas dipendengaran telingaku, meluahkan rasa tidak puas hati, rasa kecewa di atas penculikkan 23 orang warga Korea oleh Taliban. Itu yang aku ketahui dari rakan-rakan muslimin yang baru saja keluar dari masjid. Li Fen aku lihat tergamam. Dia seolah-olah memikirkan sesuatu.

Mungkin juga kematian Shim Sung-min dan Bae Hyun-kyu mengerakkan mereka ke mari. Meluahkan rasa geram, marah dan kecewa mereka di atas sikap puak Taliban yang membunuh kedua-dua warga korea tersebut. Mungkin juga.

Dari satu aspek, aku sebenarnya agak marah apabila mendapat tahu bahawa warga-warga Korea yang terbang ke Afghanistan itu adalah atas tujuan berdakwah. Mereka berada dalam proses untuk menyebarkan agama Kristian kepada masyarakat Islam Afghan sebelum ditangkap oleh puak-puak Taliban. Tapi sebahagian dari diriku, aku jatuh kasihan dengan nasib mereka yang tidak menentu. Apatah lagi terbunuh begitu.

“Syaffiyah.. cuba tengok Ajossi dan Ajumma tu. Kesian mereka kan..?” ujar Li Fen saat kakiku mula melangkah. Aku mengangguk perlahan, sebelum kemudiannya aku berpatah semula memandang wajahnya.

“Li Fen nak ikut Syaffiyah ke dalam atau Li Fen nak tinggal di sini?” ujarku perlahan. Mendengar soalanku wajahnya tiba-tiba terukir senyuman.

“Saya ikut..” ujarnya perlahan. Aku mengangguk. Kali ini sebelum sempat aku mengeluarkan scaft yang sentiasa aku bawa untuk ku berikan padanya kalau-kalau dia ingin menyertaiku ke dalam masjid. Dia sendiri telah mengeluarkan satu tudung kepala. Aku mengerutkan dahi.

“Hadiah dari kawan-kawan yang baru datang dari Malaysia.” ujarnya dengan satu senyuman manis. Aku mengangguk dan tersenyum.

Aku meninggalkan Li Fen seketika dengan barang-barangan milikku sementelah aku sendiri ke ruang wuduk untuk mengangkat hadas sebelum kembali semula ke ruang solat untuk muslimah.

“Tunggu sekejap ya, Li Fen?”ujarku seraya mengambil sarung kaki khas yang aku letakkan di dalam begku sebelum kemudiannya sarung kaki itu aku pakai dan aku terus menghamparkan sejadah kecil yang bersaiz empat segi kecil khas untuk bahagian muka sahaja ketika sujud.

Sebelum menunaikan solat Zohor, aku lebih dahulu menunaikan solat sunat Tahiyatul masjid seterusnya diikuti dengan solat Zohor.Dalam solat yang pendek itu, aku cuba sebaik mungkin mengkusyukkan diriku tatkala mengadap Ilahi kerana hanya itu satu-satunya waktu kita berkhalwat denganNYA. Dan hanya itu perbualan di antara kita dan DIA. Diakhir solat, seperti biasa ku tidak lupa untuk bermunajat kepadanya. Berdoa dan meluahkan segala rasaku.

Terlalu banyak yang ingin aku mohon daripadaNya. Terlalu banyak cita-cita dan hajatku. Aku tahu, hanya pada dia tempat untukku bermohon. Sama seperti FirmanNya di dalam surah Al-Baqarah ayat 186.

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Setiap kali aku mengadap Ilahi, setiap kali saja aku menadah tangan memohon doa padaNya, pasti saja air mata ini terlalu murah. Pasti saja pipiku lencun. Aku sendiri tidak pasti kenapa. Yang pasti aku lega setiap kali aku usai meluahkan segala-galaNya kepada DIA. Dan aku akui kata-kata walid bahawa biarpun walid dan Umi jauh dariku, tapi DIA sentiasa dekat denganku. Sentiasa bersamaku.

Melipat sejadah, aku melangkah mendapatkan temanku. Duduk di sisi Li Fen yang sudah pun bersandar di dinding dengan kepalanya mendongak memandang siling masjid.

“Cantikkan hiasan dalam Seoul Cenral Mosque” ujar Li Fen tiba-tiba sambil kepalanya didongakkan memandang chandelier yang bergantungan di siling. Aku mengangguk. Sambil turut sama bersandar di dinding masjid dengan niat untuk beriktikaf di dalam masjid.

“Church pun cantik juga tau Syaffiyah.. tapi kadang-kadang tak ramai yang mengunjungi Church. Sekali seminggu pun susah nak ke Church. Tapi orang Islam, boleh kata setiap hari, hampir lima kali sehari ke masjid..” ujar Li Fen perlahan. Aku sekadar mendiamkan diri. Mendengar.

“Eh..kenapa hari ini Syaffiyah solat tapi tak pakai baju sembahyang yang Syaffiyah selalu pakai tu?”soal Li Fen tiba-tiba. Aku tersenyum.

“Kain sembahyang tu? Saya tertinggal di rumah. Pakai macam ni pun boleh Li Fen, asalkan bersih dan menutup aurat.” ujarku.

“Oh ya? Saya sangka untuk menunaikan solat, orang Islam mesti mengenakan pakaian khas seperti yang Syaffiyah selalu pakai.”ujarnya lagi. Aku pantas saja mengeleng.

“Taklah. Asalkan sahaja pakaian itu menutup aurat, dan bersih... insya-Allah boleh di bawa untuk menunaikan solat. Macam jubah dan tudung yang saya pakai ini.”ujarku padanya. Li Fen mengangguk mendengar peneranganku.

“Saya ingatkan wajib pakai baju sembahyang tu.. kalau nak sembahyang..”ujarnya lagi.

“Tak adalah. Cuba kalau Li Fen berkesempatan tengok program di tv, kalau semasa kita di Malaysia dulu ketika musim haji. Dapat saja Li Fen lihat pakaian orang yang mengelilingi kaabah itu bermacam-macam warna, bentuk dan design. Tapi tentu sahaja menutup aurat.” ujarku lagi. Dia mengangguk.

“Oohh..”

“Kain sembahyang macam yang saya pakai tu, lazimnya dipakai oleh orang-orang dari Malaysia dan Indonesia. Bukan apa.. memudahkan.”ujarku lagi.

“Oooh macam tu, Syaffiyah kesiankan tengok ajossi dan ajumma di luar tu tadi.” ujarnya tiba-tiba. Aku mengangguk.

“Kenapa orang-orang Islam buat begitu pada orang-orang Korea tu? Kenapa perlu bunuh mereka kalaupun mereka pergi ke sana untuk menyebarkan ajaran Kristian?” soalnya lagi.

“Li Fen, yang mengambil tindakan itu adalah puak Taliban. Dan Taliban bukan mewakili orang Islam. Tapi ya, mereka beragama Islam. Tak adil kalau Li Fen atau sesiapa sahaja menyalahkan orang Islam umumnya. Saya juga orang Islam, tapi selama saya berkawan dengan Li Fen ada tak saya menyakitkan hati Li Fen? Kalau ada saya minta maaf.. mungkin saya tak sedar.” ujarku perlahan,.

“Taklah...maaf.. kalau saya buat Syaffiyah terasa.” ujarnya pantas dengan tangan yang digerakkan ke kiri dan ke kanan menandakan maksud tidak.

“Tak apa. Saya faham. Sejak kes 11 September dulu, memang orang-orang Islam dah digelar terrorist.” ujarku lembut. Li Fen aku lihat menunduk. Mungkin menyedari kesilapannya.

“Tindakan seorang Islam tidak mewakili kelompok umat yang lain Li Fen. Tak adillah kalau seorang umat Islam yang membuat kesalahan habis umat Islam yang lain dituduh sebagai pengganas. Rasanya, kami umat Islam tak pernah mengatakan orang Kristian itu pengganas, kan Li Fen?” ujarku lembut. Li Fen serta merta memanggungkan kepalanya.

“Maksud Syaffiyah?”

“Lihat ya, tindakan Amerika menceroboh Baghdad, menceroboh Afghanistan... dan beberapa negara Islam itu adalah satu tindakan pencabulan hak asasi. Bukan setakat itu, mereka sendiri telah menidakkan konsep yang menjadi laungan mereka. Konsep Demokrasi yang Amerika pegang itu sendiri sudah mereka cabul dengan tindakan mereka menyerang negara-negara Islam. PBB sendiri tidak mampu menghalang mereka. Tapi pernah ke orang Islam menyatakan, serangan itu dilakukan oleh orang Kristian? Bukankah pemimpin Amerika itu adalah orang Kristian? Tidak... kami tidak menyalahkan masyarakat Kristian. Tapi kami mengutuk tindakan Amerika.” ujarku menerangkan.

“Syaffiyah... maaf ya. Cuma imej pengganas dan Islam itu tidak dapat dipisahkan..” ujarnya lemah. Aku mengangguk perlahan.

“Saya faham Li Fen. Bila Amerika dah meletakkan label pengganas kepada orang Islam, secara tidak langsung umat Islam di seluruh dunia terkena label yang sama. Dan kerana propaganda Amerika juga, masyarakat Islam mengalami diskriminasi dan di tekan. Mujurnya saya di lahirkan di negara Islam, jadi tidaklah terasa tekanan yang sama seperti yang dialami oleh masyarakat Islam yang lain. Mungkin itu ujian oleh Allah kepada umat Islam di seluruh dunia agar kami terus bersatu.” ujarku tenang.

“Syaffiyah, sebelum terlupa.. Andrian minta saya sampaikan pesanan pada Syaffiyah. Katanya dia mahu bertemu.” ujar Li Fen tiba-tiba. Aku mengerutkan dahi.

“Kenapa?” soalku semula. Li Fen mengeluh.

“Dia marah dengan perubahan saya yang jarang ke Church. Dia merasakan dia perlu bertemu dengan Syaffiyah walaupun saya dah terangkan pada dia yang Syaffiyah tak ada kena mengena dengan perubahan saya. Saya cuma mencari kebenaran dan mengkaji agama.” ujarnya lagi.

“Begitu.. Apa yang Andrian mahu dengan saya?” soalku perlahan.

“Kata Andrian, dia sekadar mahu bersoal jawab dengan Syaffiyah. Dia mahu membuktikan pada saya, bahawa Kristian adalah agama yang benar dan Islam bukan sebenar-benarnya agama..” ujar Li Fen lagi antara dengar dan tidak. Aku mengangguk.

“Jadi dia mahu berdebat, begitu?” soalku. Li Fen saat itu aku lihat dia agak teragak-agak untuk menjawab.

“Berdiskusi.. bukankah perkataan itu lebih baik Syaffiyah bagi mengantikan perkataan berdebat.” ujarnya lagi. Aku mengangguk. Bibirku mengukirkan senyuman.

“Kalau berdiskusi, insya-Allah saya sudi. Tapi ilmu yang ada pada saya tidak sebanyak mana untuk bersoal jawab dengannya. Insya-Allah saya akan jawab soalan Andrian dengan sebaik mungkin. Cuma, seandainya saya tak mampu menjawab dengan baik.. Insya-Allah soalan-soalan itu akan saya jawab setelah saya bertanyakan orang yang arif dengan isu tersebut.” ujarku.

“Bila Syaffiyah boleh bertemu dengan Andrian?” soal Li Fen lagi. Aku mengeluh. Walau apapun matlamat pertemuanku dengan Andrian, dia tetap bukan mahram bagiku. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Dan aku sentiasa ingat itu.

“Beginilah.. boleh tak kalau Li Fen catatkan saja soalan yang ingin Andrian tanya pada saya? Insya-Allah saya akan jawab dan tulis di dalam kertas. Kemudian, Li Fen berikan saja pada Andrian. Lagi pun, Andrian tu lelaki. Biarpun ada Li Fen bersama-sama, saya rasa ia tetap tidak manis.” ujarku akhirnya membuat keputusan. Li Fen mengangguk. Tidak pula mempertikaikan permintaanku.

Apa sahaja yang mahu ditanyakan Andrian padaku? Apa agaknya? Insya-Allah, aku percaya, Allah sentiasa ada di sampingku untuk membantuku menjawab setiap soalan yang mungkin akan ditanya dari lelaki itu. Insya-Allah.

0 comments:

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP