novel ke 4 yang harus diterbitkan

tamatkan e-novel

kategori tulisan saya

Wednesday, April 29, 2009

Kerna Dia Suamiku - Prolog

Too tired!

Too exhausted... Too fatigue... and it's more than enough to feel and face all this matter. Setiap kali jemari mahu mula berhenti berdansa, setiap kali itu juga Dia memberikanku ilham untuk mula menulis.

Dan kerana ilham dari Dia itu, justeru aku mula menarikan kembali jemariku. Dengan kisah yang tah apa-apa ini dari aku yang selalu dikatakan klise dan stereotype. Pada kamu, kamu, kamu dan kamu yang mengikutinya di sini...

Jika penat dan lelah dengan sebuah kisah stereotype justeru, anda dipersilakan meninggalkan laman blog ini dengan hanya perlu menekan butang pangkah di atas. Kerana aku hanya insan biasa yang menulis untuk memuaskan diri, yang melunaskan tekanan. Justeru aku menulis untuk kepuasan sendiri.. dan aku tak lagi peduli dengan apa yang anda, anda, anda dan anda fikirkan.

Bagi yang sudi meneruskan pembacaan, terima kasih. Sila teruskan. Barangkali ada sesuatu dan pengajaran yang dititipkan di sini yang boleh kita kongsikan bersama.

---------------


Aku kahwini dia dengan akad, bersaksikan malaikat di langit berakadkan kalimah-kalimah Allah yang mengikat dua jiwa di bawah satu tanggungjawab, dia sebagai suamiku dan aku sebagai isterinya. Dengan sekali tangan berhayun dengan sekali lafaz diijab, tanggungjawab waliku kini miliknya. Dia yang akan menentukan hala tuju hidup kami. Dia yang menakhodakan keluarga yang kami bina.

Menerima lamarannya merupakan satu keputusan yang sangat berat untuk aku buat. Membuat keputusan untuk menerima dia menjadi suamiku adalah satu keputusan yang amat besar dalam seluruh hidupku. Sesuatu keputusan yang membuatkan aku berada dalam dilema. Pelbagai kemungkinan yang aku fikirkan sebelum aku membuat keputusan untuk memperjudikan seluruh hidupku dengan keputusan menjadi isteri kepada si dia.

Perkenalan aku dengan si dia amat mudah! Aku mengenalinya dalam jangka yang sedang-sedang! Tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek. Lalu aku kemudiannya harus membuat keputusan untuk menjadi milik si dia.

Bagaimana ya? Pasti saja soalan sebegitu yang aku terima daripada orang sekeliling bila itu mukadimah yang aku berikan. Mahu dengarkan ceritera kisah cintaku dengan si dia suamiku? Kisah cinta yang biasa-biasa saja...

Bukan kisah cinta-cinta dewa dewi dari kayangan, bukan juga kisah cinta-cinta artis yang digembar-gemburkan artis-artis kini. Bukan juga kisah cinta kerabat-kerabat di raja. Ini sekadar kisah cinta biasa. Kisah cinta antara seorang suami dan isteri setelah terpaterinya akad yang bersaksikan malaikat di langit, yang bertunjangkan lunas dan landasan yang telah ditetapkan hukum dan syarak bertunaskan nama Allah Pencipta Alam dan segala makhlukNya.

Perkenalan aku dengan si dia bermula dengan cara yang begitu mudah. Yang mulanya aku sangka sekadar omong-omongan kosong. Yang aku selalu rasakan sebagai sesuatu yang tidak bererti dalam gadis anak dara sunti sepertiku.

Dalam usia yang muda, baru menginjak ke usia 23 tahun. Padaku perkahwinan itu satu perkara yang besar, sesuatu yang tak ingin aku tempuhi dengan pelbagai perkara yang sampai ke cuping telingaku. Yang benar-benar mencabar untuk ditempuhi. Dan aku tak pernah bersedia untuk menjadi seperti wanita-wanita dewasa lain yang berani memperjudikan nasib diri sendiri untuk berani membuat keputusan hidup dengan orang lain di bawah satu bumbung yang bergelar perkahwinan.

Bagaimana aku mengenalinya? Ini juga satu kisah biasa. Antara kisah-kisah yang selalu kita semua dengar. Seperti sesetengah cerita yang kita baca di dalam novel-novel Melayu yang ada dalam lambakkan pasaran!

Mahu tahu?
Begini ceritanya, sebaik saja menamatkan pengajianku dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan aku menunggu tarikh dan masa untuk dihantar memulakan tugas baruku sebagai seorang pendidik. Memang lazimnya bagi kami anak-anak muda yang baru saja menamatkan pengajian dan akan dihantar untuk posting menahan debaran yang amat! Apatah lagi apabila ada saja mulut-mulut yang menyuruh kami bersiap sedia untuk di hantar nun jauh di pedalaman negeri Sabah atau pun di pedalaman negeri Sarawak.

Mendengar kisah-kisah jerih payahnya para pendidik yang dihantar ke pedalaman yang harus keluar mengajar dengan menaiki sampan atau bot dengan perjalanan sejam dua untuk sampai ke tempat mengajar memang sesuatu yang mendebarkan untuk dilalui.

Dan aku? Aku mengundang resah di hati ibu ayah yang tua dipupuk usia. Mereka bimbangkan aku anak tunggalnya yang bakal dihantar entah ke mana. Risau sukar untuk menemuiku sesekali rindu menjengah.

Dan ketika emak didatangi risikan bertanyakan aku, berhati-hati sekali emak meminta pandanganku.

Dan setiap kali juga jawapanku akan berkatakan tidak, tidak dan tidak. Aku masih belum bersedia biarpun aku sebenarnya takut untuk dihantar jauh ke Sabah dan Sarawak. Bukan aku tidak sukakan cabaran. Bukannya aku tak suka untuk menimba satu pengalaman baru. Tapi aku tak mahu berjauhan dengan emak dan ayah diusia-usia senja mereka.

Mujur juga emak dan ayah bukan jenis yang memaksa mahu aku lekas-lekas berkahwin biarpun ramai sanak saudara yang mencadangkan itu kepada emak dan ayah. Oh ya... kalau benar emak dan ayah tidak pernah memaksa untuk aku berkahwin, justeru bagaimana aku boleh menerima dan berkahwin dengan si dia suamiku?

Itulah yang dikatakan jodoh... aturan Allah sejak di Loh Mahfuz. Sejak sebelum aku dilahirkan. DIA telah menetapkan siapa jodohku, siapa Imamku.

Aku mengenali dia secara tidak sengaja di rumah pamanku. Itu pun ketika aku membantu kenduri kendara di sana, saat walimah sepupuku. Dan dia berkunjung ke situ sebagai pengapit kepada suami sepupuku. Itulah cara aku dan dia berkenalan. Dari sekadar berbalas pandangan tanpa sebarang rasa di hati, aku didatangi dengan hajat si dia mahu mengenaliku dengan lebih jauh.

“Orang tak punya apa-apa yang istimewa untuk membuatkan sesiapa nak berkenalan kak...” itu selalunya jawapanku pada sesiapa yang mahu menjadi telangkai yang cuba memadankan aku dengan siapa-siapa saja. Begitu juga jawapan yang aku hulurkan pada dia saat dia menyuarakan hasrat itu pada sepupuku untuk disampaikan padaku.

Ya! Betul! Aku sememangnya sombong! Aku sombong dengan mana-mana teruna yang cuba-cuba menghulurkan salam pengenalan mereka padaku. Konon-kononnya aku mahu menjadi anak dara pingitan sama seperti anak dara zaman dulu-dulu seperti yang selalu didendangkan tok dalam setiap ceritanya saat aku kecil-kecil dulu.

Aku jadi hairan dengan sikap lelaki yang tak pernah faham dengan erti dan kata; TIDAK. Hinggakan kadang-kadang aku pelik sendiri, apakah kaum Adam ini tidak tahu dan faham akan erti TIDAK. Atau pun mereka ini sengaja buat-buat bodoh untuk tidak menerima perkataan dan jawapan TIDAK daripada perempuan.

Bila TIDAK yang aku berikan, bukannya mereka mahu berhenti sebaliknya makin kuat berusaha hinggakan aku jadi lelah yang amat!

Begitu juga dengan ‘dia’. ‘Dia’ mencari segala ruang yang ada. Cuba mendekatiku. Dan betullah bak kata orang-orang tua, dengan memenangi hati ibu bapa seseorang itu dapat memenangi hati anaknya pula.

Dia memenangi hati ibu bapaku dulu pasti saja dengan bantuan sepupuku yang kononnya cukup gemar dengan tingkah lakunya, adab santunnya. Persahabatan antara keluarga bermula dengan lawatan keluarganya ke rumahku.

Adab kita orang Melayu, tetamu kita raikan. Sama seperti ajaran agama yang meminta kita memuliakan tetamu. Dan ibu bapaku pasti saja gembira menambah kenalan. Mulanya alasan lawatan dia dengan keluarganya ke rumahku pasti saja sekadar untuk menyinggah setelah ke rumah sepupuku yang kini merangkap sepupunya.

Dalam gurau-gurau keluarga mereka saat bertandang, sempat juga menjual hajat. Terkedu aku saat mendengarkan gurau senda mereka saat itu. Iya... memang aku masih muda remaja tapi bukanlah terlalu buta dalam menilai gurau bermakna orang.

“Saya serius dalam setiap apa yang saya cakapkan...” ujar si dia suatu hari ketika menyertai aku secara tiba-tiba yang sedang asyik bergelut dengan asap dari sabut dek kerana mahu membakar ikan bagi meraikan tetamu yang datang.

Mendengar kata-katanya pasti saja aku balas dengan jelingan geram! Aku tidak suka hal-hal sebegitu diperkatakan.

“Muda tak semestinya belum bersedia...” ujarnya lagi. Kali ini membuatkan aku menoleh. Dalam perlahan dan dalam berbisik aku bersuara, membalas dan membidas pastinya!

“Perkataan dan ayat saya yang mana yang awak tak faham?”

“Semuanya saya faham. Cuma hati saya tak boleh nak faham...” ujarnya tenang.

“Awak takut nak kahwin?” soalnya lagi kali ini dengan bibirnya yang lebar tersenyum. Aku menoleh memandang dia. Geram!

“Apa awak peduli?”

“Saya peduli sebab saya nak jadikan awak suri rumah saya.” Pangkahnya. Aku menoleh.

“Awak memang muka tak malu..” acuku geram. Dia tersenyum.

“Kalau saya malu, saya melepas.” Ujarnya dalam kuluman senyuman.

“Saya tak memaksa, tapi ibu bapa kita di dalam sudah maklum akan hajat saya. Cuma saya mintakan untuk sampaikan pada awak sendiri...” ujarnya lagi. Saat itu baru aku tersedar, ada beberapa mata yang memandang-mandang ke arah kami di luar rumah dalam bibir yang menguntum senyuman. Emak pula pura-pura sibuk di dapur. Aduhai emak... kenapa sportingnya untuk saat dan ketika ini?

“Tapi cara awak sekarang ini memang berupa memaksa... awak tahu tidak?” soalku geram.

Dia mengangguk. “Saya masih ada harga diri dan ego.” Ujarnya perlahan. Pandangan matanya menujah ke dalam mataku.

“Untuk sekali soal, saya ditolak... saya masih akan mencuba.” Ujarnya perlahan.

“Untuk dua kali soal saya ditolak, ya..saya masih akan mencuba untuk kali yang ketiga. Tapi kalau kali ke tiga juga begitu... Ya.. saya terima. Memang tak ada jodoh. Kerana saya seorang lelaki yang ego Nadine.”

Aku memandangnya tanpa sebarang reaksi. Dia tersenyum. “Tapi, apa salahnya kalau awak istikharah dulu... minta petunjukNya sebelum awak tolak saya mentah-mentah.” Ujarnya sambil membalikkan semanggang ikan di depan kami.

Menoleh memandangku dia tersenyum. “Kurang-kurang saya tahu, awak tolak saya berdasarkan istikharah yang awak buat. Bukan kerana awak memang tak dapat terima saya.”

Dan hanya kerana itu, aku terpana seketika. Mendiamkan diri tak berkutik. Memang pun sebelum ini keputusan yang aku buat tidak pernah aku istikharah. Kerana aku takut andai ada jawapan dalam istikharah nanti yang tidak memihak kepadaku. Barangkali aku terlupa, kehendakNYA itu mengandungi hikmah yang tersembunyi dari pemikiran dan pengetahuan hamba-hambaNYA.

Dan begitulah bermula cerita, bagaimana aku boleh menjadi isterinya. Nadine Nur’iman akhirnya menjadi isteri kepada seorang lelaki bernama Fakhran Syafri.Lelaki yang kini sedang belajar aku cintai dengan sepenuh hatiku. Lelaki yang cuba aku taati dan turuti kehendaknya.

3 comments:

zenith April 29, 2009 11:44 PM  

nadine nur iman ek?hehe comel2(tgk la sape yg bg..haha)

misz nana April 30, 2009 2:22 PM  

ngee.. cam best je baca prolog cite ni..
sambung lagi..

bidadari cinta May 22, 2009 3:30 PM  

best...

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP